Selasa, 5 April 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Poco-poco: Harussani kena buat penjelasan terbuka, kata Abim

Posted: 05 Apr 2011 12:55 AM PDT

KUALA LUMPUR, 5 April — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria agar memberi penjelasan terperinci secara terbuka ekoran keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mengharamkan tarian poco-poco di negeri itu berkuat kuasa Januari lalu.

Presiden Abim Muhd Razak Idris berkata, walaupun Jawatankuasa Negeri Perak telah membuat keputusan mengharamkan poco-poco, namun ia perlu dijelaskan supaya tidak menimbulkan kekeliruan.

"Mufti Perak tentu mempunyai asas-asas syariah tertentu apabila mengambil sikap mengharamkan tarian poco-poco di Perak, memandangkan negara ini mengamalkan sistem pentadbiran Islam yang terpisah maka keputusan fatwa peringkat negeri Perak itu wajar dihormati.

"Mufti Perak wajar membuat penjelasan terperinci dan terbuka tentang isu ini dengan segera memandangkan ia telah menjadi tajuk perbahasan umum," katanya kepada The Malaysian Insider.

Menurut Muhd Razak, penjelasan yang perlu dibuat itu perlu memberikan sebab-sebab terperinci dari sudut tarian poco-poco yang didakwa Harussani bercanggah dengan ajaran Islam.

"Pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak seharusnya membuat penjelasan terperinci aspek-aspek dari tarian yang bercanggah dengan ajaran Islam.

"Penjelasan ini tentu akan dapat memberikan keyakinan kepada semua pihak terhadap falsafah di sebalik sesuatu hukum terutama sekali kepada penganjuran tarian ini," katanya.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Januari lalu telah memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian.

Ekoran pengharaman itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco.

Isu itu menjadi polemik sejak dua tahun lalu ekoran poco-poco yang awalnya dilihat sebagai senaman semata-mata bertukar menjadi tarian.

Semalam, Harussani (gambar) berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak akan kekal dengan pendirian mengharamkan tarian poco-poco.

Sementara itu, Majlis Fatwa Kebangsaan yang bermesyuarat 20 April ini akan memutuskan pendiriannya.

Muhd Razak, Harussani juga perlu membentangkan keputusan yang dibuat itu kepada Majlis Fatwa Kebangsaan supaya mendapat pandangan menyeluruh dalam badan itu.

"Namun, keputusan fatwa ini wajar juga dibentangkan di peringkat Majlis Fatwa Kebangsaan, ini bagi membolehkan pandangan menyeluruh dapat diambil.

"Ini juga bagi menyeragamkan pandangan tentang sesuatu hukum supaya dapat mengelakkan kekeliruan masyarakat tentang hukum sesuatu amalan.

"Tambahan pula hukum Islam tidak harus dilihat berbeza-beza kerana ia boleh melemahkan kewibawaan dan kehormatannya pada pandangan masyarakat," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau mahu semua pihak tidak mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang mengharamkan tarian poco-poco di negeri itu.

Bagaimanapun bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tarian poco-poco tidak sewajarnya diharamkan melainkan seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah Islam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Speaker: Saya tak akan benar tayang video seks di Parlimen

Posted: 04 Apr 2011 11:00 PM PDT

KUALA LUMPUR, 5 April — Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menolak keras cadangan agar ditayangkan rakaman video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang didedahkan "Datuk T", di Parlimen.

Beliau (gambar) berkata demikian ketika memberikan respons terhadap kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali dan Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh yang sebelum ini mencadangkan agar rakaman video seks itu ditanyangkan ketika sidang Parlimen.

Sidang Dewan Rakyat akan berakhir minggu ini.

"Di sini ada peraturan dan kawalan ketika persidangan Parlimen dan saya telah ditanya oleh wartawan mengenai isu ini. Saya tidak menjawab soalan mereka, bukan kerana saya sombong.

"Tugas Speaker adalah seperti seorang hakim, seorang hakim tidak akan memberikan maklum balas dengan segera selepas ditanya mengenai perkara ini, kena ikut prosedur," katanya.

Pandikar Amin juga menegaskan imuniti Parlimen tidak sepatutnya disalah guna dan ahli Parlimen tidak seharusnya menggunakan Dewan Rakyat untuk agenda politik dan peribadi.

Saf Anti Lucah (SAF) juga meminta ahli-ahli Parlimen tidak salah guna imuniti sehingga mencemarkan institusi Parlimen.

Imuniti Parlimen mula berkuat kuasa semasa seorang ahli Parlimen mengangkat sumpah dan ia hanya berkaitan dengan tanggungjawab yang diberikan; ia tidak boleh diguna pakai dalam hal-hal lain di luar Dewan Rakyat.

Melainkan ia ada kaitan dengan Perlembagaan Persekutuan iaitu kontrak sosial, artikel mengenai kewarganegaraan, hak keistimewaan Bumiputera, Bahasa Malaysia dan segala bentuk persoalan yang bercanggah dengan undang-undang di bawah Akta Hasutan Pindaan 1971 yang diluluskan Parlimen ekoran peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Ahli Parlimen juga dilarang mengkritik Yang di-Pertuan Agong dan Speaker.

Imuniti Parlimen dan lain-lain keistimewaan termaktub dalam Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan "Semasa sesi Parlimen, ahli Parlimen tidak boleh menggunakan perkataan yang tidak boleh digunakan dalam Parlimen, buang tuduhan-tuduhan tidak berasas, bagaimana saya boleh membenarkan tayangan yang bertentangan dan dilarang dalam Islam.

"Jadi jika anda mahu mempolitikkan isu ini, lakukan di luar Parlimen, kami telah menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi. Gunakan kedudukan ahli Parlimen untuk pertahankan diri. Tapi selagi saya masih Speaker saya tidak akan benarkan Dewan Rakyat digunakan untuk agenda politik atau peribadi," kata Pandikar Amin.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek juga membidas cadangan Karpal sambil menegaskan pendedahan rakaman video seks itu bersifat jenayah dan ia harus diserahkan kepada pihak polis bukan Parlimen.

Beliau menambah, tayangan di Parlimen akan menyebabkan Dewan Rakyat tidak lagi dihormati.

Menurut Karpal, tayangan video seks itu perlu dipertontonkan kepada ahli-ahli Parlimen agar identiti lelaki dalam video itu dapat dikenal pasti.

Cadangan Karpal itu bagaimanapun disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz semalam tetapi dengan syarat ia mendapat persetujuan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau berkata hanya Speaker Dewan Rakyat yang mempunyai kuasa menentukan perkara tersebut.

Rakaman video seks itu kali pertama ditayangkan kepada media di Carcosa Seri Negara pada 21 Mac yang mana ia didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat.

Anwar juga telah menafikan beliau adalah lelaki dalam rakaman video seks itu dan menuduh Barisan Nasional (BN) adalah dalang disebalik pendedahan tersebut.

Tiga individu iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim dilaporkan mengakui diri mereka sebagai "Datuk T".

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan