Kosmo Online |
- Produk ciptaan UniMAP pikat syarikat global
- Lelaki rempuh polis disyaki terlibat samun
- Tun Rahah lancar buku koleksi rencana
Produk ciptaan UniMAP pikat syarikat global Posted: Produk ciptaan UniMAP pikat syarikat global01/12/2011 7:05pm KANGAR — Sebuah hasil ciptaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diberi nama e-SAVE: Easy Sprayer Aerial Vehicle yang memenangi pingat emas pada Pertunjukan Reka Cipta Antarabangsa (INOVA) ke-36 di Zagbreb, Croatia bulan lalu, menarik perhatian banyak syarikat antarabangsa. Penyelidik produk itu, Prof. Madya Dr. Hazri Desa berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan dari dalam dan luar mengenai produk berkenaan. Produk seberat 3.5 kilogram itu berkeupayaan terbang sehingga sejauh lima kilometer persegi dan sesuai bagi tujuan menabur baja untuk ladang, penggambaran filem dari udara, memantau aliran trafik menerusi kawalan teknologi sensor dan dapat membantu sistem pertahanan negara. Hazri yang juga Dekan Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan UniMAP, berkata beliau yang dibantu para penyelidik UniMAP mengambil masa lebih dua tahun bagi menghasilkan produk berkenaan. "Kami akan mengkormersilkan produk yang telah dipatenkan ini melalui kerjasama syarikat tempatan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan para pegawai kanan syarikat Unmanned Systems Technology Sdn. Bhd. di pejabatnya di sini hari ini. Beliau berkata, walaupun produk itu sudah mendapat pengikirafan antarabangsa, namun pihaknya akan melakukan penambahbaikan kepada produk berkenaan sebelum ia berada di pasaran di dalam dan luar negara. Hazri berkata, produk itu telah diuji termasuk digunakan untuk menyembur racun serangga di ladang anggur, merakam gambar masjid terapung Al-Hussain di Kuala Perlis dari udara dan digunakan pada beberapa gimik perasmian majlis anjuran UniMAP. Bagi prototaip produk berkenaan, beliau berkata, ia hanya menggunakan bahan buangan termasuk bekas plastik, aluminium dan besi tingkap. UniMAP memenangi lapan pingat emas pada pertunjukan berkenaan yang disertai para penyelidik daripada 22 buah negara dengan Dr Hazri sendiri dinobatkan sebagai penerima anugerah Pereka Cipta Terbaik melalui e-SAVE. — Bernama Full content generated by Get Full RSS. |
Lelaki rempuh polis disyaki terlibat samun Posted: Lelaki rempuh polis disyaki terlibat samun01/12/2011 7:01pm SHAH ALAM — Seorang lelaki yang ditembak dan ditahan selepas merempuh seorang anggota polis ketika diarahkan untuk menyerah diri di Jalan Meru, Klang dekat sini semalam, disyaki terlibat dalam sembilan kes samun di sekitar Selangor. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd. Adnan Abdullah berkata, siasatan juga mendapati suspek berumur 23 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau. "Rekod jenayah itu membabitkan kes curi kenderaan di Sungei Way, Petaling Jaya dan samun sehingga mendatangkan kecederaan di Damansara Utama pada 2007 serta pemulihan akhlak selama 18 bulan di Simpang Renggam pada 2008. "Sembilan kes samun itu membabitkan kawasan sekitar Kapar di Klang, Puchong, Sungei Way dan Damansara antara 2007 dan tahun ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini. Mohd. Adnan berkata, kereta jenis Vios yang dipandu suspek, dilaporkan disamun di Puchong pada 15 Nov lepas dan dipercayai telah digunakan dalam kes cubaan samun di Sungai Buloh pada 29 Nov lepas. Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi semalam, suspek yang kebetulan bertembung dengan kereta peronda polis di Jalan Meru, Klang, enggan keluar dari kereta selepas diarahkan berbuat demikian sebelum bertindak melanggar seorang anggota polis menyebabkannya cedera di tangan. Ekoran tindakan suspek itu, polis melepaskan tembakan dan terkena satu daripada tayar kereta yang dipandunya menyebabkan ia terbabas serta melanggar palang tempat letak kereta berhampiran sebelum ia terbalik. Tembakan itu turut terkena pada paha kiri suspek, yang berasal dari Sungai Way, Petaling Jaya, dan dia kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Hasil siasatan pada kereta yang dipandunya, polis menemui dua batang kayu besbol, sebilah parang dan beberapa peralatan menagih dadah. Mohd. Adnan berkata kira-kira sejam selepas ditahan, polis bertindak memeriksa sebuah hotel yang didiami suspek di kawasan Klang Utara, Klang, dan menemui seorang wanita berumur 18 tahun dipercayai teman wanita lelaki itu yang juga berasal dari Petaling Jaya. "Dalam pemeriksaan di hotel itu polis turut menjumpai telefon bimbit, beberapa kunci kereta, komputer riba, jaket hitam dan sarung tangan. Suspek dan teman wanitanya kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Dis ini," katanya. — Bernama Full content generated by Get Full RSS. |
Tun Rahah lancar buku koleksi rencana Posted: Tun Rahah lancar buku koleksi rencana01/12/2011 6:35pm KUALA LUMPUR — Ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Tan Sri Mohd Noah hari ini melancarkan buku hasil nukilan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir bertajuk Membumikan Erti Kasih Sayang. Buku terbitan Yadim itu menghimpunkan 97 koleksi rencana tulisan Aziz Jamaluddin yang menyentuh mengenai kurangnya perasaan kasih sayang di kalangan masyarakat Islam masa kini. Aziz Jamaluddin pada majlis pelancaran buku itu di Restoran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berkata, buku setebal 550 halaman itu bertujuan memberi pandangan kepada masyarakat Islam mengenai kasih sayang yang tepat, sesuai dan berkesan untuk dibangkitkan dalam sebuah kehidupan yang harmoni dan sejahtera agar kita tidak tergelincir daripada landasan akidah dan moral sebenar. "Selain itu, ia juga berkisar tentang isu politik dalam dan luar negara, sosial dan ekonomi yang memberikan kesan terhadap umat Islam di negara ini serta negara lain seperti Indonesia, Kemboja, Myanmar dan Thailand," katanya. Buku itu yang sesuai untuk bacaan semua peringkat umur dijual pada harga RM21 senaskah, dan untuk hari ini, RM1 daripada setiap pembelian akan disalurkan kepada Rumah Anak Yatim At-Taqwa Hulu Langat. — Bernama Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan