Ahad, 17 April 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Suhu dingin pulihara bahan sejarah

Posted:

Suhu dingin pulihara bahan sejarah

Suhu dingin pulihara bahan sejarah

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my



SEBUAH naskhah usang yang ditulis dalam bahasa Belanda dan diletakkan di atas meja di dewan penyelidikan Arkib Negara Malaysia (ANM) begitu mengujakan penulis yang berkunjung ke bangunan yang menyimpan pelbagai khazanah berharga itu baru-baru ini.

Lantas, naskhah itu diambil dan helaian demi helaiannya diselak perlahan-lahan. Struktur naskhah yang sudah usang dan berwarna kusam kekuningan itu berjaya menimbulkan rasa ingin tahu akan kandungannya.

Melalui laman web ANM, buku tersebut yang tajuknya diterjemah sebagai Kisah Pengembaraan Francois Valentyn (Jilid Ke-5) diterbitkan pada tahun 1726 dan ditulis oleh Francois Valentyn, berdasarkan maklumat yang dikumpul pegawai-pegawai Belanda ke India.

Jilid berkenaan menceritakan sejarah awal Melaka, Kesultanan Melaka dan hubungan Melaka dengan negara-negara jiran. Di dalamnya terkandung fakta mengenai empayar Kesultanan Melaka yang begitu agung pada kurun ke-15.

Justeru, buku yang masih dalam keadaan elok itu menjadi rujukan penting kepada ramai sarjana Belanda yang mengkaji mengenai hubungan Belanda dengan negara-negara di Timur.

Menurut Ketua Pengarah ANM, Dr. Samsiah Muhamad, naskhah berkenaan merupakan bahan penting ANM yang dikategorikan sebagai Permata Pusaka yang memerlukan usaha penyimpanan dan pemeliharaan khusus supaya kekal baik untuk tatapan generasi akan datang.

"Kesemua bahan sejarah ini disimpan di dalam gudang khas yang dinamakan Seksyen Perkhidmatan Repositori dan Seksyen Arkib Pandang Dengar yang suhu dan kelembapannya dikawal.

"Misalnya, bagi bahan dalam bentuk kertas, suhu gudang adalah sekitar 20 darjah celsius dan kadar purata kelembapan bandingan ialah 50 peratus.

Alat pendingin hawa pula dipasang 24 jam di setiap gedung menyimpan bahan arkib tersebut," katanya mengenai gudang yang turut dipantau kamera litar tertutup (CCTV) itu.

Menurut beliau, antara bahan arkib yang diletakkan dalam kategori Permata Pusaka ialah akhbar Jawi Peranakan tahun 1888, surat daripada Sultan Pahang Kepada Sultan Terengganu Mengenai Pentadbiran Negeri Pahang tahun 1859 dan surat Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah Darul Aman pada tahun 1882-1943.

Bahan-bahan lain ialah peta Melaka tahun 1886, gambar Mesyuarat Durbar Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang pertama di Kuala Kangsar pada Julai 1897, Pemasyhuran Kemerdekaan tahun 1957 dan Pemasyhuran Malaysia tahun 1963.


ORANG ramai yang mempunyai bahan-bahan sejarah digalakkan menghantar bahan tersebut di Arkib bagi tujuan pemuliharaan dan merekod.


Samsiah memberitahu, kesemua bahan sejarah itu penting sebagai rujukan yang merekodkan ketamadunan bangsa dan pembentukan negara.

Melalui bahan sejarah itu juga, katanya, kita dapat mengkaji dan mengukur keberkesanan dan kelemahan tindakan dan keputusan yang telah dibuat pada masa lampau.

"Analisis sejarah membolehkan kita merancang dan membuat keputusan yang lebih baik pada masa depan. Ia dapat dijadikan wawasan dalam membina dan membentuk perubahan dan hala tuju yang lebih baik.

"Bahan-bahan sejarah ini juga penting untuk dijadikan bahan bukti bagi mempertahankan hak dan kedaulatan negara.

"Tanpanya, sukar untuk kita membuktikan hak serta ketuanan sesuatu bangsa dan negara," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, beliau menggalakkan orang ramai yang menyimpan bahan-bahan sejarah untuk menyerahkannya kepada ANM supaya ia dapat direkodkan dan dipulihara sebagai salah satu khazanah penting negara.

"Sebahagian bahan sejarah di sini diserahkan oleh individu atau melalui kumpulan ANM yang bergerak untuk menjejaki bahan-bahan sejarah ini.

"Bagaimanapun, banyak rekod sudah dimusnahkan selepas Perang Dunia Pertama oleh tentera British untuk menjaga kerahsiaan.

"Tetapi ada rekod yang berjaya dijumpai selepas pemerintahan Jepun yang ditemui di dalam bilik bawah tanah bangunan Sultan Abdul Samad iaitu fail sekretariat Selangor dan rekod gereja pada zaman penjajahan Belanda yang ditemui di Melaka," katanya.

Pemuliharaan

Pelbagai kaedah pemuliharaan dijalankan oleh ANM bagi memastikan bahan-bahan tersebut bertahan dalam jangka masa yang lama.

Antaranya ialah dengan cara menjilid, mengawet, melaminasi dan membuat penyalinan dalam bentuk mikrofilem dan digital.

Menurut Penolong Pegawai Arkib Kanan, Afzainizam Abdul Rahman, setiap bahan arkib dalam bentuk kertas akan melalui empat bahagian di jabatan hospitaliti ANM iaitu bahagian restorasi, penjilidan, reprografi (penyalinan gambar) dan makmal bagi menguji bahan dengan bahan kimia yang bersesuaian.

"Pembaikan kecil akan dilakukan untuk kertas yang mempunyai lubang-lubang kecil akibat dimakan hama. Ia akan ditampal dengan kertas buatan tangan dan dilekatkan menggunakan pati carboxymethyl: Cellulose (CMC) yang merupakan sejenis gam yang dimasak dengan air suling.

"Selepas itu, kertas tersebut akan disembur dengan air suling, dilapisi dengan kertas tisu L2 dan disapukan gam CMC di permukaannya secara menyeluruh," katanya mengenai proses yang dilakukan bagi menguatkan struktur kertas dan mematikan bendasing.

Pegawai Pemuliharaan, Kamaruddin Hashim pula memberitahu, penjilidan bahan-bahan dilakukan sama ada melalui penjilidan biasa atau penjilidan halus.


KAMARUDDIN menunjukkan sebuah buku yang sudah siap dijilid menggunakan kulit lembu.


"Penjilidan biasa menggunakan kulit buku yang dibuat daripada kertas bakram dan gam putih, manakala penjilidan halus menghasilkan kulit buku yang dibuat daripada kulit kambing atau lembu yang ditempah dari England.

"Semua proses dilakukan secara manual kerana setiap naskhah adalah salinan asal dan selepas proses siap, ia akan dihantar kepada bahagian yang menyerahkan buku-buku itu ke bahagian hospitaliti ini untuk diperbaiki," katanya.

Katanya lagi, proses penjilidan melibatkan kos sehingga RM600 untuk sebuah buku atau manuskrip, bergantung kepada jenis, saiz, keuzuran dan proses pemuliharaan bahan tersebut.

"Sehelai kulit haiwan untuk membuat kulit buku ini sahaja berharga sekitar 50 pound sterling (RM247) dan ia cukup untuk membuat satu atau dua buah kulit buku," katanya.

Sementara itu, Pegawai ANM, Nor Atikah Safri memberitahu, gedung yang menyimpan bahan-bahan arkib hanya boleh dimasuki kakitangan yang bertanggungjawab menjaga gedung itu. Pengunjung perlu memesan bahan-bahan berkenaan di dewan penyelidikan ANM.

"Bahan-bahan di gedung boleh sampai ke tangan penyelidik dalam masa kurang sejam. Untuk memilih bahan yang dikehendaki, sama ada melalui bilik pandu cari atau melalui carian dalam talian yang dinamakan sebagai sistem kompas.

"Kesemua bahan di dalam gedung juga sudah disimpan dalam bentuk digital dan mikrofilem bagi memudahkan proses carian dan kajian," katanya.

Katanya lagi, bahan-bahan yang direkodkan secara digital dan mikrofilem mampu bertahan selama 100 tahun sekiranya dipelihara dengan baik.

"Bahan-bahan di sini termasuklah bahan-bahan dari luar negara terutama negara-negara yang mempunyai kaitan sejarah dengan Malaysia seperti England dan Jepun.

"Selain itu, semua bahan ini mempunyai kod elektronik bagi memastikan keselamatannya. Bahan-bahan sejarah terutama daripada Pertama Pusaka juga tidak boleh dibawa keluar daripada dewan penyelidikan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan