Utusan Online - Timur |
74 kes pencerobohan taman laut Posted: 74 kes pencerobohan taman laut
SETIU 12 April - Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) akan meningkatkan pemantauan di seluruh perairan yang berdekatan taman laut terutamanya di Pahang yang mencatatkan kes pencerobohan tertinggi sejak dua tahun lalu. Ketua Pengarahnya, Dr. Sukarno Wagiman berkata, daripada 74 kes yang dikesan di seluruh perairan negara pada 2009, sebanyak 29 kes berlaku di negeri itu. "Bagaimanapun pemantauan agresif JTLM bukan sahaja berjaya menurunkan kadar kes pencerobohan di perairan itu malah turut memberi kesan di seluruh negara apabila dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini hanya 12 kes dikesan berbanding 20 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu. "Daripada jumlah itu, pencerobohan taman laut di perairan Kedah dikesan paling banyak berlaku iaitu lima kes dan semakin berkurangan di perairan Terengganu dan Pahang," katanya pada majlis penutup Kem Pendidikan Marin anjuran JTLM dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Malaysia di Taman Laut Pulau Redang, Kuala Terengganu di sini kelmarin. Kem yang dianjurkan selama tiga hari melibatkan kira-kira 100 peserta daripada Unit Pengakap Laut itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Sumber Asli dan Alam sekitar, Datuk Aziyah Mohamed. Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Kaharudin Momin. Dalam pada itu, Sukarno berkata, JTLM melatih 100 penyelam untuk mengawasi aktiviti pengunjung agar mereka tidak merosakkan batu karang. Sebelum ini, katanya, JTLM menggunakan pendekatan penguatkuasaan secara makro iaitu kesalahan umum seperti menangkap ikan atau melabuhkan sauh di atas terumbu karang. "Tahun ini, JTLM melaksanakan penguatkuasaan secara mikro iaitu memantau kesalahan yang dilakukan oleh pengunjung yang memijak atau mematahkan karang ketika aktiviti snorkeling dan menyelam. "Bagaimanapun untuk peringkat awal ini, kita menasihati terlebih dahulu pesalah terlibat dan jika masih melakukannya, tindakan tegas akan diambil. "Kita juga melakukan pemeriksaan di jeti bagi mengelakkan penyeludupan batu karang," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Sasar 100,000 Rakan Cop di Kelantan Posted: Sasar 100,000 Rakan Cop di KelantanPASIR PUTEH 12 April - Polis Kelantan menyasarkan lebih 100,000 penduduk negeri ini menganggotai Rakan Cop bagi membantu polis mencegah dan mengurangkan pelbagai kegiatan jenayah di Kelantan. Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim (gambar) berkata, setakat ini seramai 15,700 penduduk negeri ini sudah mendaftar sebagai Rakan Cop. "Kita mahu mengurangkan kadar jenayah terutama membabitkan kes ragut, samun bersenjata, pecah rumah, curi motosikal, curi kabel telekom dan terkini kecurian getah beku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Polis Bersama Masyarakat Mencegah Jenayah di Kampung Bendang, di sini hari ini. Lebih 300 penduduk kampung, anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Supritendan Mohd Kamal Zainal, menyertai majlis berkenaan. Mazlan berkata, walaupun kadar jenayah pada keseluruhannya semakin menurun terdapat kes jenayah jalanan seperti samun dan ragut masih meningkat dan kerjasama orang ramai untuk memberi maklumat terutama menerusi talian khas Rakan Cop sangat diperlukan. "Bagi membendung kegiatan itu pihak polis bekerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti anggota Rela dan anggota Rukun Tetangga (RT) dalam operasi pencegahan pada masa akan datang. "Berbanding sebelum ini ia hanya membabitkan anggota polis sahaja," katanya. Beliau bagaimanapun memberi peringatan tegas kepada penduduk kampung yang berjaya memberkas penjenayah supaya tidak mengambil tindakan sendiri dengan mendera sehingga membawa kecederaan dan kematian suspek. "Ia bukan sahaja menggagalkan sistem keadilan dan penyiasatan polis tetapi boleh menampilkan suatu kes lain sebagaimana kes di Rantau Panjang di mana seorang suspek didera sehingga mati pada awal tahun ini yang boleh membawa akibat buruk pula kepada mereka bertindak sedemikian," katanya. Tambahnya, orang awam sepatutnya tidak bertindak di luar batas perundangan dengan menyerahkan penjenayah kepada polis bersama bahan bukti untuk diambil tindakan yang sewajarnya tanpa mencederakannya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Rumah bakal pengantin terbakar Posted: Rumah bakal pengantin terbakar
KUALA TERENGGANU 12 April - Seorang gadis, Noor Akma Edayu Othman, 26, hanya membilang hari untuk bergelar isteri dan majlis pernikahannya dijadual berlangsung 22 April ini di rumah keluarganya di Kampung Mengabang Tengah Masjid, Batu Buruk di sini. Namun malang datang bertimpa apabila rumahnya musnah terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi 4 April lalu hingga menyebabkan Noor Akma Edayu bersama enam ahli keluarganya tinggal sehelai sepinggang. Berikutan tragedi itu, segala persiapan perkahwinan termasuk semua barang hantaran bernilai RM10,000 musnah dan mereka kini terpaksa tinggal menumpang di rumah jiran. Lebih sedih lagi, bakal pengantin itu turut kehilangan bapa tersayang, Othman Said, 56, yang meninggal dunia di rumah jirannya kira-kira pukul 4 petang semalam akibat kanser paru-paru yang dihidapinya sekian lama. Noor Akma Edayu, anak ketiga daripada lima beradik ketika ditemui berkata, walaupun amat hiba dengan dua ujian yang menimpanya itu, dia tetap reda dengan ketentuan Ilahi malah percaya ada hikmah di sebaliknya. Kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) di bawah Skim Latihan Graduan (SLG) itu mengakui terkilan kerana arwah bapanya tidak sempat menyaksikan majlis perkahwinannya yang ditetapkan pada 22 April ini. "Malah semalam, arwah bapa minta saya supaya segerakan majlis perkahwinan hari ini juga, seolah-olah macam dia dah tahu dia akan 'pergi' tinggalkan kami. "Hanya beberapa jam selepas dia cakap begitu, arwah menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 4 petang semalam," katanya ketika ditemui di Kampung Mengabang Tengah Masjid, di sini hari ini. Menurutnya, bapanya, seorang pengawal keselamatan di bengkel Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Chendering mula dikesan menghidap kanser paru-paru sejak setahun lalu dan ia semakin serius dua hingga tiga bulan kebelakangan ini. Katanya, majlis pernikahan dengan tunangnya, Mohd. Radhi Harun, 26, dari Kampung Losong di sini tetap akan diteruskan pada 22 April ini di rumah jirannya itu dengan segala persiapan dibuat termasuk mengedarkan kad jemputan. Kata Noor Akma Edayu, dia dan seluruh keluarganya mengucapkan setinggi terima kasih kepada jirannya itu atas kesudian menerima mereka menumpang teduh, sementara menunggu kediaman baru dibina atas bantuan kerajaan negeri. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan