Selasa, 5 April 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Rakaman video seks di YouTube

Posted:

Rakaman video seks di YouTube

Rakaman video seks di YouTube

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


Antara sorotan aksi klip video skandal seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin utama parti pembangkang telah dimuat naik ke laman web Youtube.


KUALA LUMPUR 4 April – Sebahagian daripada rakaman video seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan pembangkang telah dimuat naik ke laman sosial YouTube hari ini.

Video yang diberi judul VTS 01 1 itu dimuat naik oleh individu yang menggunakan nama samaran 'thepowerman'.

Rakaman video seks selama 1 minit 47 saat itu dipercayai sebahagian daripada rakaman selama 20 minit yang didedahkan kepada sekumpulan wartawan di hotel Seri Carcosa baru-baru ini.

Rakaman video seks itu juga sudah dipaut ke beberapa laman blog dan sehingga petang ini, video asalnya di YouTube sudah ditonton oleh lebih 300 orang.

Dalam rakaman tersebut, kelihatan dengan jelas tiga individu iaitu dua lelaki dan seorang wanita dipercayai pelacur dari China sedang mundar-mandir di dalam bilik dipercayai di sebuah hotel.

Salah seorang lelaki itu hanya bertuala sehingga ke paras lutut tanpa memakai baju manakala seorang lagi berpakaian kemas.

Pada akhir rakaman video itu, lelaki yang hanya bertuala kelihatan mendekati wanita tersebut dan memeluknya sebelum rakaman video tersebut berakhir.

Pada 21 Februari lalu, dunia politik tanah air gempar apabila sekumpulan wartawan dipertontonkan rakaman video seks di hotel Seri Carcosa di sini oleh kumpulan tiga lelaki yang menggelarkan diri mereka Datuk T.

Rakaman video yang didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan pembangkang itu didedahkan sebagai amaran supaya pemimpin tersebut serta isterinya berundur dari dunia politik.

Meskipun tidak menamakan siapa individu di dalam video seks terbabit, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil membuat penafian bahawa beliau adalah individu yang dimaksudkan pada hari sama video seks itu ditayangkan.

Tiga hari kemudiannya, trio Datuk T akhirnya mendedahkan identiti mereka iaitu tiga ahli perniagaan termasuk sahabat karib Anwar, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan juga bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik serta Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.

Rakaman video seks itu juga sudah disahkan tulen oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada 1 April lalu selepas diteliti pakar profesional.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Adil kepada semua rakyat

Posted:

Adil kepada semua rakyat

Adil kepada semua rakyat

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 4 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan kakitangan awam bahawa tonggak utama dalam pentadbiran ialah berpegang kepada prinsip kerajaan hari ini adalah untuk semua, oleh itu mereka perlu bersikap adil kepada semua rakyat.

Beliau mahu setiap anggota pentadbiran awam menerapkan empat elemen penting 'Strategi Lautan Biru' dalam pengurusan tugas mereka iaitu 'mengurang', 'menghapus', 'mencipta' dan 'menambah peluang' yang disifatkan sebagai amat penting dalam meningkatkan prestasi kerajaan.

"Kita telah mengenal pasti kekangan dalam struktur pelaksanaan yang menjadi hambatan untuk kita memacu ke hadapan dengan lebih pantas, Justeru, kita buat kesimpulan bahawa lapan laporan inisiatif strategik perlu dilaksanakan di pelbagai peringkat," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Najib berkata, mereka juga perlu berfikiran kreatif dalam mencari jalan penyelesaian sesuatu masalah dan tidak hanya menuntut bajet tambahan atau pertambahan kakitangan apabila menerima arahan melakukan kerja tambahan daripada kerajaan.

Sebagai contoh katanya, gabungan rondaan membabitkan lebih 20,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan-kawasan panas boleh menyelesaikan masalah berbangkit.

"Ketirisan yang berlaku juga kita cuba hapuskan seperti langkah yang menggemparkan sehari dua ini iaitu tindakan yang dibuat terhadap beberapa anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Ini merupakan usaha kita nak hapuskan ketirisan, salah guna kuasa dan rasuah," katanya.

Menurutnya, penjimatan masa menyiapkan pasport antarabangsa seperti yang dilakukan oleh pasukan petugas khas pemudah cara perniagaan (Pemudah), membawa pulang penuntut dari Mesir selain memperkenalkan sistem pengurusan nilai dalam pentadbiran awam merupakan usaha kerajaan dan swasta untuk mencipta lebih banyak lagi peluang kepada rakyat.

"Mengenai isu novel Interlok, Timbalan Perdana Menteri mengambil tindakan selesaikan masalah ini dengan mencari jalan terbaik. (Begitu juga) apabila masalah Bible berbangkit, kita cuba melakukan secara adil kepada pihak yang berasakan kita perlu beri pertimbangan kepada tuntutan mereka.

"Inilah kerajaan kita hari ini, janganlah kita melihat daripada aspek kita sahaja. Kita mesti melihat daripada aspek rakyat. Rakyat mesti didahulukan, saya berharap pencapaian kita lebih memberangsangkan lagi dan terus meningkat dengan melakukan yang terbaik," katanya.

Najib turut menarik perhatian bahawa semalam genap dua tahun beliau menjadi Perdana Menteri dan dalam tempoh itu dua perkara besar telah dilakukan iaitu mengenal pasti bidang-bidang yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan dan membuat penilaian persekitaran ekonomi negara dan global.

Menurutnya, langkah proaktif dan berani telah dilakukan kerajaan iaitu melalui dua pakej rangsangan ekonomi yang terbesar di dunia sehingga berjaya mengatasi krisis ekonomi dengan jayanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

9 MoU akan ditandatangani semasa lawatan PM ke Korea Selatan

Posted:

9 MoU akan ditandatangani semasa lawatan PM ke Korea Selatan

9 MoU akan ditandatangani semasa lawatan PM ke Korea Selatan

Oleh Gamal Nasir


Najib Tun Razak bersalam dengan Ketua Perwakilan Pelajar Malaysia di Hanyang Universiti Korea, Fidzuan Kassim (dua dari kiri) ketika tiba di Lotte Hotel, Seoul, Korea Selatan, semalam. – Bernama


SEOUL 4 April – Sejumlah sembilan perjanjian persefahaman (MoU) akan ditandatangani antara kerajaan Malaysia, Korea Selatan dan sektor swasta kedua-dua negara semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara ini.

Duta Malaysia di Korea Selatan, Datuk Ramlan Ibrahim berkata, dalam lawatan itu, Perdana Menteri akan menyaksikan dua MoU kerajaan dengan kerajaan (G2G) ditandatangani, manakala bakinya, tujuh MoU merupakan antara sektor swasta.

"Ini termasuk MoU antara Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (DPPM) dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kebangsaan Korea (KCCI) mengenai penubuhan majlis perniagaan bersama (JBC)," ujarnya dalam sidang akhbar sempena lawatan itu di sini hari ini.

Najib tiba di ibu negara Korea Selatan malam ini bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari dari 4 hingga 6 April ke negara di selatan tanah Semenanjung Korea.

Menurut Ramlan, ini merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Korea Selatan atau nama rasminya Republik Korea (ROK) semenjak mengambil alih pemerintahan kerajaan pada April 2009.

Lawatan ini, katanya, adalah juga atas jemputan Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak yang telah melakukan lawatan negara ke Malaysia pada 9 Disember tahun lalu.

Selain isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, turut mengiring Najib ke lawatan ini ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.

Ramlan berkata, esok, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Myung-bak di Cheong Wa Dae (Istana Presiden yang lebih dikenali dengan nama Rumah Biru), selain membuat kunjungan hormat terhadap rakan sejawatannya, Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Hwang-sik di Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Kerajaan Pusat.

Najib juga akan mengadakan beberapa 'pertemuan minda' dengan beberapa syarikat besar Korea serta kumpulan pemikir dan perniagaan, di samping memberi ucaptama pada Seminar Peluang Perniagaan di Malaysia" anjuran Dewan Perdagangan dan Perindustrian Korea, katanya.

Ramlan memberitahu, hubungan dua hala Malaysia-Korea Selatan telah berkembang dengan baik khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan latihan, pelancongan serta teknologi.

"Pada 2010, perdagangan antara kedua-dua negara mencatat peningkatan dan memihak kepada ROK sebanyak 30.7 peratus kepada AS$16.43 bilion (RM52.90 bilion) daripada AS$11.71 bilion (RM41.21 bilion) dalam 2009. ROK juga kekal menjadi rakan dagangan keenam terbesar Malaysia pada 2010.

"Pada tahun yang sama, pelaburan Korea Selatan di Malaysia adalah yang ketujuh terbesar. Setakat ini, negara itu telah melabur sejumlah AS$2.7 bilion (RM8.69 bilion) di Malaysia yang mewujudkan 61,637 pekerjaan bagi rakyat Malaysia," jelasnya.

Sementara itu, dari Januari hingga Disember 2010, pelaburan Malaysia di Korea Selatan pula dinilaikan sebanyak AS$57.53 juta (RM185.24 juta) dengan tumpuan dalam bidang kewangan, pembangunan hartanah dan perkhidmatan, tambah Ramlan. – Utusan

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan