Jumaat, 22 April 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Roti canai ikan pelaling

Posted:

Roti canai ikan pelaling

Roti canai ikan pelaling

Oleh Rizanizam Abdul Hamid
utusanmelaka@utusan.com.my


SEORANG pekerja warung milik Rohaizat Mat Diah sibuk menyediakan roti canai ikan pelaling di Warung Izat di Merlimau, baru-baru ini.


JASIN 21 April – Roti canai merupakan sarapan pagi paling popular bagi masyarakat di negara ini baik di warung-warung tepi jalan sehinggalah ke hotel bertaraf lima bintang.

Antara 'keluarga' roti canai yang digemari termasuk roti sardin, roti telur, roti planta, roti bawang dan murtabak yang akan dicecah dengan kuah dal atau kari ayam.

Untuk menikmati hidangan itu pula, restoran mamak akan menjadi pilihan kerana roti canai sememangnya menjadi hidangan wajib di restoran tersebut di seluruh negara.

Namun, pernahkah di antara kita terbayang sekiranya roti canai dimakan selain bersama kuah dal atau kari? Bagaimana kalau menu itu dinamakan 'roti canai ikan pelaling'.

Roti canai ikan pelaling bukanlah sesuatu yang asing bagi penduduk sekitar pekan Merlimau di sini atau lebih tepat lagi di Warung Izat yang terletak berhampiran stesen teksi di pekan itu.

Bagi pemilik warung itu, Rohaizat Mat Diah, 47, dia mula menjual pelbagai jenis roti canai termasuk roti canai ikan pelaling yang juga dipanggil ikan kembung sejak 20 tahun lalu.

"Ketika itu saya menjual ikan ini bersama nasi lemak tetapi cuba mencipta kelainan dengan menambah ikan pelaling ini bersama roti canai sebagai lauk yang dibakar bersama hirisan nipis bawang besar.

"Sejak itu, saya lihat menu roti canai ikan pelaling ini begitu digemari bukan sahaja oleh penduduk setempat, bahkan ada yang datang dari Johor, Selangor dan Perak untuk merasai keenakannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini .

Menurut Rohaizat, bagi mengekalkan kesegaran ikan dan kualiti hidangan, dia memastikan setiap ekor ikan pelaling yang dibeli dipasar habis dijual pada hari yang sama.

Tambahnya, setiap hari dia boleh menjual sehingga 30 ekor ikan pelaling segar dari pukul 7.30 pagi sehingga warungnya ditutup pada pukul 11 pagi.

Selain menu tersebut katanya, warungnya itu juga menjual menu sarapan pagi yang lain seperti nasi lemak, mi, nasi, kuetiau dan bihun goreng.

"Tetapi saya bangga kerana telah menjadikan roti canai ikan pelaling sebagai antara hidangan unik dan sukar didapati di tempat lain. Ia mempunyai penggemar tersendiri walaupun cara penyediaannya ringkas," katanya.

Tambahnya, sekeping roti canai ikan pelaling yang dicicah bersama kuah dal, sambal atau kari dijual pada harga RM2.30 sepinggan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Perlu dicuba oleh sesiapa sahaja – Pelanggan

Posted:

Perlu dicuba oleh sesiapa sahaja – Pelanggan

Perlu dicuba oleh sesiapa sahaja – Pelanggan


SEORANG pelanggan menikmati roti canai bersama ikan pelaling goreng di warung Izat di Merlimau, baru-baru ini.


JASIN 21 April – Rata-rata pelanggan yang menikmati sarapan pagi roti canai ikan pelaling di pekan Merlimau di sini berpuas hati dengan keenakan makanan itu yang disifatkan unik kerana sukar ditemui di tempat lain.

Bagi Mohmood Ahmad, 62, dia pasti tidak akan melepaskan untuk menikmati menu itu sekiranya berkunjung ke Warung Izat di sini.

"Sejak beberapa tahun lalu, saya mula menggemari roti canai ikan pelaling kerana tidak pernah menemuinya di mana-mana kedai mamak. Tambahan pula ikannya segar kerana tukang masak mendapatkannya dari pasar setiap hari," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pembantu Tadbir di Universiti Putra Malaysia (UMP) Serdang, Selangor, Liyana Ahmad, 24, berkata, selain ikan pelaling dia turut menggemari ikan selar yang dijual di warung itu.

"Setiap kali teringin untuk menikmati roti canai ikan pelaling atau selar, saya akan pulang ke kampung dan singgah di warung ini," katanya.

Pelanggan tetap warung tersebut, Mohd. Data Abdullah, 54, berkata, selain keenakan ikan dan roti canainya, harga yang ditawarkan juga berpatutan dan perlu dicuba oleh sesiapa sahaja.

Menurutnya, pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang lalu, hampir semua pengunjung dari luar yang datang ke warung tersebut tertarik untuk mencuba roti canai ikan pelaling.

"Daripada reaksi yang saya lihat, mereka amat menggemarinya walaupun baru pertama kali mencubanya, apatah lagi ia sukar ditemui di tempat lain," katanya.

Bagi Azizah Abdul Hamid, 58, dia bangga kerana warung tersebut yang dimiliki peniaga Melayu mampu memberi saingan kepada peniaga roti canai di restoran-restoran mamak.

Menurutnya, roti canai ikan pelaling juga boleh menjadi produk pelancongan terkenal di negeri ini sekiranya mendapat promosi yang meluas daripada kerajaan negeri.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Konvoi dekati masyarakat

Posted:

Konvoi dekati masyarakat

Konvoi dekati masyarakat

Oleh NORAZLIZA ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my


SEBAHAGIAN peserta konvoi Gerakan Massa Generasi Muda di Dewan Orang Ramai Johol, Kampung Renggoh Johol, Kuala Pilah, baru-baru ini.


SEREMBAN 21 April – Meskipun terpaksa mengharungi perjalanan sejauh lebih 400 kilometer, namun ia tidak menghalang 150 peserta konvoi Gerakan Massa Generasi Muda untuk menjadi 'duta' mempromosikan sambutan Hari Belia Kebangsaan pada 15 Mei depan ke seluruh negeri ini.

Tanpa rasa penat lelah, peserta konvoi menjelajah hampir ke seluruh pelosok negeri ini selama dua hari dalam usaha mendekatkan diri dengan masyarakat setempat selain menjemput golongan belia lain untuk turut serta memeriahkan sambutan hari tersebut.

Bukan sekadar itu, peserta juga berkongsi maklumat melalui agihan risalah berhubung sambutan berkenaan, selain menjalankan aktiviti gotong-royong bersama penduduk setempat di tujuh daerah yang menjadi destinasi persinggahan konvoi anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan itu.

Pengarah Belia dan Sukan negeri, Baharudin Jali, berkata, program tersebut bertujuan menyampaikan maklumat dan membuka ruang kepada golongan belia agar terus melibatkan diri dalam program belia yang dianjurkan tidak kira di peringkat kebangsaan, negeri mahupun daerah.

''Walaupun acara kemuncak Hari Belia Kebangsaan disambut pada setiap 15 Mei, namun sambutan ini seharusnya dirasai, dihayati dan dijadikan amalan berterusan pada setiap peringkat akar umbi dan sektor,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, program tersebut merupakan sebahagian inisiatif jabatan untuk mempromosikan sambutan hari belia kebangsaan di peringkat negeri.

Jelas Baharudin, berteraskan moto 'yang tua dihormati, yang muda di sayangi, berbicaralah dengan anak muda', konvoi tersebut turut mampu mengeratkan hubungan belia dengan masyarakat setempat melalui aktivitinya.

''Aktiviti gotong-royong yang dijayakan bersama antara peserta dan penduduk setempat dilihat mampu memupuk semangat bantu membantu, malah secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan persaudaraan antara masyarakat," katanya.

Katanya lagi, diharapkan konvoi berkenaan mampu menarik minat lebih ramai belia di negeri ini untuk turut serta memeriahkan sambutan Hari Belia 2011.

''Selain mempromosikan Hari Belia Negara, konvoi yang berkonsepkan 1Malaysia juga bertujuan untuk memberikan pengiktirafan dan kepercayaan kepada peserta bagi menggalas tanggungjawab mereka sebagai belia kepada negara.

''Saya juga berharap agar program sedemikian akan dijadikan acara tahunan," katanya.

Konvoi yang dijalankan sekitar Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Tampin, Rembau dan Port Dickson, dekat sini membabitkan 60 kenderaan itu turut diiringi 20 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan