Isnin, 11 April 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Bukan mudah buat Perahu Tembeling

Posted:

Bukan mudah buat Perahu Tembeling

Bukan mudah buat Perahu Tembeling

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my


ABDUL Hamid Dahaman memasang dinding perahu menggunakan kayu hutan di Kampung Pagi, Hulu Tembeling, Jerantut.


JERANTUT 11 April – Penggunaan bot penambang masih menjadi pilihan sesetengah pelancong walaupun wujudnya pengangkutan darat untuk ke Taman Negara, Kuala Tahan dekat sini.

Permintaan terhadap pengangkutan sungai menjadikan perusahaan membuat perahu secara tradisional masih lagi dilaksanakan sebilangan penduduk di Hulu Tembeling dekat sini meskipun aktiviti itu semakin malap apabila hanya golongan warga emas yang mengusahakannya.

Di kalangan penduduk Hulu Tembeling, perahu dan bot penambang yang lebih sinonim dengan panggilan Perahu Tembeling, mempunyai nilai komersial tersendiri.

Kedudukan lima kampung tradisional di persisiran Sungai Tembeling yang dihubungkan dengan Bandar Jerantut melalui Sungai Tembeling sejauh 120 kilometer merupakan antara faktor perusahaan perahu berkenaan masih 'bernafas.'

Perahu Tembeling boleh memuatkan seramai 20 penumpang selain digunakan untuk menangkap ikan di Sungai Tembeling, Sungai Kenyam, Sungai Pengau dan Sungai Sepia.

Malah, kakitangan kerajaan dari bandar Jerantut yang mengadakan lawatan kerja ke Hulu Tembeling juga menggunakan pengangkutan tradisional itu berikutan tiada jalan perhubungan darat yang pantas.

Bagaikan satu kelaziman bagi penduduk persisiran Sungai Tembeling memiliki sekurang-kurangnya sebuah bot penambang.

Bagi penduduk Hulu Tembeling, memiliki sebuah bot penambang berenjin 40 kuasa kuda dianggap berprestij sama seperti mereka yang mempunyai kereta di bandar.

Pengusaha Perahu Tembeling, Abdul Hamid Dahaman, 70, memberitahu, selagi tiada jalan raya ke Hulu Tembeling, bot penambang akan terus menjadi alat pengangkutan utama ke Kuala Tahan dan bandar Jerantut.

Abdul Hamid adalah antara pengusaha yang meniti usia emas yang masih betah membuat perahu secara kecil-kecilan di bengkel berdekatan rumahnya di Kampung Pagi, Hulu Tembeling.

Meskipun tenaga semakin lemah akibat faktor usia namun permintaan yang kerap di kalangan penduduk untuk memiliki perahu merangsangnya untuk terus melaksanakan aktiviti itu.

"Saya terpaksa melakukan kerja-kerja ini kerana ada permintaan untuk menggunakan perahu apabila ramai pelancong mengunjungi Taman Negara.

"Lagipun orang muda masa kini tidak mahir dan enggan bergiat dalam kerja-kerja sebegini," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata, kerja-kerja membuat perahu bukanlah mudah kerana dia terpaksa masuk ke hutan mencari kayu jenis meranti dan merawan untuk dijadikan 'lunas' yang dipasang pada bahagian bawah perut perahu.

Menurutnya, kedua-dua jenis kayu berkenaan amat sesuai dijadikan lunas perahu kerana ia ringan dan tahan lama walaupun terendam dalam air atau bergesel dengan batu jeram ketika di dalam sungai.

"Dinding perahu dibuat daripada papan jenis pokok yang sama," katanya.

Menurut Abdul Hamid, pokok berkenaan ditebang dan dipotong dengan cermat sebelum diketam untuk dijadikan papan setebal dua hingga tiga sentimeter untuk dijadikan dinding perahu.

Setelah siap memaku dinding, katanya, proses seterusnya ialah menampal lubang di celah dinding dan lunas dengan menggunakan bahan pelekat atau gegala yang dibeli atau diperbuat daripada getah pokok damar yang juga diperoleh dari hutan.

"Jika peralatan mencukupi, kerja-kerja menyiapkan sebuah perahu mengambil masa selama 20 hari termasuk memasang bumbung aluminium dan enjin," jelasnya.

Kata beliau, badan perahu perlu disapu minyak hitam supaya lebih tahan ketika berendam dalam air dan jika perlu, ia boleh dicat supaya kelihatan menarik, bergantung kepada kreativiti pemiliknya.

"Saya menjual sebuah perahu antara RM6,000 hingga RM12,000 bergantung kepada saiz dan mutu pembuatannya termasuk jenis kayu yang digunakan," katanya.

Proses terakhir, katanya, ialah kerja-kerja menurunkan perahu yang siap dari bengkel ke sungai bagi mengesan sama ada lunas dan dinding bocor selain menentukan perimbangan badan perahu itu semasa di permukaan air dan melalui kawasan jeram.

Kerja-kerja menurunkan badan perahu ke dalam sungai, katanya, dilakukan secara bergotong-royong di kalangan penduduk kampung.

Dia berharap generasi muda masa kini mempelajari kemahiran membuat perahu kerana ia memberi pulangan pendapatan yang agak lumayan.

"Saya sanggup melatih jika ada belia yang ingin mempelajarinya," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penantian 25 tahun berakhir

Posted:

Penantian 25 tahun berakhir

Penantian 25 tahun berakhir

utusanterengganu@utusan.com.my">

MARAN 11 April – Penantian seramai 124 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTK) Kampung Bongkok, Lubuk Paku di sini selama 25 tahun, tercapai apabila mereka menerima surat hak milik tanah masing-masing kelmarin.

Peserta terbabit menerima surat hak milik tanah itu daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil di Dewan Mini Kampung Lubuk Paku.

Hadir sama, Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh.

Pengerusi Jawatankuasa RTK Kampung Bongkok, Datuk Abdul Rahman Daud berkata, kerajaan negeri meluluskan projek itu pada 9 Mei 1995 dengan agihan keluasan tanah seluas 0.8 hektar seorang.

''Peserta dari beberapa kampung berhampiran sangat gembira kerana impian mereka mendapat geran tanah itu tercapai walaupun mengambil masa yang agak lama,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis itu.

Ketua Kampung Kampung Lubuk Paku, Mohd. Zali Adam berkata, walaupun proses mendapatkan geran itu mengambil masa 25 tahun tetapi penduduk sangat berpuas hati kerana permohonan mereka berjaya.

''Peserta memahami bahawa permohonan mendapatkan geran tanah itu perlu melalui pelbagai proses dan prosedur membabitkan jawatankuasa di pihak daerah dan negeri," jelasnya.

Seorang peserta, Mat Piah Jusoh, 53, berterima kasih kepada kerajaan negeri yang peka dengan keperluan rakyat.

''Geran ini akan menjadi aset kepada anak-anak saya seramai sepuluh orang," ujarnya.

Bagi seorang lagi peserta, Alias Omar, 58, dia berjanji untuk memajukan tanah berkenaan dengan mempelbagai kegiatan seperti ternakan dan tanaman.

Sementara itu, Fadzilla mengingatkan pemilik tanah supaya membayar cukai bagi menambah hasil kerajaan negeri.

Melalui pungutan hasil itu, tegasnya, kerajaan negeri dapat melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Ahmad Munawar turut mengingatkan penduduk tidak memindah milik atau menjual tanah berkenaan sebaliknya mengusahakannya bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

ADUN perlu kukuhkan perpaduan di kawasan sendiri

Posted:

ADUN perlu kukuhkan perpaduan di kawasan sendiri

ADUN perlu kukuhkan perpaduan di kawasan sendiri


Sultan Ahmad Shah ditemani Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom beramah mesra dengan ADUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad (kiri) selepas majlis perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Persidangan DUN Pahang Kali Ke-12 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, semalam.


KUANTAN 11 April - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mengingatkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya menerajui kegiatan perpaduan di kawasan masing-masing tanpa meminggirkan kaum tertentu.

Titah baginda, untuk tujuan itu, setiap ADUN tidak boleh mengabaikan kawasan masing-masing selain menjalinkan hubungan erat dengan ketua jabatan di semua peringkat.

"Tonggak utama kemajuan dan kemakmuran negeri adalah perpaduan, oleh itu, perpaduan kaum wajib dipelihara setiap ADUN," titah baginda.

Sultan Ahmad Shah bertitah demikian pada majlis perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Persidangan DUN Pahang Kali Ke-12 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Speaker DUN, Datuk Seri Wan Mohamed Razali Wan Mahussin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail dan barisan Exco kerajaan negeri.

Titah baginda, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan penuh kepada dasar dan pendekatan yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

"Ini termasuklah pendekatan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi fokus kepada perpaduan kaum, kelicinan sistem penyampaian dan pendekatan baru dalam bidang ekonomi," tegas baginda.

Selain itu, titah baginda, dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), Pahang diperuntukkan sebanyak RM5 bilion bagi membina 500 projek pembangunan.

"Beta percaya dengan pelaksanaan RMK-10, ia akan membawa kemajuan dan kemakmuran kepada semua lapisan rakyat," titah baginda.

Sultan Ahmad Shah berkata, tahun lalu, Pahang menerima pelaburan bernilai RM2.08 bilion yang menjana sebanyak 2,239 peluang pekerjaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan