Ahad, 17 April 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


IPD Melaka Tengah terbakar angkara khianat

Posted: 16 Apr 2011 10:44 AM PDT

MELAKA: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, gempar apabila kebakaran berlaku di tepi pintu bilik unit trafik dipercayai akibat perbuatan khianat kira-kira jam 7 malam kelmarin.

Bagaimanapun, kebakaran kecil itu disedari seorang anggota cawangan penguat kuasa trafik yang kebetulan melalui kawasan itu untuk ke tandas, sekali gus mengelak api merebak ke bahagian blok lain.


Difahamkan, anggota terbabit bertindak pantas menggunakan alat pemadam api untuk memadam api yang turut menyambar belakang sebuah motosikal jenis Honda CBX 750 cc.

Kebakaran itu juga didakwa berlaku akibat bahan mudah terbakar yang diisi di dalam botol kaca sebelum dipercayai dilemparkan ke atas bumbung dan dinding pejabat berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian itu.


Menurutnya, kebakaran itu tercetus dipercayai akibat bahan mudah terbakar, namun beliau enggan menghuraikan terperinci mengenainya.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian dan kerosakan yang berlaku. Saya tidak boleh mengulas mengenainya sehingga menerima laporan lengkap siasatan," katanya.


Beliau turut tidak menolak kemungkinan kejadian disebabkan perbuatan khianat dan masih menyiasat motifnya.

Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan.


Dalam perkembangan berkaitan, dua anggota trafik dilihat sibuk membersihkan motosikal berkuasa tinggi yang terjejas dalam kebakaran itu, petang semalam.


Pemerhatian mendapati ada kesan serbuk pemadam api dan asap hitam di dinding, selain beberapa serpihan kecil kaca bertaburan di atas lantai simen dan atas bangunan pejabat itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Suami kena cekup di Bali

Posted: 16 Apr 2011 10:42 AM PDT

IPOH: Rancangan manis berbulan madu ke Bali, Indonesia, bersama suami berakhir tragedi apabila si suami ditahan polis negara berkenaan kerana cuba menyeludup dadah.

Lebih mengharukan apabila si isteri tidak dapat menerima kenyataan suaminya terbabit dengan gejala dadah sebelum mengalami histeria sejurus suspek dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.


Isteri suspek yang tidak percaya dengan apa yang berlaku kemudian ditenteramkan oleh orang ramai yang simpati dengan kejadian itu sebaik pasangan itu tiba di lapangan terbang negara berkenaan.

Sumber polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berkata, suspek, Chong Eng, 38, ditahan pihak berkuasa bebas cukai di Lapangan Terbang Bandara Ngurah Rai, Bali, sebaik tiba dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.


Menurutnya, suspek yang tiba di lapangan terbang terbabit kelmarin menimbulkan rasa curiga pihak berkuasa yang kemudian melakukan pemeriksaan rapi ke atasnya.


Difahamkan, pihak berkuasa mula curiga terhadap suspek selepas menemui objek aneh sewaktu suspek melalui mesin imbasan x-ray.

Pegawai kastam di lapangan terbang itu kemudian memeriksa rapi tubuh suspek sebelum menemui sebungkus plastik berisi serbuk putih di dalam saku seluarnya.


Hasil pemeriksaan lanjut mendapati serbuk putih seberat 2.49 gram itu adalah dadah sintetik jenis ketamin yang popular di kalangan pengunjung disko.

Difahamkan, dadah berkenaan dianggar bernilai RM900 mengikut nilai pasaran negara berkenaan.


Siasatan lanjut mendapati dadah berkenaan yang diperoleh suspek dari Pulau Pinang sengaja diseludup ke pulau peranginan itu sebagai bekalan ketika berhibur dan berseronok.


Suspek memberitahu dia datang ke pulau berkenaan untuk berbulan madu dan melancong bersama isterinya selepas sekian lama merancang percutian berkenaan.


Difahamkan, suspek warga Malaysia itu akan didakwa di mahkamah dan bakal dihukum penjara tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan.


Penangkapan itu adalah kes terbaru selepas seorang lelaki warga Malaysia ditahan di sebuah hotel terkemuka di Batam, Riau, 18 Mac lalu.


Dalam serbuan jam 2.30 petang (waktu tempatan), suspek ditahan di lobi hotel ketika dipercayai menunggu orang hubungannya di pulau peranginan berkenaan sebelum pemeriksaan lanjut menemui 300 biji pil ecstasy bernilai RM10,000 disembunyikan dalam bagasi dibawanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan