Jumaat, 15 April 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Menanti detik perpaduan

Posted:

Menanti detik perpaduan

Menanti detik perpaduan

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak bersalaman dengan Abdul Hadi Awang (kiri) ketika kedua-duanya bertembung semasa berkempen dI Pekan Pusa, Betong, baru-baru ini.


''Allahuakbar...Alhamdulillah, satukanlah hati-hati kami ini Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim... Tunjukkan titik pertemuan antara kedua-duanya, biar berlainan ideologi politik, tujuan tetap sama.'' Itulah salah satu komen yang dihantar oleh seorang pembaca sebuah blog yang memaparkan klip video Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpeluk dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Peristiwa yang dikatakan mencuit perhatian ramai ketika kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 itu berlaku ketika kedua-duanya bertembung semasa berkempen di Pekan Pusa, Betong pada Rabu lalu. Beberapa hari sebelum itu, media juga menyiarkan gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama Najib dalam majlis perasmian Kompleks Pemasaran Setempat, Taman Industri Automotif Pekan, Pahang.

Di dalam politik sudah tentulah, dua senario ini mendapat perhatian apatah lagi apabila ia membabitkan pemimpin dari dua parti besar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas. Sememangnya sejak dulu lagi, ramai yang ingin melihat persengketaan antara dua parti besar tersebut berakhir.

Ia bukanlah semata-mata demi kuasa politik tetapi demi masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Sebelum ini sudah terbentuk banyak usaha bagi menyatukan dua parti berkenaan termasuklah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan tetapi semuanya terbengkalai di tengah jalan.

Segala-galanya berikutan penentangan daripada kelompok-kelompok tertentu yang seolah-olah tidak mahu melihat orang Melayu bersatu. Berikutan itu, isu tersebut yang dicetuskan oleh Abdul Hadi diam begitu sahaja dan tiada harapan diletakkan untuk melihat UMNO dan Pas duduk semeja.

Namun begitu ia bukanlah bermakna segala pintu rundingan bagi melihat UMNO dan Pas duduk semeja berbincang mengenai masa depan politik orang Melayu sudah tertutup. Mahu tidak mahu, pemimpin dan ahli-ahli kedua-dua parti itu adalah beragama Islam dan terikat kukuh atas dasar persaudaraan Islam.

Dari segi sejarahnya UMNO dan Pas boleh dianggap seperti 'pasangan kembar' yang 'dilahirkan dari perut yang sama'. Namun ideologi dan falsafah perjuangan yang berbeza 'memisahkan' antara dua saudara ini dalam mencapai cita-cita masing-masing.

Perikatan Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat menyulitkan lagi keadaan memandangkan berbeza dengan Pas, PKR ditubuhkan atas dasar kebencian yang amat mendalam terhadap UMNO. Dan kedudukan orang Melayu menjadi semakin tergugat dengan corak perjuangan sesetengah pemimpin-pemimpin PKR yang sanggup menggadaikan segala-galanya demi kuasa politik.

Kesudahannya tinggallah UMNO terkontang-kanting memperjuangkan nasib orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Atas sebab itulah ketika mengulas perkara berkenaan, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof.Datuk Dr.Mohamed Mustafa Ishak berkata, orang Melayu terutamanya di dalam Pas perlu berfikir di luar kotak.

Katanya, mereka tidak harus memikirkan perjuangan politik semata-mata sehingga soal perpaduan dengan UMNO mahu diketepikan begitu sahaja. Landskap politik negara yang berubah ketika ini jelas tidak menguntungkan orang Melayu dari segi jangka masa panjang.

''Tiada gunanya kita beria-ia memperjuangkan politik individu dan kepartian tetapi akhirnya kehidupan ummah tergugat,'' katanya ketika dihubungi.

Kenyataan ini seharusnya memberi pemahaman kepada kelompok-kelompok tertentu di dalam Pas yang dilihat cukup alergi apabila hendak bekerjasama dengan UMNO. Tetapi dalam masa yang sama, mereka begitu teruja menjalin persahabatan dengan DAP dan juga PKR yang ketika ini dilihat hanya mahu memperkudakan Pas.

Menurut Dr.Mohamed Mustafa, tindakan Abdul Hadi memeluk Najib dilakukan secara spontan dan ia menunjukkan bahawa bukanlah susah sangat untuk menjalinkan perpaduan antara UMNO dan Pas . ''Ia hanya soal mahu dengan tidak sahaja. Saya fikir bagi UMNO, parti itu sememangnya mahu menjalinkan perpaduan dengan Pas, soalnya bagaimana dengan Pas?,'' katanya.

Bagi Dr.Mohamed Mustafa, tiada apa yang lebih penting dalam perjuangan sesebuah parti politik Melayu itu selain memastikan kepentingan dan keutuhan ummah terjamin. Inilah pertimbangan utama yang harus diberikan oleh puak-puak yang terlalu memikirkan politik kepartian.

Kemesraan dan keterbukaan yang ditunjukkan oleh Abdul Hadi seharusnya menjadi teladan bahawa itulah sebenarnya yang diseru dalam Islam. Perbezaan ideologi politik tidak harus menjadi pencetus kepada 'penyebaran virus' kebencian antara umat Islam, sebaliknya perlu dijadikan asas bagi melahirkan ummah yang terbaik.

Perpecahan sesama umat Islam dan perpaduan yang retak di kalangan orang Melayu sudah menjadi bukti bagaimana ia telah memberi kesempatan kepada pihak lain untuk menangguk di air keruh. Jika orang Melayu di dalam UMNO dan Pas masih lagi dengan haluan politik masing-masing sehingga ada antara mereka menggunakan segala pendekatan bagi menjatuhkan antara satu sama lain, ia akhirnya akan membawa bencana kepada orang Melayu secara keseluruhannya.

Ia kerana apabila mereka terus bersengketa semasa sendiri, jatuh menjatuh antara satu sama lain, maka akhirnya mereka akan menjadi insan yang paling lemah di muka bumi ini. Sebab itulah, kita mengharapkan keakraban dan semangat persaudaraan yang ditunjukkan oleh Abdul Hadi tidak akan berakhir di Sarawak sahaja.

Sebaliknya kita berdoa agar impian untuk melihat UMNO dan Pas bersatu sebagai satu kelompok ummah yang kuat menjadi kenyataan. Tidak apa jika mereka hendak mengarak lambang berbeza dalam perjuangan politik tetapi biarlah bersama-sama menegakkan panji-panji perpaduan ummah!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Isu 'hangat' berbangkit di Phnom Penh

Posted:

Isu 'hangat' berbangkit di Phnom Penh

Isu 'hangat' berbangkit di Phnom Penh

SENATOR DATUK DR.FIRDAUS HAJI ABDULLAH Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

ADA dua perkara yang menyebabkan perwakilan Malaysia 'tergamam' dalam satu seminar antara anggota Parlimen ASEAN di Phnom Penh, Kemboja pada 4 dan 5 April lalu. Pertama, isu lama pembantu rumah dari Indonesia Nirmala Bonat yang dianiaya majikannya di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Kedua, isu baru tentang dakwaan seorang pembantu rumah dari Kemboja yang dirogol oleh majikannya di Malaysia.

Seminar tersebut diadakan dalam rangka kerjasama Asean Inter-Parlimentary Assembly (AIPA) dan diberi nama yang panjang, The Role of Parliamentarians on the Protection and Promotion of the Rights of Migrant Workers in ASEAN.

Isu Nirmala Bonat ditimbulkan oleh seorang perwakilan dari Indonesia yang ingin tahu tindakan yang telah diambil terhadap bekas majikan Nirmala yang menyiksanya dan telah didapati bersalah oleh mahkamah.

Anggota Parlimen dari Indonesia tersebut bertanya apakah benar bekas majikan Nirmala itu masih bebas (belum menjalani hukuman) walaupun telah didapati bersalah oleh mahkamah.

Saya dan Senator Boon Som Inong (wakil masyarakat Thai di Dewan Negara) agak tergamam apabila isu Nirmala itu ditimbulkan dalam seminar tersebut. Kami sendiri tidak pasti sekiranya bekas majikan Nirmala yang bersalah menganiayanya telah menjalani hukuman atau belum.

Walaupun wakil Indonesia tersebut menimbulkan isu penganiayaan Nirmala dengan menggunakan bahasa yang sopan santun dan penuh diplomasi, namun secara tersirat dia seakan-akan mempersoalkan 'kesungguhan' Malaysia melindungi kebajikan pekerja-pekerja asing terutama dari Indonesia. Secara tersirat juga, beliau seakan-akan mempersoalkan keberkesanan sistem kehakiman iaitu proses mahkamah di negara kita.

Sebagai anggota perwakilan dari Malaysia tentu menjadi tanggungjawab saya dan Senator Boon untuk memberi penjelasan isu yang ditimbulkan itu. Tetapi apakah yang hendak kami katakan kerana kami sudah hampir terlupa isu penganiayaan Nirmala. Bagi Indonesia (setidak-tidaknya bagi perwakilannya dalam seminar di Phnom Penh), perkara itu masih menjadi 'duri dalam daging'. Berbeza dengan kita, nampaknya mereka tidak mudah lupa.

Jadi, bagaimanakah kami (saya dan Senator Boon) hendak menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (Parlimen) Indonesia itu? Nasib baik, dalam keadaan 'terpinga-pinga' memikirkan bagaimana hendak memberi jawapan, saya teringat isu penganiayaan Nirmala ini pernah ditanya oleh seorang Senator kepada Kementerian Dalam Negeri dalam satu sidang Dewan Negara pada pertengahan tahun lalu.

Jika tidak silap, jawapan yang diberikan oleh kementerian ialah bekas majikan Nirmala yang telah dibicarakan dan didapati bersalah itu telah mengemukakan rayuan. Dia memang masih bebas (belum menjalani hukuman) dengan ikat jamin. Sewaktu itu, belum lagi ditetapkan bila kes tersebut akan dibicarakan di mahkamah rayuan. Itulah yang saya ingat dan itulah jawapan yang saya berikan. Saya juga berterus terang mengatakan saya kurang pasti perkembangan mutakhir mengenai perkara itu.

Selain isu Nirmala Bonat, satu lagi perkara yang 'mendebarkan dada' kami selama berada di Phnom Penh menghadiri Seminar AIPA itu ialah berita di halaman pertama akhbar The Phnom Penh Post (5 April) mengenai seorang pembantu rumah berasal dari Kemboja yang mendakwa dirogol oleh majikannya di Malaysia.

Dakwaan pembantu rumah itu, (yang masih berada di Malaysia) didedahkan oleh ibunya bernama Srey Sophal dalam satu sidang akhbar di Phnom Penh pada 4 April. Sidang akhbar tersebut dianjurkan oleh seorang pemimpin parti pembangkang Kemboja, Sam Ranisy Party bernama Mu Sochua.

Srey Sophal mendakwa anaknya telah dirogol dua kali (pada 29 dan 30 Mac) oleh bapa kepada majikannya. Sebelum itu, anaknya telah disiksa dengan berbagai cara - dipukul, dikurung dalam bilik berkunci dan tidak diberi nasi.

"They beat my daughter. They locked my daughter in a room, deprived her of rice," demikian Srey berkata sebagaimana dilaporkan oleh The Phnom Penh Post

Kerana 'siksaan yang dideritainya' itu, anak Srey ingin kembali ke Kemboja dengan segera. Tetapi syarikat yang mengurus penghantarannya ke Malaysia, Champa Manpower Company menuntut bayaran (ganti rugi atau denda kerana tidak mematuhi kontrak) sebanyak AS$2000.

Kerana 'kesahihan' berita tersebut (dakwaan Srey konon anaknya disiksa dan dirogol) masih belum dapat dipastikan dan kerana wujudnya unsur-unsur sensasi di dalam berita, maka Kedutaan Malaysia di Phnom Penh menasihatkan kami, saya dan Senator Boon mengelak memberi sebarang ulasan untuk sementara waktu.

Saya sendiri mendapat kesan bahawa berita dalam The Phnom Penh Post itu bercampur baur antara 'fakta dan fiksi' dan memang sengaja disulam dengan unsur-unsur drama. Tetapi sekurang-kurangnya ada dua pengajaran yang saya peroleh daripada berita tersebut dan daripada perbincangan sepanjang seminar anjuran AIPA itu.

Pengajaran pertama, isu pekerja pendatang akan tetap menjadi sumber 'dilema kemanusiaan' dalam erti bagaimana untuk mewujudkan hubungan menang-menang (win-win relationship) antara majikan dan pekerja hingga kedua pihak merasa keperluan masing-masing dipenuhi dan tidak ada pihak merasa dirugikan atau dianiaya.

Pengajaran kedua, agar negara kita jangan sampai dimalukan dan tidak menjadi 'mangsa prasangka' dalam forum-forum antarabangsa seperti seminar pekerja pendatang anjuran AIPA itu, isu seperti penganiayaan Nirmala janganlah sampai dibiarkan berlarutan sehingga terperangkap dalam proses birokrasi keadilan (sistem mahkamah) kita.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan