Utusan Online - Dalam Negeri |
Kurikulum sekolah sukan akan dikaji Posted: Kurikulum sekolah sukan akan dikaji
BEIJING 19 April – Kementerian Pelajaran mungkin mengubah kurikulum sekolah sukannya supaya lebih ramai atlet negara dapat dilahirkan dan pada yang sama pelajarnya juga cemerlang dalam bidang akademik. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan sekolah sukan di sini seperti Sekolah Tinggi Eksperimen Universiti Beijing yang melahirkan ramai atlet untuk negara ini dan cemerlang dalam pelajaran perlu dicontohi. "Saya melihat sekolah ini sebagai satu sekolah berprestasi tinggi tetapi keistimewaannya ia berjalan satu sesi iaitu pelajar akan memasuki kelas untuk belajar tentang akademik dan selepas itu bersambung dengan pendidikan jasmani," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah tersebut di sini hari ini. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sekolah sukan tersebut adalah kombinasi sukan dan akademik selain kemudahan bertaraf antarabangsa disediakan. Menurut Muhyiddin, tidak semua sekolah di negara ini mempunyai kemudahan seumpama itu kecuali sekolah yang terpilih dengan tujuan tertentu seperti Sekolah Tinggi Eksperimen Universiti Beijing yang melahirkan atlet renang, bola tampar, olahraga dan atlet sukan tari. "Sekolah itu berjaya melahirkan ramai atlet negara dan saya fikir perlu ada rombakan baru terhadap sekolah sukan di negara kita untuk memperbaiki lagi pencapaiannya," ujar beliau. Dalam pada itu Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran merancang untuk melahirkan 3,000 guru sukan yang mempunyai kepakaran khusus dalam sesuatu bidang sukan bagi melahirkan lebih ramai atlet negara. "Ketika ini kita mempunyai guru sukan tetapi mereka tidak cukup terlatih dan tumpuan hanya diberikan terhadap pendidikan jasmani," katanya. Beliau yang turut mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pelajaran China, Yuan Guiren hari ini sempena lawatan kerja ke negara ini memberitahu, China juga mempunyai program seperti Malaysia iaitu Satu Sukan Satu Pelajar apabila mewajibkan setiap pelajar mengambil mata pelajaran pendidikan jasmani satu jam setiap hari. Katanya, beliau turut melahirkan hasrat untuk membuat pertukaran pelajar dan kakitangan dalam bidang sukan antara kedua-dua negara bagi membantu pembangunan sukan negara. Sementara itu, Muhyiddin berkata, Malaysia berharap China dapat membantu usaha mengantarabangsakan penggunaan bahasa Melayu dengan universitinya menawarkan program bahasa tersebut. "Kita telah terima ramai pelajar yang berminat dengan bahasa Melayu dan ketika ini ada lima universiti di China yang menawarkan subjek tersebut," ujarnya. Pada masa yang sama juga katanya, Malaysia mahu memperluaskan kerjasama dalam pembelajaran bahasa Mandarin yang betul termasuk menghantar kira-kira 100 guru di Beijing Foreign Studies University supaya mereka dapat mengajar bahasa itu dengan betul apabila pulang ke negara kelak. – Utusan Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Institusi raja akan dipertahan Posted: Institusi raja akan dipertahanOleh HAMDEN RAMLI KUALA KANGSAR 19 April – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengulangi ikrar akan mempertahankan kedaulatan institusi raja Melayu daripada sebarang tindakan menghina, apatah lagi mahu meruntuhkan sistem berkerajaan dan bernegara yang telah lama berakar di bumi ini. Baginda bertitah, sebagai payung negeri, institusi raja perlu berpendirian tegas memastikan takhta kekal berada di atas politik. "Tugas tersebut bukanlah ringan. Ia memerlukan kearifan dan hikmah, pengalaman dan kedewasaan. "Tugas tersebut bertambah mencabar dalam menghadapi demografi warga yang berlatarbelakangkan pelbagai kaum, agama, ditambah pula komposisi warga muda yang bertambah bilangannya, memiliki pelbagai idealisme di samping terdedah kepada pengaruh globalisasi," titah baginda. Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-83 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini hari ini. Raja Nazrin bertitah, pada hari ini pemahaman warga terhadap institusi raja bagaikan berada di dua penghujung pendulum, ada yang menghargai kewujudannya dan ada pula yang kabur dengan peranannya. Sehubungan itu titah baginda, menjadi tanggungjawab raja pemerintah untuk memperlihatkan kepada warganya kepentingan institusi raja terutama dalam memenuhi peranan semak dan imbang dalam urus tadbir kerajaan yang berpaksikan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Titah baginda lagi, pada masa ini institusi raja sedang melalui satu lagi evolusi hasil daripada suasana dinamik politik tempatan. Bagaimanapun baginda yakin dengan pengalaman dan hikmah Sultan Azlan Shah serta raja-raja Melayu, institusi raja di bumi ini akan menemui paksi baru bagi melakarkan peranan yang lebih relevan dalam era semakin berubah. | ||
Posted: Abdul Rahman dilantik semula
KUALA LUMPUR 19 April - Tun Abdul Rahman Abbas hari ini dilantik semula sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. Abdul Rahman menerima Surat Cara Pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi tempoh dua tahun dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini. Abdul Rahman, 73, yang dilahirkan pada 15 April 1938 di Kampung Permatang Rambai, Kepala Batas, Pulau Pinang mula dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ketujuh pada 17 April 2001 dan seterusnya dilantik semula untuk memegang jawatan yang sama pada 1 Mei 2005 dan 15 April 2009. Beliau yang kini Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten), berkahwin dengan Toh Puan Majimor Shariff dan dikurniakan empat orang anak. Abdul Rahman, yang mempunyai ijazah kepujian dalam bidang Kesusasteraan daripada Universiti Malaya (UM) pada 1972, pernah menjadi pemangku Ketua Menteri Pulau Pinang selama tiga tahun bermula pada 1982. Beliau pernah berkhidmat sebagai guru selama 20 tahun sebelum aktif dalam politik dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bertam, Pulau Pinang selama empat penggal pada tahun 1978, 1982, 1986 dan 1990. - BERNAMA Abdul Rahman pernah menjadi Setiausaha Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang dari 1974 hingga 1988, Anggota Jawatankuasa Pemuda UMNO dari 1976 hingga 1978 dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas pada 1988. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan