Jumaat, 15 April 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Kuala Lipis dilanda banjir

Posted:

Kuala Lipis dilanda banjir

Kuala Lipis dilanda banjir

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my


Abdul Aziz Ismail membersihkan ruang dapur yang dipenuhi lumpur selepas banjir kilat di Kampung Tempoyang, Kuala Lipis, Pahang, kelmarin.


KUALA LIPIS 15 April - Hujan lebat berterusan selama enam jam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar ini mengalami banjir kilat, tanah runtuh dan pokok tumbang semalam.

Kejadian itu menyebabkan penduduk terkandas ke pejabat dan berurusan di bandar ini berikutan sebatang pokok tumbang menghempap tiang elektrik di Jalan Bukit Residen menghala ke pejabat RISDA dan Rumah Rehat Bukit Residen di sini.

Beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh termasuk berdekatan pejabat RISDA, Tasik Residen, Perumahan Bukit Kerani dan Pejabat Agama Islam Lipis.

Turut terjejas di Jalan Pekeliling menghala ke bandar ini berdekatan Kem Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD), Jalan Datuk Mahmud berhampiran simpang masuk ke Taman Desa Perwira, jalan pintas ke Institut Pertanian Lipis dan Flat Sungai Kerpan 2.

Banjir kilat juga melanda Kampung Tempoyang dekat sini apabila beberapa rumah dinaiki air sedalam dua meter menyebabkan penduduk terpaksa memindahkan barang ke tempat selamat kira-kira pukul 3.45 pagi.

Seorang warga emas, Halimah Bidin, 63, berkata, dia dan suaminya, Abdul Aziz Ismail, 70, menyedari air masuk ke rumah mereka selepas dikejutkan oleh jiran.

''Kami bangun dan mendapati air memasuki ruang dapur rumah lalu bergegas memindahkan peralatan elektrik dan dokumen penting ke tempat selamat," katanya.

Banjir kilat itu, ujarnya, berlaku berikutan limpahan air dari Sungai Tempoyang berdekatan rumah mereka setelah hujan lebat bermula tengah malam berterusan hingga ke pagi.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Lipis (MDL), Mohd. Pauzi Abu Hussaini berkata, pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengalihkan pokok tumbang dan membersihkan tanah runtuh bermula pukul 8 pagi.

''Sebagai alternatif, kita juga meletakkan plastik pada permukaan tanah yang runtuh untuk menghindarkan resapan air hujan ke dalam struktur tanah supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.

Menurut beliau, MDL akan menyediakan laporan lengkap kepada kerajaan negeri bagi memohon peruntukan membaik pulih kawasan yang terjejas akibat bencana alam itu.

Tambahnya, kerja-kerja membersihkan kawasan tanah runtuh dan pokok tumbang berjaya diselesaikan menjelang tengah hari.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Wang ubah suai rumah RM55,000 disamun

Posted:

Wang ubah suai rumah RM55,000 disamun

Wang ubah suai rumah RM55,000 disamun

KUANTAN 15 April - Hasrat sepasang suami isteri mengubah suai rumah berkecai apabila wang simpanan RM55,000 lesap dilarikan dua penyamun ketika berhenti di lampu isyarat di persimpangan Jalan Bukit Ubi, di sini semalam.

Kejadian pukul 11.30 pagi itu berlaku semasa Wan Ismail Wan Jaafar, 60, dan isterinya, Ramlah Ab. Rahman, 56, dan menantu mereka, Sharifah Nazatul Shima Syed Mohd. Sidek, 32, menaiki sebuah kereta.

Mereka yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Bukit Goh, selepas mengeluarkan wang di sebuah bank di Jalan Tun Ismail di sini, kemudian berhenti di lampu isyarat sebelum tiba-tiba dihampiri dua suspek yang menaiki sebuah motosikal.

Nazatul Shima berkata, kedua-dua suspek menaiki motosikal jenis Yamaha 125-Z berwarna biru putih itu lalu melompat turun dan memecahkan cermin tingkap kereta di bahagian penumpang hadapan sebelah kiri dengan seketul batu.

"Ibu mertua yang duduk di hadapan menjerit terkejut sebelum suspek mengambil beg tangan di kakinya.

"Ibu sempat bergelut dengan suspek sambil dibantu bapa mertua di tempat duduk belakang dan saya berada di tempat pemandu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Nazatul Shima, suspek berjaya merampas beg tangan tersebut yang turut mengandungi beberapa dokumen penting termasuk Mykad sebelum melarikan diri.

"Bapa mertua turun dari kereta dan cuba mengejar suspek namun gagal. Mereka simpan wang itu sejak lima tahun lalu untuk mengubah suai rumah tetapi impian mereka musnah begitu sahaja," katanya.

Ketua Polis daerah Kuantan, Asisten Komisioner, Mohd. Jasmani Yusuf berkata, pihaknya telah mengeluarkan lakaran wajah salah seorang suspek.

"Kita percaya kedua-dua suspek berusia 20-an dan salah seorang daripada mereka agak kurus, tinggi dan berkulit cerah. Motosikal mereka menggunakan nombor pendaftaran palsu," jelasnya.

Tambah beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes boleh tampil memberi kerjasama atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-5132222.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mohd. Haris Syazwan juara hafaz al-Quran

Posted:

Mohd. Haris Syazwan juara hafaz al-Quran

Mohd. Haris Syazwan juara hafaz al-Quran


Mohd. Haris Syazwan Mohd. Ariffin (tujuh dari kanan) bersama pemenang-pemenang lain selepas pertandingan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-32 di Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 15 April - Seorang penuntut Universiti Al-Azhar, Mesir dinobatkan sebagai juara pertandingan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan kategori 1-30 juzuk di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini baru-baru ini.

Dengan kejayaan itu, Mohd. Haris Syazwan Mohd. Ariffin, 19, membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala iringan, sijil penyertaan dan pakej menunaikan fardu haji.

Seorang pelajar tingkatan empat, Farah Nabilah Amindin, 16, diumum sebagai juara bagi kategori wanita dan membawa pulang hadiah sama.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat mengurniakan hadiah kepada para pemenang pertandingan.

Pertandingan selama lima hari itu mempertandingkan masing-masing tiga kategori lelaki dan wanita iaitu kategori 1-10 juzuk, 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk.

Pertandingan tersebut disertai 68 peserta berusia antara tujuh dan 25 tahun serta dinilai oleh barisan juri yang dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohammad Datuk Sheikh Abdul Aziz.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Sementara itu, Mohd. Haris ketika ditemui selepas pertandingan itu memberitahu, dia yang mengikuti jurusan al-Quran dan al-Qiraat di Universiti Al-Azhar tidak menyangka dipilih sebagai juara pada pertandingan tersebut.

"Selepas pulang ke tanah air ekoran berlaku pergolakan politik di Mesir, saya dicadangkan seorang ustaz supaya menyertai pertandingan ini dan tidak menyangka berjaya," katanya.

Menurutnya, dia pernah bersekolah di Maahad Tahfiz, Kelantan dan belajar menghafaz al-Quran serta mendalami maksudnya sejak berusia tujuh tahun.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan