Kosmo Online - Rencana Utama |
Wanita bebaskan keluarga daripada kemiskinan Posted: Wanita bebaskan keluarga daripada kemiskinanOleh NIZHA PERIASWAMY SUGUNTHA RAJAGOPAL baru berusia 31 tahun tetapi, dia sudah mempunyai empat orang anak yang berusia di antara empat hingga sembilan tahun. Tidak tergolong dalam kelompok keluarga kelas pertengahan jauh sekali berstatus mewah, keluarga Suguntha menjalani hidup dalam strata keluarga miskin tegar. Namun, dia masih mencari jalan untuk keluar daripada kepompong itu. Kini, Suguntha dengan berbekalkan semangat, usaha dan sokongan beberapa pihak, perlahan-lahan cuba bangkit dan memperbetulkan segala kelemahan dalam hidupnya. Itu termasuk azam untuk mendapatkan rawatan untuk salah seorang anaknya yang didiagnos penyakit jantung, membawa suaminya kembali ke jalan yang betul dan berniaga sendiri untuk menjana pendapatan keluarga. Rentetan kepayahan hidup Suguntha bermula ketika dia berusia 20-an lagi. Saat pasangan lain meniti hari gembira alam rumah tangga, dia terpaksa menghantar suaminya yang ketagihan alkohol ke pusat pemulihan di Ipoh, Perak selama empat tahun. Suaminya, Jaya Kumar Perumal, 34, ialah antara penagih alkohol tegar hingga menjejaskan kehidupan dia dan keluarga. Menurut laporan Persekutuan Polisi Alkohol Global, rakyat Malaysia adalah pengguna alkohol ke-10 tertinggi di dunia dengan perbelanjaan terhadap minuman itu mencapai jumlah AS$500 juta (RM1.514 bilion) setahun. "Saya tidak kisah mengenai perpisahan sementara itu. Asalkan dia sedar kesilapannya dan pulang sebagai manusia yang baru. Saya tidak mahu dia merosakkan diri dan keluarga dengan arak. "Selama empat tahun itu, saya terpaksa mencari pendapatan sendiri dan menjaga anak-anak. Paling memeritkan, apabila anak saya pula menghidap penyakit jantung," kata Suguntha merujuk kepada anak perempuannya, Slosini yang kini berusia enam tahun. Slosini mempunyai kembarnya iaitu Sivasini manakala anak sulungnya, Sarvin Kumar, kini dalam penjagaan sebuah rumah kebajikan. "Anak kedua saya, Ghayayini dijaga oleh ibu bapa mertua dan saya hanya menjaga kedua-dua anak kembar ini," luah Suguntha menggambarkan mengenai keperitan hidupnya. Ketika tidak ramai orang mempedulikan nasib Suguntha, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), World Vision dan badan kebajikan Malaysian Care, tampil membela dan memberi semangat kepada individu seperti ibu malang itu. SUGUNTHA (dua dari kanan) bersama kumpulan wanita lain tekun menerima tunjuk ajar daripada mentor mereka, Kogilavani (paling kanan) mengenai pengurusan bajet. Suguntha yang mendiami sebuah kawasan setinggan di Pandan Indah, Selangor kini mendapat pendidikan rumah daripada World Vision. Badan itu mahu membimbing para suri rumah seperti Suguntha mengikut panduan dan tunjuk ajar demi memperbaiki taraf hidup mereka. Pengurusan kewangan "Komuniti itu perlu mendapat didikan mengenai pengurusan kewangan dalam kehidupan harian. Selalunya, komuniti miskin dan bermasalah ini kerap menggunakan pendapatan yang mereka peroleh untuk aktiviti yang tidak berguna seperti alkohol, berjudi, pelacuran dan sebagainya. Penglibatan itu bukan sahaja merosakkan diri sendiri bahkan keluarga mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif World Vision, Liew Tong Ngan yang melihat wanita adalah pemangkin yang mampu mengubah nasib keluarga miskin itu. Sementara itu Pengurus Korporat World Vision, Yong Ching Sze memberitahu, pihaknya mengajar ketua keluarga untuk membuat pengiraan dan bajet supaya mereka dapat menjimatkan duit dan menggunakan pada waktu krisis. "Walaupun kami bukan tenaga pengajar secara langsung, kami mendapat kerjasama daripada Malaysian Care. "Tanpa mengira perbezaan bangsa, program ini dijalankan kepada mana-mana komuniti wanita yang terperangkap dalam kemiskinan dan masalah keluarga. Ching Sze ditemui Kosmo! di pejabat Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) ketika persatuan itu menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM30,000 untuk World Vision bagi menjalankan program Pendidikan Kewangan untuk wanita miskin di kawasan urban baru-baru ini. Sumbangan PIAM kali ini dipercayai dapat menyediakan pelbagai bahan modul dan sokongan serta bantuan material kepada kira-kira 150 orang wanita miskin yang mengambil bahagian dalam program pendidikan kewangan tersebut. PUSAT komuniti ini dijadikan tempat bagi Suguntha dan Letchumy serta beberapa wanita lain mengikuti program kerjasama World Vision dan Malaysian Care. "Kami memilih untuk menyumbang kepada program ini kerana percaya wanita di Malaysia mempunyai kuasa untuk mengubah nasib keluarga daripada terus dibelenggu kemiskinan," kata Pegawai Kesatuan Perhubungan Awam PIAM, Rohan Kananathan yang berjarap bantuan itu dapat dimanfaatkan sebaiknya. "Saya mewakili wanita lain ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PIAM yang menghulurkan bantuan kewangan bagi mendedahkan kami kepada program pendidikan kewangan seumpama ini. "Saya percaya ramai lagi wanita miskin, ibu tunggal, wanita bujang atau yang tidak mempunyai sokongan kekeluargaan boleh menerima kebaikan melalui program ini," luah Suguntha yang kini menarik nafas lega. Sekarang, Suguntha sudah membuka perniagaan sendiri hasil sokongan pihak berkenaan dan disiplin dirinya dalam mengikuti kursus itu. Sebagai permulaan, dia kini dapat membuka gerai jualan buah-buahan berhampiran tempat tinggalnya. Lebih bermakna, suaminya juga kini membantunya dalam perniagaan. "Suami saya menjual putu mayam di luar. Saya tidak mahu dia bekerja di mana-mana kerana takut akan dipengaruhi rakan-rakan yang tidak baik. Suami saya kini bebas daripada pengaruh negatif rakan-rakan sekali gus alkohol," kata Suguntha seraya tersenyum. Minat belajar Di pusat komuniti kawasan setinggan Pandan Jaya itu, seorang mentor, Kogilavani Lokanamdom, 38, sibuk bercakap sesuatu kepada Suguntha di samping membelek modul yang akan digunakan untuk pembelajaran pada hari itu. "Kebanyakan wanita di sini mempunyai minat untuk belajar dan memperbaiki hidup mereka. Di sini, mereka diajar untuk mengurus kewangan termasuk menabung, memberikan mereka harapan untuk terus hidup, memberi tunjuk ajar melangsaikan hutang dan membina keluarga menerusi pengurusan bajet," kata Kogilavani yang berkhidmat dengan Malaysian Care dalam program tajaan World Vision dan PIAM. Tambahnya, mereka bergabung dengan pelbagai organisasi dan pihak swasta demi membantu komuniti yang kurang bernasib baik. Setakat ini, lebih 50 orang wanita telah mengambil bahagian dalam program tersebut. "Saya bersedia memberikan wang kebajikan yang saya peroleh kepada keluarga lain yang lebih memerlukan. "Saya sudah mempunyai semangat untuk membaiki kehidupan, lebih-lebih lagi dengan bantuan suami dan ahli keluarga." kata Sugunthayang sudah memperoleh pendapatan harian sekitar RM50 hingga RM70 sehari. Hidup baru Di pusat komuniti itu juga, seorang lagi wanita ditemui Kosmo!. Berwajah riang, mungkin kerana teruja dengan sesi temu ramah, Letchumy Sinivasagan, 52, mengakui tidak pernah merasai kehidupan sebaik hari ini. KETUA Pegawai Eksekutif World Vision, Liew Tong Ngan (kiri) menerima tajaan daripada Pengurus Besar Hannover Re Asia Selatan dan Asia Tenggara, K. Rohan pada satu majlis di ibu pejabat PIAM di Brickfields, Kuala Lumpur baru-baru ini. Dapat menyelesaikan semua hutang dan memiliki semula dua barangan kemas yang dipajak gadai, dia yakin program itu mampu mengubah pelbagai masalah wanita lain. "Saya hanya bekerja sebagai orang gaji dan suami saya meninggal dunia semasa anak tunggal saya masih berusia 14 tahun," katanya yang kini sudah 14 tahun sejak kehilangan suaminya itu. Kerja sebagai orang gaji bukan baru baginya. Sejak kecil, Letchumy bekerja dengan beberapa orang majikan dan memiliki beberapa sijil kelayakan untuk kerja rumah. Namun, kerana pelbagai sebab, antaranya ketiadaan kad pengenalan dan masalah kemiskinan sejak lahir, Letchumy tidak lagi mampu bertahan dan hampir hilang harapan hidup gara-gara didesak cabaran kehidupan kelompok miskin tegar. "Saya akhirnya bertemu dengan seorang wanita bernama Christina untuk menceritakan masalah saya. Dia telah membantu saya memperoleh kad pengenalan seterusnya memperkenalkan saya kepada Malaysian Care. "Di sini, mentor, Kogilavani banyak memberi tunjuk ajar dari segi pengurusan kewangan. Kini, saya agak gembira kerana dapat mengambil kembali barang kemas yang pernah dipajak gadai selain dapat menghantar anak saya belajar di kolej," kata wanita itu. Menurut Letchumy, dia dan peserta lain akan diberikan beberapa sampul dengan setiap sampul tertulis fungsi tertentu. Antaranya ialah sampul membayar sewa rumah, elektrik dan air, menabung, untuk pendidikan anak, tebus emas pajak gadai dan sebagainya. Peserta program dididik menggunakan sampul tersebut berdasarkan pecahan peratusan pendapatan. "Ia banyak membantu apabila saya dapat mengumpul RM2,000 dalam masa hanya setahun. Sesuatu yang tidak mungkin berlaku sebelum ini," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Si pemalu jadi jurulatih cinta Posted: Si pemalu jadi jurulatih cintaSEE (kiri) sedang memberi tunjuk ajar kepada seorang lelaki teknik memikat wanita. PADA usia 17 tahun, remaja bernama Xavier See mendiami dunia penuh kemurungan. Dia berhenti sekolah dan rakan-rakan pula boleh dikira dengan jari. Tidak dianugerahkan fizikal menarik, See juga gugup apabila berdepan dengan gadis idamannya yang sering membawa kepada kekecewaan setiap kali dia ingin menjalin hubungan serius. Namun, mimpi ngeri tersebut kini tidak lagi menghantui dirinya. Hari ini, See berbangga menjadi lelaki dewasa berumur 23 tahun yang memegang kerjaya sebagai jurulatih cinta buat kaum Adam. Dia berjaya menyingkirkan imej lelaki pemalunya kepada lelaki segak berketerampilan. Segalanya begitu kontra, jika dahulu dia merupakan golongan lelaki yang gagal merebut hati wanita tetapi kini, dia menjadi guru kepada lelaki-lelaki Singapura yang mengalami nasib silam sepertinya. See kini membantu mereka mengaturkan temu janji bersama wanita yang bersesuaian. Lelaki-lelaki yang mendapatkan khidmat See akan diberi kursus tiga hari dengan bayaran sebanyak S$1,800 (RM4,320). "Pelajar-pelajar saya akan diajar cara mencuri hati wanita dengan mengasah keyakinan dan keberanian diri mereka. "Saya menyediakan sesi pembelajaran secara individu dan juga bengkel berkumpulan dengan mengajar mereka tentang keinginan wanita, mengenal pasti persekitaran serta teknik memikat hati wanita idaman mereka," jelasnya yang berkhidmat di bawah sebuah syarikat beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS), 24/7 Attractive Man. Bagi memberikan gambaran jelas situasi memikat wanita, See tanpa segan silu melakukan demonstrasi tersebut dengan menjadikan dirinya sebagai 'pelakon' di hadapan pelajar-pelajarnya yang kemudiannya akan dilakonkan semula oleh mereka. Selain itu, dia turut membawa pelajar-pelajarnya ke kedai-kedai buku, kafe dan pusat hiburan sebagai latihan komunikasi bersama wanita yang pertama kali ditemui mereka. Menyentuh soal kerjaya, dia dikira bertuah kerana khidmat yang ditawarkan menepati situasi di Singapura apabila 43 peratus lelaki dalam lingkungan umur 30 hingga 34 tahun masih bujang dan tidak mempunyai teman wanita. See memberitahu, prestasi kerjayanya semakin meningkat terutama dari segi jumlah pelajar apabila dia berjaya menerima 140 pelajar pada tahun lalu berbanding 50 pelajar pada 2009. Seorang lagi jurulatih cinta yang hanya dikenali dengan nama Skilldo mula menceburkan diri dalam kerjaya tersebut pada 2007 dan telah mengajar lebih 700 pelajar termasuk lelaki muda yang ingin mencari teman wanita serta duda yang mahu mencari cinta baru. "Tetapi sebagai sebuah negara Asia, sistem yang kita jalankan berbeza daripada negara-negara lain kerana kita perlu menghormati beberapa aspek budaya agar tidak kelihatan keterlaluan," ujarnya. Isyarat dan syarat cinta KANAN: Bayaran untuk lelaki Singapura mendapatkan khidmat jurulatih cinta untuk kursus tiga hari ialah RM4,320. Sementara itu, seorang lelaki berumur 21 tahun, Mike, menceritakan pengalamannya ketika belajar tentang teknik memikat wanita bersama See. "See mengajar kami beberapa isyarat rahsia dan peraturan ketika temujanji seperti memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap wanita yang ditemui. "Antara konsep yang diaplikasikan See diterjemah berdasarkan buku bertajuk The Game: Penetrating the Secret Society of Pickup Artists yang ditulis oleh Neil Strauss pada 2005," katanya. Seorang jurujual, Ryan Tan, 32, mengakui sejak dia mendapatkan khidmat daripada dua jurulatih cinta pada 2008, kemahiran sosialnya meningkat mendadak dan dia kini bahagia bersama teman wanitanya, Theresa Low, 35. "Lelaki memang jarang bersosial. Kami boleh bekerja dan bermain permainan komputer tetapi, kemahiran sosial kami amat rendah," katanya yang merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya pada tahun ini. Berbeza pula dengan Derick Ho, 29, dari Magic School Secret Skills, yang menyediakan kursus temu janji menggunakan pendekatan silap mata sejak 2007 lagi. Jelasnya, proses berkenalan perlu diselitkan dengan unsur kejutan agar menjadi lebih menarik dan memudahkan proses tersebut berjalan lebih pantas. "Tidak ramai yang mempunyai kelebihan melakukan silap mata. Ia mampu membuatkan perbualan hambar menjadi menarik, membuat wanita tersenyum dan membuatkan lelaki tampak lebih berkarisma. "Walaupun aksi silap mata yang dilakukan tidak menjadi, tetapi ia sebenarnya menunjukkan keikhlasan lelaki itu mencuba sesuatu bagi menarik perhatian wanita tersebut," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan