Harian Metro: Mutakhir |
Pelajar Malaysia di Indonesia dinasihat patuhi peraturan mengenai sijil penduduk Posted: 01 Dec 2011 03:53 AM PST JAKARTA: Pelajar-pelajar Malaysia dinasihatkan mematuhi peraturan Indonesia berkaitan kewajipan mendapatkan sijil penduduk dan dokumen pengenalan tempatan bagi mengelakkan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Indonesia. Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Ludinata Misnun berkata mereka diberi penerangan mengenai perkara itu sebelum ini dan tidak seharus memandang ringan soal itu.
Beliau diminta mengulas peringatan oleh sepasukan pegawai Jabatan Pendaftaran Medan kepada beberapa mahasiswa Malaysia di Medan, Sumatera Utara semalam, kerana didapati tidak memiliki atau tidak membawa dokumen yang berkaitan. Ketua jabatan itu Drs Darussalam Pohan memberi peringatan bahawa mahasiswa asing yang tidak memiliki atau tidak membawa dokumen berkenaan boleh dikenakan denda Rp100,000.
Undang-undang yang sama menyatakan bahawa orang asing yang sudah memiliki Izin Tinggal Tetap atau Izin Tinggal Terhad tetapi tidak membawa dokumen pengenalan yang dikeluarkan kepada mereka, juga boleh dikenakan denda Rp100,000. Konsul Jeneral Malaysia di Medan Norlin Othman berkata pihaknya turut membantu menyelesaikan beberapa kes dokumen pengenalan bagi pelajar-pelajar Malaysia namun beliau berharap ejen-ejen pelajar itu dapat sentiasa membantu dalam urusan itu. Beliau juga berharap Kerajaan Malaysia dapat menempatkan seorang pegawai hal ehwal pelajar di Medan bagi memantau pelajar-pelajar Malaysia di Medan dan sekitarnya, yang berjumlah hampir 1,500 orang. - Bernama Full content generated by Get Full RSS. |
Lelaki rempuh anggota polis disyaki terlibat 9 kes samun Posted: 01 Dec 2011 03:48 AM PST SHAH ALAM: Seorang lelaki yang ditembak dan ditahan selepas merempuh seorang anggota polis ketika diarahkan untuk menyerah diri di Jalan Meru, Klang dekat sini semalam, disyaki terlibat dalam sembilan kes samun di sekitar Selangor. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata siasatan juga mendapati suspek berumur 23 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
"Rekod jenayah itu membabitkan kes curi kenderaan di Sungei Way, Petaling Jaya dan samun sehingga mendatangkan kecederaan di Damansara Utama pada 2007 serta pemulihan akhlak selama 18 bulan di Simpang Renggam pada 2008. "Sembilan kes samun itu membabitkan kawasan sekitar Kapar di Klang, Puchong, Sungei Way dan Damansara antara 2007 dan tahun ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Ekoran tindakan suspek itu, polis melepaskan tembakan dan terkena satu daripada tayar kereta yang dipandunya menyebabkan ia terbabas serta melanggar palang tempat letak kereta berhampiran sebelum ia terbalik. Tembakan itu turut terkena pada paha kiri suspek, yang berasal dari Sungai Way, Petaling Jaya, dan dia kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Hasil siasatan pada kereta yang dipandunya, polis menemui dua batang kayu besbol, sebilah parang dan beberapa peralatan menagih dadah. Mohd Adnan berkata kira-kira sejam selepas ditahan, polis bertindak memeriksa sebuah hotel yang didiami suspek di kawasan Klang Utara, Klang, dan menemui seorang wanita berumur 18 tahun dipercayai teman wanita lelaki itu yang juga berasal dari Petaling Jaya. "Dalam pemeriksaan di hotel itu polis turut menjumpai telefon bimbit, beberapa kunci kereta, komputer riba, jaket hitam dan sarung tangan. Suspek dan teman wanitanya kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Disember ini," katanya. - Bernama
|
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan