Jumaat, 15 April 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Wajah segar Hentian Puduraya

Posted:

Wajah segar Hentian Puduraya

Wajah segar Hentian Puduraya

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusangroup.com.my


Konsep moden yang digunakan berjaya menampilkan elemen segar pada wajah baru Hentian Puduraya yang bakal dibuka semula Sabtu ini. - UTUSAN/ASWAD YAHYA


KUALA LUMPUR 14 April - Hentian Puduraya tidak pernah pudar popularitinya sejak dibuka pada 1976 dengan hampir setiap warga kota mempunyai kenangan menggunakan hentian tersebut.

Selain fungsi utamanya sebagai hentian bas, ia juga tidak pernah suram daripada pelbagai kisah lain seperti punca kesesakan lalu-lintas di jalan sekitarnya, tempat tumpuan penyeluk saku, ulat tiket dan sebagainya.

Hentian itu yang ditutup sejak kira-kira setahun lalu untuk proses pengubahsuaian dan naik taraf, kini bersedia untuk dibuka semula pada Sabtu itu dengan wajah baru yang lebih segar dan moden.

Dengan kos pengubahsuaian sebanyak RM52 juta, hentian itu pasti akan memberi lebih keselesaan kepada orang ramai seperti yang dirasai oleh penumpang di Terminal Bersepadu Selatan Bandar Tasik Selatan.

Antara kemudahan yang disediakan ialah ruang menunggu yang lebih luas dan selesa, lif, eskalator dan juga tandas awam yang turut dilengkapi dengan kemudahan mesra pengguna dari kalangan orang kelainan upaya (OKU).

Di samping itu, perubahan ketara juga boleh dilihat melalui kaunter tiket yang lebih cantik dan sistematik di tingkat satu, medan selera di tingkat empat dan dewan solat yang mampu menampung 400 orang jemaah.

Lantainya yang menggunakan jubin berkilat, ditambah pula jumlah lampu yang banyak menjadikan suasana di dalamnya jauh berbeza daripada suasana sebelum ini.

Wajah luaran hentian itu juga memperlihatkan perubahan yang ketara dengan reka bentuk kontemporari dan penggunaan warna yang menyegarkan.

Pengarah Urusan UDA Holdings Berhad, Datuk Jaafar Abu Hassan berkata, kerja-kerja naik taraf itu kini berada pada tahap akhir dengan 98 peratus daripada keseluruhan kerja sudah disiapkan.

Ketika ini, kerja-kerja akhir seperti pendawaian dan pemasangan sistem penyedut asap kenderaan di tingkat bawah sedang dilaksanakan sebagaimana yang diminta oleh pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata demikian pada media selepas membuat lawatan bersama media ke Hentian Puduraya di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Adnan Md. Ikhsan dan Ketua Operasi Negeri dan Perlesenan Terminal SPAD, Mohd. Fuad Ahmad.

Beliau berkata, dengan pembukaan semula Hentian Puduraya, hentian sementara di Bukit Jalil akan ditutup dan semua operasi bas ke utara akan kembali semula ke Hentian Puduraya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

DBKL pasang 1,200 CCTV

Posted:

DBKL pasang 1,200 CCTV

DBKL pasang 1,200 CCTV

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 14 April - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memasang 1,200 kamera litar tertutup (CCTV) sebagai salah satu usaha berterusan dalam mencegah kegiatan jenayah di ibu negara.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail berkata, usaha menambah dan menggantikan CCTV sedia ada itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan menerusi salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Katanya, pihak DBKL akan bekerjasama dengan polis dalam mengenal pasti lokasi dan akan memantaunya secara bersama kerana alat itu akan turut digunakan untuk memantau kesesakan dan vandalisme.

"Jumlah CCTV di sekitar kawasan ibu negara pada masa ini adalah 1,000 buah tetapi ada juga yang rosak dan tidak berfungsi kerana tidak diselenggara dengan baik.

"Proses pemasangan dan penggantian CCTV tersebut berada dalam proses tender dan akan dipasang tidak lama lagi berasaskan sistem sewaan supaya ia sentiasa diselenggara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Agenda Tempatan 21 (LA21) Kuala Lumpur bertemakan Bandar Raya Selamat di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Penasihat DBKL merangkap Ketua Penyelaras LA21 KL tema Bandar Raya Selamat, Datuk Ir. Abdul Latif Mohd Som dan Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran DBKL, Datuk Normah Malik.

Pada majlis tersebut, perjanjian persefahaman dengan 22 rakan kongsi program LA21 KL bagi tema Bandar Raya Selamat.

Ahmad Fuad berkata, pemasangan CCTV itu akan dapat memberi kesan psikologi positif kepada warga kota terhadap keselamatan mereka kerana mereka tahu yang mereka sentiasa dipantau.

Sementara itu, beliau berkata, rakan kongsi LA21 KL yang terdiri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan berasaskan komuniti akan merangka satu pelan tindakan baru berkaitan bandar raya selamat.

"Dengan adanya konsep begini, semua pihak bertanggungjawab memantau keberkesanan pelan tindakan supaya ia mencapai sasaran," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mangsa pindah ke PPR

Posted:

Mangsa pindah ke PPR

Mangsa pindah ke PPR

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusangroup.com.my


RAJA Nong Chik Raja Zainal Abidin (tiga dari kiri) diberikan penerangan oleh penduduk sewaktu melawat kawasan tanah mendap di Jalan Syed Mahadi, Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 15 April - Penduduk yang terlibat dalam kejadian tanah mendap di Kampung Pindah di Kampung Baru yang berlaku malam semalam akan berpindah ke penempatan sementara sehingga kawasan itu terkawal dan selamat untuk diduduki.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pihaknya akan menyediakan penempatan sementara kepada rakyat tempatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, Setapak.

Katanya, sebanyak 30 keluarga terlibat dalam kejadian tanah mendap itu dan mereka akan dipindahkan ke PPR Air Panas selewat-lewatnya esok.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membantu penduduk ini berpindah dan kerja baik pulih akan dilakukan secepat mungkin.

"Yayasan Wilayah Persekutuan pula akan memberi sumbangan dan jumlahnya akan ditentukan kemudian. Di samping itu, insya-Allah pihak UMNO dan Barisan Nasional akan turut membantu, selain sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat lokasi kejadian tanah mendap di Jalan Syed Mahadi dan mangsa-mangsa yang ditempatkan sementara di Dewan Orang Ramai, Jalan Hamzah, Kampung Baru.

Turut hadir Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup dan Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL, Sukiman Surahman.

Raja Nong Chik berkata, kajian awal mendapati kejadian tanah mendap itu berpunca daripada masalah perparitan dari Sungai Bonus yang kini menjadi sungai bawah tanah sejak pembangunan dilakukan di situ kira-kira 30 tahun lalu.

"Bagi penyelesaian jangka panjang, sistem perparitan perlu dirombak semula dengan membina kolam takungan banjir atau bina semula perparitan Sungai Bonus yang dibuat secara terbuka.

"Bagaimanapun, keputusan muktamad akan dibuat selepas mendapat laporan daripada Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) yang telah dilantik oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengkaji perkara itu yang mengambil masa kira-kira sebulan," katanya.

Malam tadi, penduduk sekitar Jalan Syed Mahadi, Kampung Baru di sini, gempar apabila jalan di hadapan rumah mereka tiba-tiba mendap dan mengeluarkan air serta pasir sebelum membentuk dua lubang besar sedalam kira-kira dua meter.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan