Isnin, 11 April 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Awasi taktik 'ayam sabung'

Posted:

Awasi taktik 'ayam sabung'

Awasi taktik 'ayam sabung'

Oleh ZULKIFLI JALIL dan SOPI SAMAILE
pengarang@utusan.com.my


Gelagat CAlON PKR DUN MACHAN, George Chen Nguk Fa (kanan) bersalam dengan Muhyiddin Yassin untuk meraih undi di Kanowit, semalam. - utusan/Zaki Amiruddin


KADANG-kadang kelakar ada, lawak apatah lagi. Dalam tempoh kempen berbaki empat hari lagi, apa sahaja di depan mata akan disauk. Tidak kira sama ada dia lawannya dalam politik atau musuh tegarnya, asal boleh dikira untung, malu pun tidak diendahkan.

Begitulah yang terjadi di pekan Kanowit pagi semalam, apabila secara tiba-tiba muncul beberapa calon PKR dan Parti Cinta Malaysia menghulurkan tangan berjabat dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berbuat demikian di depan lensa kamera sekumpulan tujuh jurugambar media, calon PKR dan PCM DUN Machan masing-masing George Chen Nguk Fa dan Kong Tat Kim tidak segan-segan 'memintas' calon BN saingan mereka di situ, Gramong Juna untuk bergambar. Reaksi itu mengejutkan bukan sahaja Juna tetapi isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Kebiasaannya dalam mana-mana tinjauan mesra atau walkabout semasa kempen pilihan raya melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin sendiri, tidak akan kelihatan mana-mana pemimpin pembangkang atau para penyokong tegar mereka. Apatah lagi jika walkabout di Kanowit yang bertujuan mahu memperkenalkan Juna kepada masyarakat khususnya pengundi di situ.

Bukan kerana kita mempersoalkan niat Nguk Fa dan Tat Kim untuk berjumpa dengan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri tetapi yang dipersoalkan adalah motif kedua-dua calon itu berbuat demikian. Selepas berjabat tangan, kelibat mereka terus hilang.

Di Sarawak ketika ini, poster-poster pilihan raya pembangkang yang dipasang di tepi jalan-jalan utama khususnya di Sibu, sejam dari Kanowit nampak lebih informatif. Gambar besar seorang calon yang sedang melihat kaki seorang tua dan gaya poster Lim Guan Eng bersebelahan wajah Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang digambarkan agak 'jengkel' memberi makna tersirat buat orang ramai yang melihatnya.

Di Kanowit, perkara sama mungkin berlaku. Gambar Nguk Fa dan Tat Kim yang dilihat berjabat tangan dengan Timbalan Perdana Menteri barangkali digunakan oleh parti masing-masing untuk menggambarkan mereka turut mendapat 'restu' daripada seorang pemimpin utama BN.

Tambah memalukan lagi ialah apabila Utusan Malaysia yang meninjau poster-poster Tat Kim yang dilekatkan di dinding-dinding kayu premis-premis perniagaan dan kedai di sekitar pekan Kanowit mendapati tertera slogan PCM 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' berserta logo 1Malaysia. Aikk! slogan BN 1Malaysia digunakan oleh Tat Kim? Mengapa?.

Ini semua adalah taktik 'jalan pintas' pembangkang dan kesemua 41 calon bebas yang sedang mencari-cari peluang untuk meraih sokongan pengundi menjelang Sabtu ini. Umpama 'ayam sabung', mereka akan 'menyapu apa sahaja' di depan mata, asalkan boleh mencapai kemenangan. Jika rakyat termakan tipu daya dan helah mereka, risikonya kelak adalah masa depan rakyat sendiri.

Bercakap tentang ayam sabung, pacuan empat roda Ford Ranger yang dipandu jurugambar Zaki Amiruddin 'diberhentikan' di sebuah taman kecil di tengah-tengah bandar Bintulu kelmarin. Ini kerana terdapat penjualan ayam-ayam sabung di situ. Segala jenis ayam sabung boleh dilihat dan dibeli di situ.

Menurut seorang peminat ayam sabung yang hanya mahu dikenali sebagai 'Jo', ayam sabung banyak kategori jenisnya. Untuk mengetahui sifat kepahlawanannya, sebelum turun ke gelanggang sebenar, ia akan diuji dulu. Pertama, akan dilagakan dan jika melawan, ia jenis berciri pejuang. Sebaliknya jika diletakkan sahaja terus lari ke luar, maka bolehlah menjadi santapan.

"Kualiti ayam sabung juga boleh dilihat dari kulit kakinya. Kalau gelap, maknanya ia berciri kepahlawanan. Juga, perlu dilihat warna bulunya. Kalau ayam jenis Selabang yang keseluruhan bulunya satu warna, contohnya putih semuanya, maka ia melambangkan kualiti tinggi ayam sabung itu dalam bertarung.

"Satu lagi jenis ayam sabung dikenali sebagai Sariban yang juga disebut 'mereng merah'. Ayam ini memiliki pelbagai warna dan ia memang bagus tetapi kurang sedikit kekuatannya berbanding dengan Selabang. Ayam yang bakanya dari Filipina juga dahsyat. "Harga ayam sabung juga bergantung pada saiznya dan boleh mencecah sehingga RM500 seekor dan minimum RM200," kata Jo.

Ayam sabung yang diminati Jo mungkin jujur dalam perjuangannya, meskipun pelagaan ayam diharamkan. Tetapi 'ayam sabung' yang dipertaruhkan pada kempen pilihan raya negeri ke-10 ini mesti diawasi dan dinilai secara bijaksana oleh pengundi. Bagi penyokong dan pengundi BN, mereka mesti berhati-hati. Waspada dengan calon yang cuba menangguk di air keruh dan dakyah-dakyah yang ditabur calon pembangkang.

Di Beluru kelmarin, Abdul Taib menyelar parti pembangkang sebagai pembohong besar kerana berjanji mahu mengembalikan tanah seluas sejuta hektar yang ditanam dengan kelapa sawit termasuk tanah hak adat bumiputera (NCR) kepada pemiliknya.

Tegas Abdul Taib, jika benar parti lawan mahu berbuat demikian, mereka perlu membayar pampasan kira-kira RM5 bilion yang mana jumlah itu terlalu besar untuk mereka. "Persoalannya, di manakah parti lawan hendak cari duit sebanyak itu untuk membayar pampasan? Dan bagaimanakah pula mereka hendak membayar pelabur kerana jika tidak dibayar, pelabur pula yang muflis," kata beliau. Awasi taktik 'ayam sabung'.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Benteng terakhir BN di utara

Posted:

Benteng terakhir BN di utara

Benteng terakhir BN di utara

Oleh Aznan Bakar
Pengarang@utusan.com.my

PERLIS mungkin hanya sebuah negeri kecil di utara tanah air yang jarang muncul dalam radar politik negara ini. Dengan hanya tiga kawasan Parlimen – Kangar, Padang Besar dan Arau, politik Perlis jarang menjadi bualan. Cuma sesekali kedengaran isu-isu membabitkan kepimpinan UMNO negeri.

Tetapi kecil bukan bermakna tidak penting. Walaupun jarang mendapat tempat dari segi liputan berita dan isu politiknya pula jarang dibualkan, namun Perlis tetap penting untuk dikuasai. Bagi Barisan Nasional (BN), ia wajib dipertahankan. Bagi pembangkang terutama Pas jika berjaya menguasai Perlis bermakna hampir keseluruhan negeri di utara tanah air akan berada di bawah penguasaan mereka.

Kini, ramai meramalkan selepas berjaya menawan Kedah pada pilihan raya umum (PRU) 2008, Perlis bakal jatuh ke tangan Pas pada PRU akan datang. Walaupun tidak disertakan dengan fakta dan alasan kukuh, perkara itu dikatakan bukan sesuatu yang mustahil. Tempias kejayaan Pas di Kedah tiga tahun lalu turut dirasai di Perlis.

Saban hari, ada saja ceramah dan program Pas untuk menarik dan meraih sokongan rakyat Perlis menyokong parti itu. Kejayaan menguasai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dan Simpang Empat, kedua-duanya dalam Parlimen Arau menunjukkan Pas mampu menembusi kubu BN di Perlis.

Malah kedudukan Pas di Sanglang nampaknya sukar digugat berdasarkan kejayaannya mengekalkan kerusi itu untuk tiga penggal berturut-turut. Ditambah pula dengan kejayaan menguasai DUN Simpang Empat pada 2008, Pas dilihat semakin hampir untuk merealisasikan cita-cita menguasai negeri di utara tanah air. Jika berdasarkan congakan mudah, Pas hanya perlu kuasai enam lagi DUN untuk menyingkirkan BN di Perlis.

Ia bukan sesuatu yang mustahil. Jika pemimpin BN negeri terutama UMNO tidak berhati-hati dan hanya mementingkan jawatan dalam parti daripada berusaha keras mendampingi rakyat, maka tidak mustahil Pas akan menjadi pilihan rakyat Perlis.

Yang menjadi persoalan, mampukah BN Perlis pimpinan Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu menahan asakan Pas itu? Dalam tempoh sepenggal mengetuai BN Perlis, mampukah Md. Isa mengumpul kekuatan dan membina perpaduan untuk berhadapan dengan cabaran tersebut?

Ini kerana ramai yang sangsi dan ada juga yang sinis akan keupayaan Md. Isa kerana beliau bukan daripada kalangan nama besar dalam kepimpinan UMNO Perlis.

Sebelum Mac 2008, siapa yang kenal Md. Isa? Apatah lagi hendak mengaitkannya dengan jawatan Menteri Besar Perlis. Kepimpinan UMNO Perlis ketika itu banyak berlegar sekitar Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Azmi Khalid dan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, selain Datuk Zahidi Zainol Abidin.

Nama-nama inilah yang menghidupkan dan mewarnai politik Perlis. Md. Isa tidak ada dalam radar politik Perlis, apatah lagi untuk diangkat sebagai Menteri Besar. Sebab itu apabila diumumkan untuk menggantikan Shahidan, ramai yang tidak percaya. Banyak juga yang tidak puas hati. Tidak kurang juga yang bersikap skeptikal dan merasakan mana mungkin Md. Isa mampu menandingi ketokohan dan kepimpinan Shahidan di Perlis.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan