Utusan Online - Selatan |
Norehan usahawan salon berjaya Posted: Norehan usahawan salon berjayaOleh SAJIDA ASARULAH KHAN
JEMPOL 4 April – Bermodalkan RM30,000 dan berbekalkan kemahiran menggunting rambut yang dipelajarinya di sebuah pusat latihan di Seremban, Norehan Abd. Majid, 38, memulakan langkah menceburi perniagaan salon rambut. Walaupun secara kecil-kecilan, Norehan atau lebih mesra dengan gelaran Ann tidak lagi menoleh ke belakang selepas itu. Kini, selepas lebih 10 tahun, dia mengembangkan perniagaan dalam bidang butik pengantin pula. Menurutnya, cabaran daripada suami, Nazri Aziz, 49, membuatkannya nekad untuk menceburi bidang kecantikan. "Sebelum membuka perniagaan ini, saya memandu van sekolah. Sementara menunggu pelajar sekolah keluar, saya akan berniaga makanan ringan di luar sekolah. Pada waktu petang pula, saya belajar menggunting rambut dan teknik solekan. "Walaupun perwatakan saya agak kasar dan pernah digelar 'tomboi' oleh rakan-rakan, namun saya tetap mengikuti kursus tersebut demi menyahut cabaran," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Bermula dengan satu lot kedai di pekan Batu Kikir pada tahun 2000, dia kini mampu membesarkan premis perniagaannya. Sejak itu, nama Salon dan Andaman Ann mula meniti di bibir penduduk sekitar daerah ini sehingga ke Kuala Lumpur. "Saya juga ada membuka cawangan di Seremban dan bercadang menambah cawangan lain dalam masa terdekat. "Kebiasaannya tempahan akan diutamakan di negeri ini. Bukan tidak mahu pergi jauh, tetapi saya lebih selesa jika buat masa ini memberi tumpuan di negeri ini," katanya. Ann memberitahu, butiknya bukan sahaja menjadi pilihan masyarakat setempat, malah turut menjadi pilihan dalam kalangan orang kenamaan. "Musim cuti sekolah memang kami 'tak menang tangan' untuk memenuhi permintaan pengantin yang perlukan khidmat solekan dan baju pengantin. "Terlalu banyak yang perlu dihadapi untuk meneruskan perniagaan ini. Antaranya, melayan gelagat pelanggan yang pelbagai serta mencari staf yang benar-benar mahir," jelasnya. Katanya, agak sukar untuk mendapatkan pekerja yang mempunyai pelbagai kemahiran berkenaan, seperti menyolek, menghias pelamin dan menjahit baju pengantin. Bagi ibu kepada lima orang anak ini, bajet pengantin memainkan peranan untuk mendapatkan hasil rekaan yang menarik agar majlis bersejarah itu tidak membosankan serta menyusahkan pengantin sendiri. Di butik itu katanya, pakej yang ditawarkan adalah serendah RM800 hingga RM2,900 berdasarkan bajet pengantin serta kelengkapan yang diperlukan. Bagi menjadikan Salon dan Andaman Ann sebagai pusat sehenti untuk pasangan 'raja sehari', Norehan turut menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti perkhidmatan jurugambar, kanopi, hiasan meja makan, salon dan karaoke. Jurugambar, Naziera Nazri, 18, yang juga anak kepada Norehan memulakan langkah dalam bidang fotografi seawal usia 15 tahun. "Minat saya mula timbul apabila sering mengikut ayah dan ibu ke majlis perkahwinan. Jika ibu menyolek pengantin, ayah pula merakam gambar. "Selain belajar daripada ayah, saya juga mengikuti kelas di luar. Apa yang penting saya tetap meneruskan persekolahan dan tidak mengabaikan pelajaran," katanya. Tidak terlepas daripada masalah, Naziera juga berdepan dengan situasi pelanggan tidak yakin anak muda sepertinya mampu merakam gambar yang baik pada hari bahagia mereka. "Apabila menunjukkan hasil yang dirakam sebelum ini, baru mereka yakin dengan kebolehan saya. Jadi selepas ini saya terpaksa merahsiakan umur saya," ujarnya yang bercadang membantu ibunya dalam perniagaan itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Pelanggan selesa dengan Andaman Ann Posted: Pelanggan selesa dengan Andaman Ann
JEMPOL 4 April - Setiap pengantin pastinya ingin tampil menarik dan memukau pada hari persandingannya kerana saat manis itu hanya akan dilalui sekali seumur hidup. Bagi Muhd. Zaidi Zainal, 28, dia yakin Salon dan Andaman Ann bakal memberikan kelainan di hari persandingannya. "Saya sudah lama tahu andaman butik ini. Kakak dan abang saya sebelum ini turut memilih butik yang sama di hari bahagia mereka. "Salon dan Andaman Ann menyediakan pelbagai rekaan baju pengantin moden dan tradisional. Terdapat banyak pilihan fabrik seperti renda, songket, shantung dan syifon. "Selain busana pengantin daripada fabrik yang berkenaan, pengantin juga boleh memilih gabungan fabrik yang disuai padan seperti renda dan songket, shantung dan syifon, songket dan shantung dan sebagainya," katanya ketika ditemui di sini. Menurutnya, pelanggan juga boleh membawa rekaan mereka sendiri atau berbincang dengan pengusaha pusat itu tentang rekaan yang sesuai dengan mereka daripada segi bentuk badan, warna kulit dan keselesaan. "Cara kerja butik ini dekat di hati pelanggan dan saya amat selesa apabila dapat bertukar pandangan tentang apa yang diingini di hari persandingan nanti," tambahnya. Sementara itu, Natrah Deli, 60, memilih Andaman Ann untuk kali ketiga bagi perkahwinan anaknya. "Dari anak pertama sehingga ketiga, saya menempah pakej andaman dan fotografi dari butik ini. "Walaupun butik pengantin tumbuh bagai cendawan, saya tetap memilih Andaman Ann kerana mereka sentiasa mengutamakan kepuasan pelanggan," katanya. | ||
RM58.8 juta bina jalan, jambatan Posted: RM58.8 juta bina jalan, jambatanMELAKA 4 April – Kerajaan negeri memperuntukkan RM58.8 juta untuk melaksanakan projek pembinaan jalan dan jambatan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, peruntukan tersebut merangkumi pembinaan 17 projek jambatan dan 15 projek membina jalan raya. Menurutnya, untuk tahun ini, sebanyak dua buah jambatan akan dinaik taraf iaitu di Pulau Sebang, Alor Gajah dan Kampung Tasek di Jasin manakala sebuah jambatan dibina baru di Seri Pengkalan. ''Walaupun ekonomi negara sedikit terjejas ekoran krisis ekonomi global, tetapi beberapa petunjuk terhadap ekonomi negeri ini masih bertahan. ''Ini menunjukkan peningkatan positif seiring dengan status sebagai negeri maju dan beberapa projek pembinaan yang dirancang akan tetap dilaksanakan dalam RMK-10," katanya pada Perhimpunan Bulanan di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Omar Kaseh. Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, bagi meningkatkan jajaran jalan raya yang sedia ada, sebuah jalan baru dari kawasan Perindustrian Bukit Rambai hingga ke Leboh SPA akan dibina. Dalam pada itu, beliau menambah, beberapa projek yang masih dalam pelaksanaan pembinaannya ialah Universiti Teknologi Mara Cawangan Jasin bernilai RM75 juta dan Hospital Alor Gajah (RM110 juta). Dalam RMK-10 katanya, sebanyak 29 projek pembinaan bangunan baru melibatkan kos RM225 juta telah disenaraikan untuk diberi keutamaan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan