Isnin, 4 April 2011

Malaysiakini :: Berita

Malaysiakini :: Berita


Jangan tolak bina loji nuklear: Penyokong k'jaan

Posted: 04 Apr 2011 04:20 AM PDT

Seorang penyokong kerajaan memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa cadangan untuk membina loji tenaga nuklear tidak boleh ditolak begitu sahaja tanpa menjalankan perbincangan dan penerangan yang betul mengenai kebaikan serta keburukan sumber tenaga itu.

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) berkata, pengetahuan masyarakat umum di Malaysia mengenai penjanaan tenaga nuklear masih rendah dan kerajaan perlu memberikan maklumat yang jelas mengenai pentingnya tenaga itu sebagai tenaga alternatif.

"Pendirian kita ialah sebelum kita laksanakan satu dasar itu, kita perlu wujudkan satu suasana di mana semua pihak mempunyai pengetahuan yang mendalam. Kalau semua pihak sudah ada pengetahuan ke arah kebaikan dan keburukan, barulah kita akan sampai ke peringkat membuat keputusan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu 2010 di Dewan Rakyat hari ini.

Idris berkata, walaupun Loji Nuklear Fukushima Daiichi di Jepun mengalami kebocoran akibat gempa bumi dan tsunami bulan lalu, kerajaan negara itu mempunyai langkah yang telah disediakan supaya tidak menjejaskan keamanan dunia.

Katanya, negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura dan Kemboja sudahpun menjalankan program kesedaran bagi memberi pengetahuan dan penerangan sedalam-dalamnya mengenai kebaikan penjanaan elektrik menerusi loji nuklear untuk kegunaan harian.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) menyokong cadangan Idris dan meminta supaya pihak yang terlibat dalam pelaksanaannya nanti memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat.

"Agensi yang diberikan amanah memainkan peranan dalam menjaga keselamatan rakyat," katanya.

Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) berkata, satu perbincangan secara intelektual perlu diadakan selain memberikan penerangan yang jelas supaya masyarakat di negara ini tidak terus dibelenggu perasaan takut terhadap tenaga nuklear.

"Jangan kita dibelenggu pemikiran seperti itu (takut). Sama ada kita hendak menolak atau menerimanya, perlulah dilakukan secara berilmu.

"Kita perlu ada segala pengetahuan berkaitan. Dan kalau habis bahan bakar fosil ini, apa alternatifnya nanti?" katanya.

Pada Disember 2010, kerajaan mengumumkan pelan untuk membina dua loji tenaga nuklear yang masing-masing mampu menjana 1,000 megawatt, dengan projek pertama sedia beroperasi pada 2021 dan loji kedua setahun kemudian, sebagai rancangan jangka panjang menyeluruh untuk bekalan tenaga yang seimbang.

Kerajaan berkata, tenaga nuklear adalah pilihan utama dalam mengimbangi sumber tenaga kerana kos penyelenggaraan dan tarif yang lebih rendah dalam jangka panjang.

Pada masa ini, gas menyumbang 64 peratus daripada tenaga di Malaysia manakala selebihnya daripada arang batu.

- Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bantahan nelayan: Kerja letup terumbu ditangguh

Posted: 04 Apr 2011 04:05 AM PDT

Syarikat petroleum yang merancang untuk melakukan kerja-kerja meletupkan terumbu karang di kawasan perairan Tanjung Kling, Melaka secara dasarnya bersetuju menangguhkan sementara kerja-kerja letupan di atas tapak pembinaan jeti gas asli cecair (LNG).

Ia setelah campurtangan ADUN Pantai Kundur, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, yang memaklumkan mengenai bantahan itu yang dibuat lebih 100 nelayan di Melaka petang semalam.

Semasa pertemuan hampir 15 minit itu, Pengerusi Penaja Jawatankuasa Bertindak, Mahat Jantan, telah menyuarakan bantahan serta kebimbangan para nelayan mata pencarian mereka mungkin terjejas berikutan tindakan syarikat berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau turut menyerahkan satu memorandum yang setakat ini telah ditandatangani lebih 63 nelayan kepada Ab Rahaman.

Bercakap kepada media selepas itu, Ab Rahaman berkata, syarikat terbabit perlu menangguhkan sementara kerja-kerja yang hendak dijalankan bagi membolehkan satu jalan penyelesaian dicapai antara syarikat dan nelayan.

Menurutnya, satu sesi dialog akan diadakan petang esok (Selasa) membabit semua pihak yang terlibat bagi mereka sama-sama mencari penyelesaian.

"Sepatutnya, satu dialog diadakan dengan nelayan sebelum keputusan projek ini dibuat supaya nelayan tahu apa sebenarnya akan yang berlaku.

'Saya pun faham'

"Saya difahamkan mereka (nelayan) bukan membantah pembangunan, cuma mereka risau mengenai mata pencarian mereka kerana kawasan terbabit merupakan lubuk emas untuk nelayan ini.

"Saya pun faham kerana ini membabitkan kebajikan mereka, yang mana sepatutnya diberi perhatian," katanya.

Sementara itu, menurut Mahat, para nelayan mengharapkan isu berkenaan akan dapat diselesaikan dengan segera kerana mereka bimbang mata pencarian mereka akan terjejas sekiranya kerja-kerja letupan itu diteruskan.

Beliau mendakwa tiada sebarang dialog diadakan bersama nelayan terbabit, terutama bagi membincangkan mengenaikan sebarang pampasan.

"Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik. Kami jugak tidak menolak kemungkinan akan mengadakan bantahan di laut sekiranya ianya menemui jalan buntu," katanya.

Dalam insiden petang semalam, lebih 100 nelayan dari Pantai Puteri, Pantai Rombang, Pantai Kundur dan Balik Bukit berkumpul di sini bagi menyuarakan bantahan mereka terhadap kerja-kerja yang ingin dijalankan syarikat berkenaan.

Mereka mendakwa kerja meletupkan terumbu yang terletak kira-kira tiga batu nautika (kira-kira 5.5km) dari pantai akan menjejaskan kawasan mereka menangkap ikan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan