Utusan Online - Kota |
Teknologi Jerman timbus lubang Posted: Teknologi Jerman timbus lubangOleh NUR NAZLINA NADZARI
KUALA LUMPUR 21 April - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menggunakan Geo Bag, teknologi dari Jerman untuk menimbus lubang yang terbentuk di Jalan Syed Mahadi, Kampung Baru akibat tanah mendap minggu lalu. Sumber daripada JPS Wilayah Persekutuan memberitahu, sebanyak dua tan pasir atau batu lembut (soft rock) yang diisi ke dalam lebih 30 Geo Bag telah digunakan untuk menimbus lubang tersebut. Katanya, kaedah ini digunakan bagi mengelakkan berlaku lagi hakisan yang boleh menambahkan saiz mendapan di kawasan itu. "Jika proses menimbus semula ini dijalankan dengan baik, ia boleh menahan hakisan daripada berlaku selama 20 tahun. "Bagaimanapun, kerja yang dijalankan ini adalah sebagai penyelesaian sementara sahaja kerana kami masih menunggu laporan dari segi keselamatan dan kestabilan tanah di kawasan ini sama ada selamat atau tidak untuk didiami," katanya, ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini. Sumber tersebut mengulas mengenai kejadian tanah mendap yang berlaku di Kampung Pindah, Kampung Baru pada malam Khamis lalu. Tanah mendap itu terjadi selepas berlaku hujan lebat sejak petang hari itu, membuatkan Jalan Syed Mahadi yang bahagian bawahnya terdapat sungai bawah tanah (Sungai Bonus) mendap serta membentuk dua buah lubang besar. Akibat daripada kejadian itu, penduduk kampung tersebut telah diarahkan berpindah bagi menjamin keselamatan mereka. Sumber JPS tersebut menambah, keputusan mengenai kestabilan tanah di kawasan tersebut akan diperoleh selewat-lewatnya pada minggu hadapan. | ||
Rumah penduduk berdekatan terima kesan Posted: Rumah penduduk berdekatan terima kesan
KUALA LUMPUR 21 April - Lubang yang terbentuk akibat tanah mendap di Jalan Syed Mahdi, Kampung Baru seminggu lalu telah ditimbus untuk mengelak hakisan terus berlaku. Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan itu hari ini mendapati, kerja-kerja menimbus sedang giat dijalankan oleh kontraktor yang dilantik. Boleh dikatakan hampir keseluruhan kedua-dua buah lubang itu telah ditimbus semula dengan batu lembut (soft rock). Seorang wakil kontraktor yang namanya tidak mahu disiarkan berkata, kerja menimbus lubang tersebut telah pun siap dan hanya menunggu kerja memadatkan tanah yang baru ditimbus sebelum jalan itu diturap dengar tar. "Bila tanah sudah betul-betul rata, barulah jalan itu akan ditar dan ia akan mengambil masa lebih kurang seminggu lagi sebelum berbuat demikian," katanya. Khamis lalu, penduduk Kampung Pindah di Kampung Baru telah dikejutkan dengan kejadian tanah mendap yang membentuk dua buah lubang besar selepas hujan lebat yang berlaku sejak petang hari itu lagi. Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui, Marina Omar, 33, berkata, walaupun sudah berpindah ke penempatan sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, namun dia masih pulang ke rumahnya pada waktu siang. Menurutnya, penempatan sementara itu agak jauh dari rumahnya dan ia menyukarkan dia untuk menghantar anaknya ke sekolah setiap hari. "Anak-anak saya bersekolah. Ada yang sesi pagi dan petang. Jadi lebih mudah untuk tinggal di sini kerana kalau duduk di penempatan sementara itu jauh. "Saya berharap sangat kawasan ini selamat untuk diduduki kerana sungguh sayang meninggalkan rumah saya kerana ia merupakan rumah pusaka yang sudah dihuni oleh tiga generasi," jelasnya. Dalam pada itu, adiknya, Nadzeri Omar, 31, berkata, selepas berlaku tanah runtuh, mendapan semakin bertambah dan ia dapat dilihat pada rumahnya. "Rumah saya sudah mendap hampir tiga inci (kira-kira tujuh sentimeter) kesan daripada tanah runtuh itu. Ini amat membimbangkan kami semua kerana takut lama-kelamaan rumah kami boleh runtuh," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: DBKL akan pantau sekolahOleh ROSLAH OTHMAN
KUALA LUMPUR 21 April – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjalankan pemeriksaan terhadap penjaja-penjaja di luar bangunan sekolah dalam tempoh terdekat ini sebagai usaha menggalakkan amalan pemakanan sihat dalam kalangan pelajar sekolah. Pengarah Jabatan Kesihatan DBKL, Dr. Salehuddin Abu Bakar berkata, ia merupakan tindakan proaktif pihak berkuasa tempatan itu berhubung amalan pemakanan sihat dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah yang kini menjadi isu, khususnya di kalangan generasi muda yang menjurus kepada pelbagai masalah kesihatan, termasuk obesiti. Menurutnya, secara sedar atau tidak penjaja tanpa lesen ini telah menjadikan para pelajar sebagai sasaran memandangkan mereka merupakan golongan paling mudah terpengaruh dengan pelbagai jenis makanan ringan yang dijual. "Rata-rata makanan yang dijual di luar bangunan sekolah tidak mengandungi khasiat, malah mungkin memudaratkan kesihatan dalam jangka masa panjang," katanya pada sidang akhbar selepas mengetuai operasi kebersihan (Ops Bersih) di Kepong dan Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini. Operasi bersepadu siri keempat itu disertai 20 pegawai jabatan terlibat. Beliau menambah, buat permulaan tindakan penguatkuasaan hanya diambil dengan mengarahkan penjaja menghentikan perniagaan mereka, seterusnya diminta mengikuti sesi penerangan mengenai amalan pemakanan sihat. "Langkah ini diambil bertujuan memberi pendidikan tentang amalan pemakanan sihat kerana jika mereka benar-benar memahami tidak mungkin kanak-kanak sekolah menjadi sasaran mereka," ujarnya. Bagaimanapun, katanya, jika penjaja berkenaan didapati masih berdegil, maka tindakan merampas barangan terpaksa dilakukan. Salehuddin menambah, selain pihak sekolah, ibu bapa juga digalak untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memantau penjual makanan di luar bangunan sekolah ini. Sementara itu, dalam Ops Bersih selama lebih dua jam itu, sebuah daripada lapan premis makanan yang diperiksa telah diarahkan tutup serta-merta kerana kotor serta melanggar peraturan dan tahap kebersihan yang ditetapkan. Premis selebihnya hanya dikenakan tindakan kompaun apabila dikesan tidak memasang perangkap minyak pada sink yang merupakan salah satu syarat untuk mendapatkan lesen perniagaan. "Arahan penutupan ke atas premis ini disebabkan melanggar banyak peraturan terutama dalam penyediaan makanan, cara penyimpanan makanan mentah yang tidak teratur selain makanan yang sudah dimasak tidak ditutup," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan