Utusan Online - Muka Hadapan |
- KPN sahkan video seks tulen
- Lebih 50 pegawai kastam ditahan
- Rasuah: ADUN Lenggeng dihukum penjara tiga tahun, denda RM20,000
Posted: KPN sahkan video seks tulenOleh WAN RAHIMAH DRAMAN KUALA LUMPUR 1 April - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (gambar) hari ini mengesahkan rakaman video seks didakwa melibatkan seorang pemimpin parti pembangkang yang didedahkan baru-baru ini adalah tulen. Katanya, pengesahan itu dibuat oleh pakar profesional yang dilantik oleh pihak polis minggu lalu untuk membuat kajian terperinci. Menurutnya, hasil siasatan rakaman video itu yang kini di peringkat akhir akan diserahkan kepada Peguam Negara dalam masa terdekat. "Saya telah mengarahkan pasukan penyiasat yang ditubuhkan itu agar menjalankan siasatan secara menyeluruh dan terbuka," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini hari ini. Pihak polis, tegas beliau, akan memanggil sesiapa sahaja bagi membantu siasatan dan setakat ini tiga individu ditahan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin. Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini, Ismail berkata, pihaknya menimbang menghantar rakaman video tersebut ke luar negara untuk dianalisis pakar asing. | ||
Lebih 50 pegawai kastam ditahan Posted: Lebih 50 pegawai kastam ditahanoleh WAN NOOR HAYATI ALIAS KUALA LUMPUR 1 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 50 lagi pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara hasil operasi susulan suruhanjaya itu yang memasuki hari keempat, bermula Isnin lalu. Penahanan semua pegawai pelbagai pangkat dan jawatan itu diperoleh dalam serbuan SPRM di pelabuhan utama negara di Selangor, Pahang, Johor dan Pulau Pinang. Dalam operasi itu, SPRM turut menemui wang tunai lebih RM500,000 di salah sebuah rumah pegawai kastam berkenaan. Menurut sumber, modus operandi mereka terlibat adalah memudahkan barang-barang diimport masuk ke dalam negara tanpa pemeriksaan dan mengikut prosedur yang ditetapkan. "Lokasi operasi pula tertumpu di pelabuhan-pelabuhan utama negara dan tangkapan tertinggi adalah di Pelabuhan Klang. "Jadi apa sahaja jenis barang 'dihalalkan' masuk ke sempadan dengan bayaran suapan tertentu yang dikenakan," kata sumber tersebut di sini hari ini. Sebelum ini, SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta dibantu lima agensi lain membuat serbuan ke atas 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis JKDM di seluruh negara dalam operasi besar-besaran tersebut. Dalam satu serbuan di Pahang, dua pegawai JKDM yang juga pasangan suami-isteri ditahan selain ratusan ribu ringgit ditemui berselerakan di rumah mereka. Sementara itu, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf meminta semua pegawai di jabatannya terus fokus terhadap tugas dan tanggungjawab masing-masing seperti yang diamanahkan. "Pegawai-pegawai agensi itu perlu mengekalkan khidmat terbaik kepada pelanggan jabatan iaitu masyarakat," katanya mengulas penahanan ke atas pegawai JKDM yang dilakukan SPRM, sejak Isnin lalu. Menurutnya, penahanan tersebut dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. "Hasil operasi itu, beberapa pegawai JKDM telah disiasat lanjut. JKDM percaya di atas kewibawaan SPRM dalam menjalankan siasatan tersebut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Ibu Pejabat JKDM Putrajaya, di sini hari ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Rasuah: ADUN Lenggeng dihukum penjara tiga tahun, denda RM20,000 Posted: Rasuah: ADUN Lenggeng dihukum penjara tiga tahun, denda RM20,000
RASAH 1 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim hari ini dihukum penjara tiga tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini, atas kesalahan menerima rasuah daripada seorang kontraktor sebagai dorongan mendapatkan permit menjual pasir, tiga tahun lalu. Mustafa yang memakai kot warna hitam kelihatan tenang di kandang tertuduh sebaik sahaja Hakim Amran Jantan membacakan hukuman tersebut setelah tertuduh didapati bersalah pada 4 Mac lalu. Dalam keputusannya, Amran menyatakan bahawa kesalahan tersebut adalah serius kerana ia dilakukan oleh individu yang berjawatan seperti tertuduh. "Hukuman bon tidak wajar kerana ia memberi gambaran yang tidak baik kepada masyarakat, seolah-olah mahkamah tidak memandang serius kes rasuah," katanya. Amran turut memerintahkan Mustafa dihukum penjara 12 bulan sekiranya beliau gagal membayar denda tersebut. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sehingga Isnin ini setelah pihak pembelaan memaklumkan akan mengemukakan rayuan. Bagi tujuan tersebut, hakim berkenaan memerintahkan jumlah ikat jamin tertuduh RM6,000 sebelum ini ditambah kepada RM10,000 dengan seorang penjamin. Mustafa, 52, didapati bersalah menerima suapan RM2,000 daripada M. Manimaran di Restoran Jahrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin pada pukul 5 petang, 31 Ogos 2008. Mustafa yang dipilih sebagai ADUN Lenggeng pada 2008 didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan untuk mengeluarkan permit menjual pasir kepada pengadu. Dakwaan terhadap Mustafa yang diwakili peguam Datuk Taqiyuddin Yahya dan Feisal Mustapha, dikemukakan mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama. Di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fieza Fazlin Fandi dan Penguasa Kanan SPRM, Jasmi Buang. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan