Rabu, 13 April 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


CMP2 lonjak pasaran modal

Posted:

CMP2 lonjak pasaran modal

CMP2 lonjak pasaran modal

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak menyampaikan ucaptama ketika merasmikan Invest Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MOHD. NOOR AMIN


KUALA LUMPUR 12 April – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Pelan Induk Pasaran Modal 2 (CMP2) iaitu satu strategi kerajaan bagi menyasarkan peningkatan pasaran modal negara hingga mencecah RM4.5 trilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Perdana Menteri berkata, ini bermakna pada 2020 nanti, jumlah pasaran modal negara akan meningkat sekali ganda, malah dengan mengantarabangsakan angka tersebut, nilainya dijangka bertambah kepada RM5.8 trilion dalam tempoh sama.

Menurutnya, pelaksanaan CMP2 meliputi usaha menggalakkan pembentukan modal, meningkatkan kecekapan dan kecairan perantaraan, peruntukan dana kepada kumpulan industri, memperluaskan pasaran bon, mengurangkan birokrasi, memperhebatkan sistem kewangan Islam serta menggalakkan transaksi berskala besar.

"Salah satu keutamaan CMP2 adalah mengukuhkan peranan pasaran modal dengan menggalakkan pembentukan modal daripada peringkat permulaan kepada pembiayaan inovatif, projek baru dan teknologi hijau yang canggih.

"Bagi mencapai hasrat ini, kerajaan akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk disalurkan kepada industri modal teroka dan ekuiti swasta melalui penggubalan peraturan kawal selia secara menyeluruh di samping menyediakan insentif serta sokongan kepada kumpulan sasar,'' katanya.

Beliau menyampaikan ucaptama sempena majlis perasmian Invest Malaysia 2011 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bursa Malaysia, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Zarinah Anwar; Pengerusi Kumpulan Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menekankan peranan CMP2 dalam meningkatkan kecekapan serta kecairan perantaraan.

Katanya, Malaysia amat bertuah kerana berada dalam kedudukan baik bagi membiayai keperluan pelaburannya melalui pengumpulan simpanan domestik yang besar.

"Malah simpanan Malaysia yang tinggi dijangka memacu pertumbuhan pantas industri pengurusan pelaburan dengan aset di bawah pengurusan dijangka meningkat daripada RM377.4 bilion pada 2010 kepada RM1.6 trilion pada 2020,'' katanya lagi.

Ujarnya, pertumbuhan kukuh dalam industri pengurusan aset merupakan satu ciri utama bagi negara yang dalam proses peralihan menjadi sebuah negara maju.

"Sebagai gambaran keyakinan terhadap industri pengurusan pelaburan di Malaysia, kita jangka kadar penembusan industri unit amanah akan meningkat dari 18 peratus pada 2010 kepada 34 peratus pada 2020 dan tahap ini biasanya dikaitkan dengan negara maju.

"Seterusnya, ia akan meningkatkan lagi penghasilan aset yang menjana pendapatan bagi memenuhi keperluan institusi pelabur tempatan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ameng dijel 8 tahun, 10 sebatan

Posted:

Ameng dijel 8 tahun, 10 sebatan

Ameng dijel 8 tahun, 10 sebatan

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my


Sabariah Zakaria (dua dari kanan) bebas dari pertuduhan sementara Ameng dijatuhkan hukuman penjara 8 tahun dan 10 kali sebatan atas tuduhan mengedar dadah di Mahkamah Sesyen Melaka, semalam.


MELAKA 12 April - Angkara dadah, vokalis kumpulan Spring, Ameng hari ini dihukum penjara lapan tahun dan sebatan 10 kali setelah mengaku bersalah atas dua pertuduhan pindaan memiliki dadah dan satu pertuduhan memasukkan syabu ke dalam badannya, Februari lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Abu Bakar Katar turut memerintahkan Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 43, diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.

Isteri Ameng, Sabariah Zakaria, 41, yang didakwa bersamanya atas dua tuduhan memiliki dadah bagaimanapun dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan itu terhadap wanita tersebut.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Ameng dihukum penjara lapan tahun dan sebatan 10 kali atas kesalahan memiliki kanabis seberat 105.9 gram di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, Bandar Hilir di sini pada pukul 5.20 petang, 1 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara minimum lima tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali.

Ameng turut dihukum penjara dua tahun bagi pertuduhan pindaan kedua iaitu memiliki 0.22 gram syabu pada masa, tarikh dan tempat yang sama mengikut Seksyen 12(2) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta tersebut yang dibaca Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi tuduhan ketiga, penyanyi yang popular dengan lagu 'Sampai Hati' itu dihukum penjara setahun dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun setelah dia mengaku memasukkan dadah jenis methamphetamine (syabu) ke dalam badannya.

Kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(b) akta tersebut yang dibaca bersama Seksyen 38b akta sama, didakwa dilakukannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 6 petang, 1 Februari lalu.

Abu Bakar memerintahkan ketiga-tiga hukuman tersebut berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada hari kejadian.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis yang menyerbu bilik hotel itu telah menjumpai sebuah beg hitam yang mengandungi bungkusan plastik warna biru lutsinar berisi ketulan daun mampat dipercayai ganja, di bawah sebuah sofa.

Semasa serbuan itu, Ameng sedang duduk bersila di lantai berhadapan kerusi itu manakala isteri Ameng dan seorang kanak-kanak lelaki, dipercayai anak mereka, turut berada di dalam bilik tersebut.

Terdahulu, peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakilinya meminta mahkamah meringankan hukuman dengan alasan tertuduh menanggung tiga anak dan seorang ibu yang sakit selain menyesal atas segala perbuatannya serta berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman seberat-beratnya kerana artis itu dikenali ramai dan mempunyai banyak peminat terutama dalam kalangan remaja.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bekas pengurus katering bebas tuduhan bunuh

Posted:

Bekas pengurus katering bebas tuduhan bunuh

Bekas pengurus katering bebas tuduhan bunuh



SHAH ALAM 12 April - Kegagalan pihak pendakwaan memanggil seorang pembantu rumah warga Indonesia menyebabkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas pengurus syarikat katering, Mohafri Mohamed (gambar) daripada tuduhan membunuh isterinya, Fazlina Ahmad, dua tahun lalu.

Dalam kejadian itu, mayat Fazlina dijumpai dalam keadaan berbungkus dengan selimut dan mulut serta hidungnya ditampal dengan pita pelekat, di dalam almari pakaian di rumah mereka di Ampang.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki dalam penghakimannya menyatakan, mahkamah kesal dengan kegagalan pihak pendakwaan memanggil pembantu rumah bernama 'Yayok' itu untuk memberikan keterangan kerana dia adalah antara tiga orang dewasa yang berada di tempat kejadian termasuk mangsa dan tertuduh.

Kata beliau, selepas kejadian, Yayok ditahan dan disabitkan bersalah sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), dipenjara dan dihantar pulang ke negara asalnya serta semua maklumat itu di bawah kawalan pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Siti Nathiroh Abu Bakar.

Menurut beliau, keterangan percakapan Yayok terhadap polis tidak memberi sebarang nilai kepada kes pendakwaan memandangkan ia hanyalah keterangan cakap mulut (hearsay) tanpa pemeriksaan balas.

''Kegagalan itu menyebabkan berlakunya kelompangan dalam kes dan saya mendapati adalah tidak selamat untuk memanggil pembelaan sekiranya tertuduh memilih untuk berdiam diri kerana hanya ada satu hukuman iaitu mati.

''Oleh itu, mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,'' kata Hakim Mohtarudin.

Mohafri, 38, yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh Fazlina, 39, di rumah No. 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang antara pukul 5 pagi dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009.

Sebanyak 16 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang kes pendakwaan berlangsung termasuk bekas teman wanita Mohafri, Nazratul Annis Zainal Abidin, 23, yang mendakwa dia dan tertuduh merancang untuk berkahwin di sempadan Thailand setelah tertuduh mengaku dia sudah bercerai.

Selepas mendengar keputusan itu, seluruh ahli keluarga Mohafri di galeri awam dilihat saling berpelukan dan mengalirkan air mata. Mereka terus mengerumuni dan memeluk Mohafri yang kelihatan tergamam sebaik sahaja mahkamah selesai bersidang.

Anak sulung Mohafri, Nurin Irdina, 9, juga dilihat tidak melepaskan peluang memeluk bapanya dengan erat.

Mohafri ketika ditemu pemberita mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua ahli keluarga serta petugas-petugas di Penjara Sungai Buloh kerana melayannya dengan baik sepanjang hampir dua tahun ditahan di situ.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan