Utusan Online - Pahang |
- Masalah air paip di Kerdau
- Bakal guru menderita akibat jangkitan kuman
- Dilla sahut cabaran jadi jurutera elektrik setanding lelaki
Posted: Masalah air paip di KerdauOleh ALI MAHMOOD
TEMERLOH 8 April – Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menasihati penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di sini yang menghadapi masalah bekalan air paip supaya bersabar kerana kerajaan negeri sedang berusaha menaik taraf loji bekalan air di situ. Baginda bertitah, Jabatan Bekalan Air (JBA) daerah ini telah mendapat peruntukan sebanyak RM11 juta bagi menaik taraf loji tersebut termasuk menggantikan pam loji di Batu Sawar yang bernilai RM250,000. Baginda menambah, kerja-kerja menggantikan paip baru sepanjang 2.3 kilometer dari pekan Kerdau yang bernilai RM690,000 pula akan dimulakan tidak lama lagi. "Daripada peruntukan itu juga beta dimaklumkan kerja-kerja menggantikan paip dari Seberang Temerloh ke Kampung Teluk Sentang dan Kampung Rumpun Makmur ke Kampung Kerai sepanjang 29 kilometer akan dimulakan dalam sedikit masa lagi," titah baginda. Sultan Ahmad Shah bertitah demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke DUN Kerdau di Kampung Purun dekat sini semalam. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau), Datuk Mohamed Jaafar (Jenderak) dan Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin (Lanchang). Baginda bertitah, pembinaan tadahan air bukit untuk keperluan masyarakat Orang Asli Kampung Paya Sendayan bernilai RM50,000 kini juga dalam proses pembinaan. Baginda bertitah, kesemua projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri termasuk JBA akan mengambil masa dan bukannya siap dalam sekelip mata. Baginda juga meminta kerajaan negeri supaya terus melaksanakan pembangunan kerana masih terdapat banyak yang boleh disalurkan ke kawasan yang kurang maju di seluruh negeri ini. | ||
Bakal guru menderita akibat jangkitan kuman Posted: Bakal guru menderita akibat jangkitan kuman
TEMERLOH 8 April - Impian seorang bakal guru untuk mengikut jejak langkah bapanya menjadi pendidik pudar, apabila terlantar sakit akibat jangkitan kuman pada otak. Sejak lima bulan lalu Mohd. Syafiq Abdul Manaf, 22, pelajar tahun tiga Institut Perguruan Lipis tidak mampu bergerak kerana lumpuh sebelah badan dan bergantung makanan melalui tiub yang dipasang di hidungnya. Bapanya, Abdul Manaf Yunus, 47, berkata, anaknya seorang yang aktif dan tidak menunjukkan sebarang tanda pada peringkat awal tetapi diserang demam panas ketika menuntut di institut tersebut pada 23 September tahun lalu. Menurutnya, selepas dibawa pulang, Mohd. Syafiq kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini bagi mendapatkan rawatan. "Tidak lama kemudian dia kembali pulih tetapi diserang sawan hingga tidak sedar diri dan terus lumpuh sebelah badan. Saya menggunakan separuh gaji saya setiap bulan bagi membeli keperluan susu Mohd. Syafiq," katanya di sini. Abdul Manaf menjelaskan demikian ketika ditemui pemberita di rumahnya baru-baru ini selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin yang melawat Mohd. Syafiq di sini. Abdul Manaf berkata, selain susu, barangan seperti lampin pakai buang, makanan tambahan dan ubat-ubatan lain turut dibeli membabitkan kos yang tinggi. Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baru-baru ini bersetuju memberi bantuan perbelanjaan RM300 sebulan dan berharap kelulusan itu dapat disegerakan. Sementara itu, Mohd. Sharkar berkata, pihaknya tampil menghulurkan bantuan kepada Abdul Manaf bagi mengurangkan sedikit bebanan keluarga tersebut. Orang ramai yang ingin membantu boleh mengunjungi rumah Abdul Manaf di alamat nombor 14 Jalan 1/5 Taman Seri Layang, Mentakab atau menyalurkan terus bantuan ke akaun Maybank 156020291063 atau boleh dihubungi di talian 013-9348914. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Dilla sahut cabaran jadi jurutera elektrik setanding lelaki Posted: Dilla sahut cabaran jadi jurutera elektrik setanding lelaki
KUANTAN 8 April - Bidang kejuruteraan elektrik sememangnya dipelopori oleh lelaki dalam dunia pekerjaan tetapi ia bukan bermakna ia dimonopoli golongan tersebut. Gadis Pahang minggu ini, Nurul Fadilla Azwani Md. Akil, 24, yang bertugas sebagai jurutera elektrik di sebuah syarikat kontraktor elektrik di bandar ini, menyahut cabaran untuk terlibat dengan kerjaya yang dikuasai kaum lelaki. Bagaimanapun, dia mengakui bidang tersebut biasanya didominasi oleh kaum Adam kerana ia memerlukan ketahanan fizikal dan mental. "Bayangkan, kerap kali saya terpaksa bekerja di bawah panas matahari bagi memantau dan memastikan semua kerja di tapak projek berjalan lancar," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nurul Fadilla Azwani atau lebih mesra disapa Dilla, kini sudah hampir setahun menjadi jurutera di syarikat tersebut. Jelasnya, keseronokan bekerja dalam bidang tersebut penting kerana ia akan menghasilkan kualiti kerja terbaik dan memberi kepuasan kepada semua pihak. Dilla turut mengakui kepercayaan sesetengah orang terhadap keupayaan wanita dalam profesion itu bukan satu perkara mudah, tetapi golongan lelaki tidak boleh memperkecilkan kebolehan kaum Hawa dalam bidang tersebut. Mengenai pengisian waktu lapang, Dilla yang merupakan anak jati negeri ini mengunjungi pusat kecantikan dengan membuat rawatan penjagaan kulit yang sering terdedah pada cuaca panas. "Cara itu merupakan sebahagian aktiviti saya menghilangkan tekanan sepanjang bekerja pada setiap minggu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan