Kosmo Online - Rencana Utama |
Kelkatu petanda cendawan busut Posted: Kelkatu petanda cendawan busutOleh SITI NOR AFZAN KASIMAN PAGI itu suasana dingin dan hening menyeliputi Felda Gunung Besout 2, Sungkai, Perak. Tanah masih belum terang, embun pagi juga belum berhenti menitik. Namun, di sebalik deretan pokok kelapa sawit yang disempadani parit-parit kecil, kelihatan susuk tubuh milik Mohd. Shaiful Isa, 28, sedang tekun mengutip cendawan busut. Dengan bantuan cahaya dari motosikal miliknya, pantulan cahaya putih daripada cendawan memang jelas kelihatan. "Dalam keadaan yang redup sebegini, kerja mengutip lebih mudah kerana pantulan warna cendawan senang dilihat berbanding pada waktu cerah. "Kerja mengutip cendawan memang dilakukan pada awal pagi kerana ia perlu diasing-asingkan dan dibersihkan sebelum boleh dijual di pasar," jelas Shaiful, anak peroka di Felda ini. Selesai mengutip di tepi parit kecil, dia beralih pula ke satu kawasan busut yang hampir dilitupi dengan cendawan berkepala bulat tersebut. Struktur tanah yang agak lembut di kawasan berkenaan memudahkan lagi kerja-kerja mencabut cendawan, sekali gus rentak tangannya semakin tangkas. Kelkatu "Kalau tumbuh di tanah lembut, cendawan boleh dicabut hingga ke akarnya. Begitu juga jika ia tumbuh di tanah berpasir. "Jika tumbuh di tanah keras, batang cendawan yang panjang biasanya mudah patah semasa dicabut," katanya yang mengutip cendawan liar hampir 10 busut sehari ketika musim cendawan tumbuh. Cendawan busut merupakan cendawan boleh dimakan yang tumbuh meliar selalunya di ladang kelapa sawit dan kebun getah. Antara lokasi terkenal yang menjadi rumah kepada tumbuhan jenis kulat ini sekitar Perak dan Negeri Sembilan. Musim yang cukup sinonim dengan cendawan busut di Felda Gunung Besout ialah pada setiap awal tahun bermula bulan Januari hingga awal Mac dan hujung tahun di antara bulan November hingga Disember. KERJA pembersihan dilakukan segera bagi memastikan cendawan dapat dipasarkan pada hari yang sama ia dikutip. Ia juga boleh tumbuh di luar musim namun hasilnya tidak sebanyak awal dan hujung tahun. Bagaimanapun, tarikh sebenar bila cendawan akan tumbuh, tiada siapa yang dapat mengetahui dengan tepat dan jelas. "Kehadiran cendawan di sini memang bergantung pada hujan. Mungkin betul pepatah yang mengatakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. "Namun, tidak semua hujan boleh menghasilkan cendawan. Kebiasaannya, cendawan muncul apabila hujan turun pada waktu malam dan keesokannya cuaca panas terik. "Jika rutin cuaca seperti ini berulang selama tiga hari berturut-turut, kemungkinan besar cendawan akan tumbuh. "Satu lagi petunjuk yang boleh dijadikan petanda ialah hujan yang mengundang kehadiran kelkatu. "Jika banyak kelkatu, mungkin dalam masa tiga, empat hari lagi, cendawan akan tumbuh," jelas Shaiful yang pernah mengutip dan menjual 120 kilogram (kg) cendawan busut sehari. Jangka hayat cendawan yang hanya mampu bertahan selama empat hari sering memberikan keterujaan kepada para penduduk di Felda berkenaan untuk turun ke ladang dan mencari cendawan. "Apabila sudah ada tanda-tanda cendawan tumbuh, saya akan meronda ke lokasi yang menjadi tempat kebiasaan cendawan busut tumbuh. "Jika ada topi cendawan yang keluar dari tanah, kami akan tandakan kawasan tersebut dan datang semula esok pagi untuk mengutipnya," ujar Shaiful. Menurutnya lagi, hari tuaian terbaik ialah pada hari kedua. Jika cendawan dikutip pada hari pertama, ia masih terlalu kecil, jika hari ketiga pula, topi cendawan sudah besar dan hampir kembang. Pada hari keempat pula, biasanya topi cendawan sudah mengembang. "Jika dikutip pun, kami tidak menjualnya, cuma makan sendiri. "Selalu juga kami terlepas musim cendawan kerana tidak ramai yang boleh menyedari kehadiran cendawan busut pada hari pertama, sedar-sedar ia sudah kembang," kata Shaiful yang juga merupakan peraih cendawan di sekitar Felda tersebut. Memiliki kepakaran mencari lokasi tumbuhnya cendawan busut, minatnya itu lahir selepas sering mengikut abang dan ayahnya mencari dan menjual cendawan sejak kecil lagi. Malah, bapanya, juga seorang peraih cendawan. Abang Shaiful, Ahmad Razak Isa, turut menjadikan cendawan busut sebagai pendapatan sampingan yang lumayan. "Jika musim lebat, saya mampu membeli lebih kurang satu tan cendawan busut daripada warga Felda. Hasilnya pula akan dijual di pasaran luar, biasanya di Ipoh dan Rawang. Pantang dibasuh SELEPAS dicabut, cendawan akan dibersihkan dan diasingkan mengikut gred sebelum dijual di pasar. "Memandangkan ia tidak tahan lama, proses pembersihan dan pengasingan perlu dilakukan sejurus ia dicabut supaya ia dapat dijual pada hari yang sama," katanya. Tambahnya lagi, jika cendawan busut dijual hingga ke Rawang, maknanya musim cendawan di Besout benar-benar menjadi. Menurut rakan Shaiful, Mohd. Roslan Salleh, 27, mereka mempunyai cara tersendiri untuk membersihkan cendawan busut. "Jangan sekali-kali gunakan air untuk membersihkan cendawan melainkan jika sudah mahu dimasak. Cukup sekadar bersihkan tanah dan pasir yang melekat di cendawan. Membasuh dengan air akan menjadikannya cepat rosak dan buruk," katanya. Selepas proses pembersihan dijalankan, cendawan akan dikumpulkan mengikut gred berdasarkan hari ia dikutip. "Biasanya kerja mengutip akan dilakukan pada awal pagi. Ia kemudiannya terus dibawa ke rumah untuk dibersihkan dan diasingkan mengikut gred. "Kebanyakan cendawan tumbuh pada hari yang sama, tetapi ada juga cendawan yang lewat sehari dua. "Cendawan yang dicabut pada hari kedua adalah cendawan terbaik kerana teksturnya yang masih sedikit keras dan kenyal. "Harganya juga lebih tinggi dan dijual mengikut kg. Untuk gred bagus, ia akan dijual pada harga di bawah RM20 sekilogram. "Untuk cendawan yang dikutip sudah memasuki hari ketiga atau keempat, biasanya ia akan dijual longgok, sekitar RM5 hingga RM8 selonggok," katanya yang mengakui cukup seronok menjual cendawan jenis liar ini. Menurut Roslan, memandangkan ia sukar ditemui dan tidak dapat diketahui bila ia akan tumbuh, jualan cendawan busut biasanya sangat laris. "Mungkin sebab ia jarang ada, apabila kita buka gerai jualan, tidak sampai tiga jam, hasil jualan beratus kilogram pun dapat dihabiskan, apatah lagi jika cuma geng-geng kita yang menjual di situ. "Kalau buka gerai di tepi jalan, memang orang akan berkerumun bila mengetahui kami menjual cendawan busut di situ," katanya. Cendawan yang menjadi kegemaran ramai ini sememangnya enak dijadikan juadah pembuka selera. Teksturnya yang tebal sudah tentu menghadirkan rasa puas tatkala mencicip batang ataupun topi cendawan liar ini. Rasanya manis dan baunya juga harum. Bukan sekadar itu, keenakannya memang tidak dapat dinafikan malah sesuai dengan apa jua masakan sama ada goreng tepung, sup, tomyam, masak lemak kunyit mahupun dijadikan campuran dalam hidangan masakan panas seperti mi hailam. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Posted: Budi emas AnnaOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
DATUK Paduka Dr. Anna Tee Achui, 74, terkenal dengan sikap pemurah dan baik hati. Beliau telah menghabiskan sebahagian besar usianya untuk kerja-kerja kebajikan termasuk menubuhkan National Caring Society Kuala Lumpur, 20 tahun lalu. Persatuan itu menaungi beberapa buah rumah kebajikan. Pada musim perayaan, ahli persatuan itu akan mengunjungi rumah-rumah kebajikan berkenaan untuk mengagihkan makanan dan wang angpau. Ia juga memberikan derma kepada pesakit buah pinggang, ibu tunggal, sekolah daif bahkan pesakit mental dan HIV. Anna dilahirkan di Muar, Johor pada 10 November 1937. Bapanya membuka sebuah kedai ubat Cina di bandar Muar manakala ibunya seorang suri rumah. Beliau mempunyai 13 adik-beradik, tujuh lelaki dan enam perempuan. Anna ialah anak yang kesembilan. Menurut Anna, ibunya mahu beliau menjadi seorang rahib tetapi beliau sebaliknya memilih menjadi seorang jururawat. Seawal usia 17 tahun khidmatnya ditagih di Hospital Johor Bahru, Hospital Muar dan Hospital Assunta Johor Bahru. Senyuman "Melihat senyuman yang terukir pada wajah orang di sekeliling sudah cukup untuk membuatkan hati saya tenang sepanjang hari. "Kepuasan yang diperoleh tidak tergambar oleh kata-kata," ceritanya yang berkahwin dengan seorang usahawan, Lim Heng Yee, pada umur 20 tahun. Pada masa lapang, Anna akan pergi ke hospital-hospital untuk melawat orang sakit atau orang tua. Beliau biasanya akan membawa bersama kek dan makanan, kemudian makan bersama pesakit berkenaan supaya mereka tidak berasa keseorangan. Sepanjang hidupnya, Anna berpegang pada satu motto - 'Sayangi orang lain dan jangan pentingkan diri sendiri, serta berilah seberapa banyak yang anda boleh'. Kesusahan membantu golongan yang memerlukan seperti orang miskin, orang kelainan upaya (OKU) dan anak yatim dilempar jauh daripada mindanya. Ibu kepada tujuh orang anak ini pernah mengeluarkan wang simpanannya semata-mata untuk menolong individu dalam kesusahan yang datang berjumpanya. Namun, ada juga insan yang suka mengambil kesempatan atas sikap baik hati Anna. Tetapi kata Anna, beliau telah lama memaafkan perbuatan mereka yang menipunya dengan cara mereka-reka cerita kesusahan hidup yang mereka alami. "Itu soal mereka dengan Tuhan," ujarnya. Bebola matanya kian berkaca-kaca tatkala ditebak kisah beliau melalui zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu. "Pada waktu itu saya berusia 12 tahun dan melihat sendiri askar Jepun menganiaya orang kita.
"Ibu dan bapa saya cuba sedaya upaya menyelamatkan kami 14 beradik dengan menyembunyikan kami di ceruk-ceruk rumah yang sempit," singkapnya yang mengakui cetusan jiwa kebajikannya berdenting daripada peristiwa itu. Anna membuka farmasi pertama di daerah kelahirannya di Muar, Johor. Diberi nama Malaysia Medical Store, farmasi itu banyak memberi harapan kepada orang ramai. Ia bagaimanapun terpaksa ditutup selepas Anna mengikuti keluarga berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1970-an. Kenangan bersama mendiang suaminya hanya mampu terisi dalam ruang 39 tahun hidupnya berikutan lelaki itu meninggal dunia akibat komplikasi jantung. "Anak-anak menjadi permata hati dan kenangan abadi bersama suami saya. Saya gembira dengan anugerah kebahagiaan yang saya miliki sekarang. "Kesemua tujuh orang anak saya juga berjaya memperoleh kehidupan yang selesa, itu hadiah bermakna bagi seorang ibu," getusnya yang tidak mengehadkan batasan komunikasi walau empat daripada anaknya kini berada di luar negara. Walau berlatarbelakangkan pendidikan ampuh, kata Anna, kekentalan jiwa merupakan motivasi utamanya. Amalan kebajikan yang dilakukannya sejak kecil sementelah memasuki gerbang kerjaya melayakkan Anna dianugerahkan pingat Datuk Paduka oleh kerajaan Solo, Indonesia pada tahun 2007. Gelaran doktor falsafah (Ph.D) pula dianugerahkan oleh Universiti Camdaen, Amerika Syarikat. Kaya Malah, Yang di-Pertuan Agong Ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Syed Putra Jamalullail menganugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) kepada Anna atas jasa dan baktinya kepada masyarakat setempat. Melabelkan dirinya sebagai wanita biasa dan fleksibel, Anna tidak gentar menubuhkan National Caring Society Kuala Lumpur. Selain bertindak sebagai pengerusi sejak badan tersebut ditubuhkan, Anna sendiri yang memilih ahli yang benar-benar ikhlas menyumbang bakti kepada masyarakat. "Bantuan yang kami berikan bukan tertumpu pada keperluan semasa namun meliputi keperluan persekolahan dan bantuan perubatan. "Sebab itulah ahli pertubuhan ini perlu benar-benar serius," ujarnya yang turut menguruskan pengkebumian jenazah golongan kurang mampu termasuk penghidap HIV dan AIDS. Tambahnya, orang di sekeliling sering menganggap beliau melakukan amalan kebajikan menggunakan harta kekayaan keluarga. "Hakikatnya, saya juga ada pekerjaan sendiri dan hasil titik peluh itu saya sumbangkan untuk aktiviti amal," katanya yang mempunyai sebuah syarikat hartanah, LandPro. Hembusan kebimbangan Anna dapat dirasa saat pertemuan hampir tiba ke penghujungnya, namun semangat adi wira wanita ini akan meneruskan baktinya selagi kudrat masih terisi upaya. "Saya akan teruskan aktiviti kebajikan ini selagi hayat dikandung badan. Bagaimanapun, saya masih mengharapkan ada barisan pelapis yang akan meneruskan perjuangan saya," tuturnya yang kini turut mendapat sokongan daripada anak-anaknya. Anna turut menyertai parti MCA sejak lebih 40 tahun lalu. Kini beliau merupakan Pengerusi MCA cawangan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Posted: Ajal raksasa sungai SarawakOleh ADLAN JAAFAR KERATAN akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 Mei 1992 memaparkan bangkai Bujang Senang yang ditembak di Sungai Pelaban, Sri Aman, Sarawak. CERITA mengenai buaya raksasa menghuni sungai-sungai di Sarawak bukanlah kisah dongeng bahkan nama Bujang Senang masih digeruni hingga kini. Kemunculan semula Bujang Senang, buaya jantan yang dipercayai oleh masyarakat tempatan berukuran 20 kaki panjang (enam meter) dan empat kaki (1.2 meter) lebar, bermula pada tahun 1982 apabila reptilia itu membaham Penghulu Bangan dari Rumah Panjang Pali di Sri Aman, Sarawak. Pada masa itu, Penghulu Bangan bersama abangnya Kebir sedang asyik menangguk udang di Sungai Sungga, cabang Batang Lupar sebelum dia terpijak sesuatu di dasar sungai. Sepantas kilat, seekor buaya besar timbul dengan tubuh Penghulu Bangan di rahangnya. Kebir yang dari tadi memerhati dari tebing terus terjun dan memeluk ekor buaya itu demi menyelamatkan adiknya tetapi tidak berjaya. Ketika itulah Kebir menyedari buaya itu mempunyai belang putih di belakangnya. Warna itu pula kelihatan berkilau-kilauan. Patah Operasi mencari mayat Penghulu Bangan berterusan selama lima hari tetapi cuma bahagian atas mayat lelaki itu ditemui. Berikutan itu, polis Sarawak melancarkan 'Operasi Buaya Ganas' di semua sungai besar di negeri itu seperti Batang Sadong, Samarahan, Lupar, Layar dan Saribas. Operasi itu gagal dan Bujang Senang terus mengganas. Di antara tahun 1982 hingga 1991, sebanyak 13 orang menjadi mangsa kebuasan Bujang Senang. Pada Mei 1992, Bujang Senang menyambar mangsa ke-14, Dayang anak Bayang, 20, ketika gadis Iban itu menyeberang Sungai Pelaban, cabang Batang Lupar bersama ibunya. Air Sungai Pelaban hanya sedalam separas pinggang tetapi sebaik sahaja ibunya naik ke tebing, tiba-tiba satu deburan kuat menyebabkan Dayang hilang daripada pandangan. Abang Dayang, Enie Bayang dengan bantuan rakan-rakannya segera membantu. Bersama mereka ialah si bomoh Mandau yang tidak henti-henti membaca mantera. Setelah lebih dua jam, Enie menjumpai mayat adiknya yang masih sempurna di celah-celah puing di salah satu lubuk sungai itu. TENGKORAK kepala Bujang Senang dipamerkan di Ladang Buaya Jong, Siburan. Entah kenapa, buaya itu timbul semula di permukaan sungai. Mandau pantas melemparkan lembing ke kepala buaya itu malangnya lembing itu patah. Beberapa das tembakan yang dilepaskan Enie pula gagal membunuhnya. Buaya itu melarikan diri ke arah Batang Lupar namun terhalang oleh sebatang kayu besar yang merentangi mulut Sungai Pelaban. Kepala Ketika itulah penduduk dari tiga buah kampung iaitu Pelaban, Suduku dan Lingga mengepungnya. Sebanyak 40 das tembakan dilepaskan dengan 22 daripadanya tepat di kepala haiwan itu. Semua tembakan itu menggunakan peluru paku sepanjang 10 sentimeter. Buaya itu menemui ajal dan bangkainya diangkut ke rumah panjang selama empat jam perjalanan. Selepas itu barulah disedari di belakangnya ada garisan putih. Penduduk percaya itulah Bujang Senang yang diperkatakan orang selama ini. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Lingga, Awang Mahda Pengiran Mat mengesahkan buaya yang dibunuh itu seekor buaya jantan. Katanya, orang yang membelah perut buaya itu menemui tulang dan rambut yang tidak dapat dipastikan kepunyaan manusia atau binatang, selain timah dan tali nilon. Buaya itu berukuran 5.46 meter (18.5 kaki) panjang dengan lilitan perut 2.12 meter (6.9 kaki). Berita kematian Bujang Senang itu mengejutkan rakyat Malaysia selepas ia disiarkan akhbar-akhbar arus perdana. Malangnya bangkai buaya itu dibuang ke sungai begitu sahaja. SESETENGAH masyarakat di pedalaman Sarawak percaya Bujang Senang masih hidup malah bersaiz lebih besar sekarang. Hanya beberapa hari kemudian kepalanya dikerat dan dibawa pulang oleh seorang lelaki, Johnson Jong untuk tatapan umum di ladang buayanya di Siburan, Sarawak. Johnson, 65, percaya buaya itu adalah Bujang Senang seperti yang didakwa penduduk. "Itulah kali pertama saya berjumpa dengan buaya yang mempunyai jalur putih di belakangnya," imbau Johnson yang membuka Ladang Buaya Jong sejak tahun 1963 lagi. Katanya kepada Jurnal, selepas kejadian 1992 itu, tiada lagi serangan oleh buaya berjalur putih berlaku di sekitar Batang Lupar. Sementara itu, Kurator Sejarah Zoologi dan Semula Jadi Muzium Sarawak, Dr. Charles Leh berkata, sungai-sungai di Sarawak sememangnya terdapat banyak sarang buaya. "Mengikut sejarah, buaya sudah wujud sejak lebih 160 juta tahun lalu. Jadi kewujudan banyak buaya besar di Sarawak adalah perkara biasa. "Jalur putih di belakang buaya yang didakwa Bujang Senang itu berkemungkinan seekor buaya separa albino," ujarnya. Apa pun, ada orang yang mempertikaikan kesahihan Bujang Senang sudah mati. Malah terdapat masyarakat Iban di sepanjang Batang Lupar percaya Bujang Senang masih hidup malah bersaiz lebih besar. Oleh kerana itulah jika pukat mereka terjerat anak buaya, mereka akan melepaskannya sambil memohon maaf. Ini semua bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku pada mereka dan keturunan mereka. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan