Ahad, 17 April 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Niat suka-suka

Posted: 16 Apr 2011 03:45 PM PDT

BOTA: Siapa sangka, daripada hanya guru biasa di sekolah luar bandar, seorang wanita tempatan meraih populariti lebih sejuta pengunjung laman web sosial dari seluruh dunia melalui klip video miming 'gila-gila' yang diciptanya.

Terbaru, lakonan nyanyian miming bersama solekan ekspresi muka melalui lagu 'Kalau Berpacaran' nyanyian Suhaimi Mior Hassan dan Ana Raffali berjaya membuatkan nama Cikgu Syida semakin diminati di kalangan pelayar Internet.


Cikgu Syida atau nama sebenarnya Roshida Abd Aziz, 30-an, berkata minatnya bermula dengan niat suka-suka berbekalkan kamera dan komputer yang dibeli 10 tahun lalu.

"Semuanya bermula apabila timbul hasrat membuat miming lagu 'Selamat Hari Raya' dendangan Rahimah Rahim pada Ramadan tahun lalu sebelum klip video itu dimuat turun melalui laman web Youtube.


"Namun percubaan itu dibalas dengan kata-kata cerca dan hinaan. Lebih teruk, ada yang menuduh saya gila dan sakit mental kerana menghasilkan klip video itu," kata guru Sekolah Rendah Kebangsaan Pulau Padang di Bota Kiri, di sini, ketika ditemui Metro Ahad.


Menurutnya, kata-kata kesat terbabit bukan hanya dilontarkan oleh kenalan dan rakan, malah turut dikirim puluhan pelayar di Internet.

"Namun semua itu tidak melemahkan semangat saya untuk memberi dan mencari hiburan tersendiri di samping berkongsi pengalaman bersama rakan di Internet," kata guru Bahasa Inggeris itu.


Menceritakan pengalaman klip video pertamanya, dia mendakwa pernah merah muka dan menahan malu apabila rakaman itu dimuat turun daripada Internet dan ditayangkan ketika majlis alumni sekolah, hari raya lalu.

"Pada masa itu saya fikir nak sorok muka bawah meja kerana terlalu malu dan bimbang dikutuk rakan.


"Namun ia bertukar gembira apabila rakan memberi tepukan gemuruh dan kata-kata perangsang untuk meneruskan hobi itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Parit, di sini.


Anak kedua daripada lima beradik itu juga berkata, setakat ini keluarganya tidak kisah dengan minatnya kerana sudah 'masak' dan faham perangai gila-gilanya.


"Rakan sejawat turut faham minat dan kecenderungan saya yang gemar mencuba dan mencari kelainan. Saya anggap ia satu hiburan bagi membuat orang tertarik dan tersenyum," katanya.


Dia yang juga anak perempuan tunggal pasangan pesara tentera, Abd Aziz Shafie, 73, dan Latifah Ramli, 63, berkata membesar dalam lingkungan adik beradik lelaki menyebabkan jiwanya lebih kental dan mampu menyerap tekanan.


"Saya seronok melihat diri sendiri beraksi dengan pelbagai gaya muka, ditambah dengan solekan dan alatan tambahan seperti songkok dan baju Melayu yang dipinjam daripada adik-beradik lain.


"Niat saya bukan untuk menarik publisiti murahan tapi lebih kepada memberi hiburan kepada orang ramai melalui kelainan tersendiri," katanya.


Ternyata percubaan luar biasa itu melonjakkan namanya sebagai 'artis' baru paling terkenal di Internet dan berjaya menarik pengunjung dalam dan luar negara.


"Yang saya tahu, sejuta pelayar Internet melihat klip video saya yang mula dimuat turun empat bulan lalu.


"Malah, klip video miming saya itu turut menarik hampir 10,000 ahli daripada pelbagai bangsa dan keturunan termasuk dari luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia melalui 'Fan Page' (laman peminat) yang dibina dua bulan lalu," katanya.


Kejayaannya turut mendapat pengiktirafan apabila penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza menjemputnya sebagai tetamu khas dalam program bersama syarikat penyiaran Astro baru-baru ini.


Malah, rezekinya juga melimpah ruah apabila ditawarkan berlakon dalam sebuah telemovie selain menjadi pelakon iklan.


"Saya juga ditawarkan menulis di dalam sebuah majalah humor. Walaupun begitu, kerjaya pendidik adalah keutamaan dan sebati dalam jiwa saya.


"Walau dianggap popular sekalipun, saya tetap akan ke sekolah dan menabur bakti sebagai guru kepada anak bangsa," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Undi kecoh

Posted: 16 Apr 2011 01:54 PM PDT

SABAR... orang ramai menunggu giliran untuk membuang undi di Ulu Sungai Setiam, Bintulu.
SABAR... orang ramai menunggu giliran untuk membuang undi di Ulu Sungai Setiam, Bintulu.

KUCHING: Proses pengundian di pusat mengundi di Dewan Datuk Merpati Jepang, Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, dekat sini, dicemari kekecohan dan insiden pertikaman lidah berikutan tindakan lima individu menyamar sebagai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memasuki kawasan pusat pengundian, kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Difahamkan, lima individu berkenaan termasuk dua wanita, dengan ada yang datang dari Semenanjung, dikatakan berada di pusat mengundi itu sejak jam 10 pagi lagi.


Berikutan tindakan itu, Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Fadillah Yusof yang kebetulan berada di tempat kejadian meminta pas rasmi SPR daripada individu berkenaan, namun mereka hanya menunjukkan kad yang tidak disertakan gambar selain gagal mengemukakan borang sumpah kerahsiaan.

Beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk Ketua Angkatan Mudanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang tiba tidak lama selepas itu kemudian meneruskan provokasi terhadap penyokong BN yang kebanyakan mereka penduduk setempat.


Kedua-dua pihak kemudian saling cabar mencabar dan bertikam lidah serta enggan keluar dari kawasan 50 meter tempat mengundi walaupun diarah polis.


Keadaan itu menyebabkan sepasukan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa dikerah bagi meleraikan keadaan.

Kira-kira sejam kemudian, polis berjaya meleraikan pertikaman lidah membabitkan penyokong kedua-dua parti berkenaan.


Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang kelihatan ceria turut menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi di pusat mengundi berkenaan, kira-kira jam 11.25 pagi.

Calon BN di DUN Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan calon BN di DUN Tanjung Datu, Tan Sri Adenan Satem turut membuang undi di pusat mengundi sama.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan