Rabu, 6 April 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


SPRM tidak belajar kesilapan lama, kata Majlis Peguam

Posted: 06 Apr 2011 12:18 AM PDT

Mayat Ahmad Sarbani Mohamed yang ditemui di perkarangan pejabat SPRM di Kuala Lumpur dipindah untuk pemeriksaan bedah siasat. — gambar oleh Jack Ooi

KUALA LUMPUR, 6 April — Majlis Peguam mahu satu siasatan terperinci dilakukan polis bagi menyiasat punca kematian seorang pegawai Kastam, yang dipercayai jatuh dari aras tiga pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Pegawai kanan Kastam itu disiasat SPRM di bawah Operasi 3B sejak awal minggu lalu.

Kejadian ini berlaku ketika Suruhanjaya Diraja sedang mengadakan siasatan berhubung kematian bekas pegawai DAP Teoh Beng Hock ditemui mati selepas disiasat SPRM dua tahun lalu.

"Walau apa pun punca kematian yang tragis ini yang kita dengar hari ini, ia terjadi kerana SPRM tidak belajar kesilapan lalu," kata Naib Presiden Majlis Peguam Christopher Leong kepada The Malaysian Insider.

"Siasatan yang terperinci perlu dilakukan, siasatan menyeluruh perlu dibuat bagi mengelak kes seperti Teoh Beng Hock, siasatan yang tidak terperinci akan menyebabkan satu keputusan terbuka terjadi, mengakibatkan satu suruhanjaya diwujudkan bagi menyiasat perkara ini," kata Leong yang turut mengetuai pasukan Majlis Peguam dalam Suruhanjaya Diraja menyiasat kematian Teoh.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, namun satu badan siasatan diwujudkan bagi menyiasat punca kematian Teoh.

Selepas 17 bulan dibicarakan mahkamah menetapkan tiada keputusan dicapai yang mana tidak dapat dipastikan sama ada Teoh membunuh diri atau dibunuh.

Ekoran keputusan itu, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mewujudkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat punca kematian Teoh.

MENYUSUL LAGI

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Qazaf: Jamil serah Jawi tentukan nasib ‘Datuk T’

Posted: 06 Apr 2011 12:11 AM PDT

Shazryl dan Rahim menghadiri sebuah sidang akhbar di Kuala Lumpur, 23 Mac. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 6 April — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menentukan  tindakan terhadap "Datuk T" ekoran tuduhan dibuat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rakaman video seks.

Jamil Khir berkata pihak dimaklumkan Jawi telah menerima aduan qazaf (tuduhan Zina) dan badan penguatkuasaan itu boleh mengkaji dan menyiasat tuduhan "Datuk T" terhadap Anwar, yang juga Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkembangan rakaman video seks itu kerana ia melibatkan pihak berkuasa seperti polis.

"Video itu telah diserahkan kepada pihak polis dan juga telah ada laporan yang dibuat di Jawi, jadi terpulang terserah dan terpulang kepada pihak penguat kuasa (Jawi) untuk melihat kes ini, buat penyiasatan dan diangkat kepada pihak pendakwa raya.

"Jadi bergantung kepada pihak pendakwa raya untuk nak melihat ada atau tidak (saksi) dan sebagainya, apa status kes dalam perkara ini," katanya pada sidang media di sini.

Kelmarin Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah memfailkan aduan qazaf terhadap "Datuk T" kerana menuduh Anwar terlibat dalam perbuatan zina melalui pendedahan rakaman video seks 21 Mac lalu di Carcosa Seri Negara.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, aduan qazaf itu dibuat terhadap bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim yang telah menggemparkan negara apabila bertindak menayangkan rakaman video seks itu kepada media.

Selain Shamsul Iskandar, turut memfailkan aduan qazaf terhadap "Datuk T" ialah Timbalan Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip dan Ketua AMK Wilayah Persekutuan Mohd Hamdi Mohd Syed.

Tambah Jamil Khir, beliau mengambil keputusan untuk berdiam diri kerana tidak mahu campur tangan dalam kes tersebut yang kini disiasat polis.

"Nanti kalau kita campur mereka kata kita campur tangan...ini tangan pun tak campur, kaki pun tak campur, apa pun tak campur," katanya.

Ketika ditanya mengenai hukum kerana mendedahkan rakaman video seks itu kepada umum, Jamil Khir bagaimanpun meminta wartawan agar bertanyakan soalan itu kepada mufti.

"Hukum kena tanya mufti, huraian (siasatan) itu biar ditentukan pihak berkuasa, saya sendiri pun tak tengok lagi, kita pun tak tahu... gambar apa pun kita tak tahu, pelakunya pun kita tak tahu," katanya.

Tindakan "Datuk T" mendedahkan rakaman video seks itu dikecam hebat pemimpin Pakatan Rakyat dan juga ulama termasuk Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menyifatkan ia haram di sisi agama Islam.

Malah  Persatuan Ulama Malaysia (PUM) juga menyifatkan tindakan pihak tertentu termasuk media arus perdana menyiarkan gambar aksi seks yang dikaitkan dengan Anwar bertentangan dengan norma masyarakat Melayu dan Islam.

Setiausaha Agung PUM Dr Mohd Roslan Md Nor berkata, pihaknya kesal dengan tindakan itu dan menyifatkan langkah tersebut berniat jahat dan melampaui batasan akhlak, moral dan budaya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan