Utusan Online - Pahang |
Posted: Felcra nafi keluarkan borangOleh ALI MAHMOOD TEMERLOH 14 April - Felcra Berhad Kerdau menafikan borang kemasukan peserta baru di peringkat empat ladangnya telah habis diedarkan baru-baru ini. Pengurus Gugusan Felcra Berhad Kerdau, Yahaya Bokhari berkata, pihaknya tidak mengetahui borang yang telah diedarkan kerana belum lagi menerima arahan pihak atasan. "Felcra baru sahaja membersihkan serta menanam sawit di ladang seluas 324 hektar sejak empat tahun lepas. Ia belum mengeluar hasil, bagaimana borang hendak dikeluarkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas khabar angin mengenai pengedaran secara meluas borang kemasukan peserta baru di ladang Felcra Gugusan Kerdau. Yahaya berkata, berita tersebut tidak tepat serta penyebarannya bertujuan menjadikan orang ramai bimbang dan terkeliru sekali gus menjejaskan nama baik agensi tersebut. Sehubungan itu, beliau menasihat orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan penyebaran khabar angin tersebut, sebaliknya menghubungi pengurusan Felcra negeri, wilayah atau rancangan untuk mendapat maklumat tepat. Menurutnya, hanya pengurusan Felcra negeri dan pusat yang berhak membuat arahan untuk pengeluaran borang kerana ia bertanggungjawab mencetak dan mengedar borang terbabit. | ||
Manfaatkan pertanian ubah kehidupan Posted: Manfaatkan pertanian ubah kehidupanJERANTUT 14 April - Kerajaan negeri boleh menarik balik kediaman dan lot tanah peserta Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) Kampung Bukit Rang di sini jika mereka gagal menunjukkan prestasi untuk mengubah kehidupan mereka. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, program itu bertujuan membasmi kemiskinan penduduk luar bandar selain pembangunan modal insan generasi baru menerusi peluang pendidikan. ''Oleh itu, mereka yang terpilih perlu bersyukur dan proaktif mengubah kehidupan menerusi sektor pertanian, vokasional dan pendidikan," katanya selepas majlis perjumpaan dan penyerahan Projek Program Peningkatan Pendapatan kepada penduduk PPMS di balai penghulu Simpang Pulau Tawar di sini, baru-baru ini. Ahmad Shukri turut meminta penduduk mengubah pemikiran dengan merebut peluang dalam sektor pertanian yang disediakan oleh kerajaan negeri supaya matlamat kemiskinan sifar di negeri ini tercapai. Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM700,000 untuk projek tanaman pisang berangan yang diusahakan oleh 50 penduduk miskin di bawah program tersebut. | ||
Jalan berlubang ke Taman Negara Posted: Jalan berlubang ke Taman Negara
SAUDARA Pengarang, Saya begitu tertarik serta berterima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan menyediakan pelbagai kemudahan asas untuk pelawat domestik dan pelancong Barat. Tetapi, apa yang menjengkelkan ialah jalan raya yang menghubungkan ke Taman Negara dari bandar Jerantut kerap berlaku kerosakan dan tidak diselenggarakan secara berjadual. Keadaan tar pecah, lubang yang dalam dan berlopak digenangi air hujan, antara senario yang cukup membosankan di kalangan pemandu kenderaan dan pelawat. Fenomena itu mengundang rasa tidak selesa ketika melalui laluan berdekatan persimpangan masuk dari Jerantut Feri hingga ke Felda Padang Piol. Kesulitan yang sama dihadapi oleh pemandu apabila melalui jalan Felda Sungai Retang dan Kampung Merting didapati jalan rosak, berlubang dan tompokan najis haiwan. Jalan yang berlubang menyebabkan kerap kerosakan rim kenderaan dan membahayakan penunggang motosikal pada waktu malam. Saya pernah terbaca di beberapa akhbar beberapa tahun lalu apabila seorang Exco kerajaan negeri memberitahu bahawa jalan Jerantut ke Taman Negara melalui Felda dan perkampungan tradisional di Tembeling Tengah akan diwartakan sebagai jalan pelancongan. Diminta kerajaan negeri segera menyelenggarakan projek membaik pulih laluan berkenaan untuk menjamin perkhidmatan dalam sektor pelancongan bertambah baik. MAN HULU Jerantut |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan