Isnin, 4 April 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Kembara gastronomi Muar

Posted:

Kembara gastronomi Muar

Kembara gastronomi Muar

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my



TIDAK perlu ambil masa yang terlalu lama untuk mencintai atmosfera bandar Muar. Ekspresi penduduknya yang berbilang kaum dan keturunan melayan tetamu luar yang datang bertandang sungguh memukau.

Dengan rasa senang hati, individu yang anda hampiri akan memberi panduan destinasi yang wajib dikunjungi oleh seorang pengembara.

Melewati Jambatan Sultan Ismail menuju ke bandar Muar bersama jurufoto, Amin Farij Hasan, kami seolah-olah kembali ke zaman kolonial. Semua itu dapat dilihat daripada bangunan-bangunan klasik yang mendominasi bandar Muar.

Untuk mengisahkan tentang kehebatan Muar atau nama kunonya, Bentayan adalah sangat panjang. Namun, sesuatu yang sangat sinonim dengan daerah yang pernah menjadi sebahagian daripada empayar Majapahit itu ialah cerita tentang variasi makanannya.

Cerita daripada mulut ke mulut yang mengatakan hidangan sarapan pagi orang Muar berbeza daripada tempat lain bukan satu dongengan.

Sebagai contoh, sekiranya sate dan mi bandung di Kuala Lumpur atau di Melaka, dimakan pada waktu malam, keadaannya berbeza di Muar.

Pagi di Muar, kita akan disajikan dengan pemandangan lelaki separuh umur membakar sate di kaki lima kedai masing-masing. Senario itu boleh dilihat di warung atau kedai-kedai di Jalan Abdullah, Jalan Maharani hingga ke Jalan Petrie di Tanjung Emas.

Antara kedai yang boleh disinggah ialah kedai yang terletak berhampiran Hotel Paris di Jalan Abdullah atau di Terminal Satay Muar berdekatan dengan stesen bas Bentayan.

Bagaimanapun, kami memilih untuk bersarapan pagi di restoran Selera Bandung Muar di Jalan Abdullah seperti yang dicadangkan oleh wartawan Utusan, Kamil Maslih.


MUAR merupakan sebuah bandar yang masih mengekalkan ciri-ciri klasik terutama pada seni bina bangunannya.


Pemilik kedai itu, Abu Bakar Hanipah, 60, menyapa kami dengan penuh mesra. Dia bercerita tentang kelazatan mi bandung dan satenya yang telah menggamit ramai pengunjung termasuk dari Jepun, Arab Saudi dan Hong Kong.

Apakah rahsianya? "Saya mewarisi resipi mi bandung nenek moyang yang berasal dari India dan berhijrah ke Muar pada tahun 1930-an.

"Sate ayam dan daging pula tidak dihasilkan dengan sambil lewa. Sebaliknya menggunakan ramuan yang diwarisi daripada satu generasi ke generasi," katanya yang menyediakan di antara 800 hingga 1,000 cucuk sehari.

Mi bandung air tangan Abu Bakar yang padat dengan daging cincang, udang segar, sotong, telur dan sayur, ternyata membuka selera.

Jika anda tidak mampu menghadam makanan berat pada waktu pagi, apa kata anda bersarapan di dua buah warung yang terletak di Jalan Hashim.

Barangkali pengunjung akan rambang mata melihat lebih daripada 25 jenis kuih tradisional seperti kuih bakar dan koci, dibariskan di atas sebuah meja panjang. Sekeping kuih yang cuma berharga 30 sen dan sebungkus nasi lemak berharga 70 sen membuatkan anda tidak lokek membelanja rakan anda.

Jika ingin beralih ke lokasi sarapan yang lebih eksklusif, singgah minum kopi 434 di Jalan Maharani. Jangan lupa menikmati roti bakar dan telur separuh masak yang mengenyangkan.

Asam pedas

Dari Muar kami ke Parit Jawa yang mengambil masa 20 minit untuk mencuba asam pedas. Jika terlewat, anda mungkin terlepas menikmati asam pedas istimewa di gerai Asam Pedas Pak Yahya jika anda bercadang ke sana lewat tengah hari.

Memang benar, sekitar pukul 1.30 tengah hari, Yahya Sapar, 62, sudah berkemas mahu pulang.

Kunjungan pada hari seterusnya tidak mengecewakan. Yahya yang mengusahakan perniagaan itu sejak tahun 1989 berkata, antara faktor utama asam pedasnya laris kerana harga dan pakej makanan yang ditawarkan.


SATU kemestian. Kunjungan ke bandar Muar tidak akan lengkap sekiranya tidak menjamah mi bandung dan sate ketika bersarapan.


"Pukul 11 pagi, orang Muar dah makan tengah hari. Menu kami pula ialah asam pedas mengikut pilihan ikan seperti siakap, sembilang, ikan pari atau kembung, sayur kubis, sambal belacan dan telur masin.

"Biasanya hidangan untuk lima orang, saya hanya akan caj kurang daripada RM20 saja," kata Yahya yang hanya memasak ikan segar yang dibeli dari jeti Parit Jawa yang terletak berhampiran dengan kedainya.

Sebenarnya, bukan kedai Yahya saja menjadi tumpuan di Medan Asam Pedas Parit Jawa. Kedai Asam Pedas Mak Pon, Kedai Asam Pedas Kampung Nelayan dan Kedai Asam Pedas Parit Jawa tidak kurang hebatnya. Namun, jika anda enggan berjalan jauh, sila berkunjung ke warung asam pedas di Jalan Joned.

Selain sarapan pagi, menu makan tengah hari di Muar juga unik. Restoran Herba dan Rempah Ratus Nasuha yang terletak di Pagoh misalnya, menyediakan nasi beriani yang mengandungi ramuan tujuh herba.

Apam jepun

Di satu sudut terpencil di Jalan Abdullah, terdapat sebuah kereta tolak di Jalan Sisi milik Yusuf Daud, 45. Lelaki itu menjual sejenis kuih yang dinamakan apam jepun yang sesuai untuk hidangan minum petang.

Apam jepun yang diusahakan sejak tahun 1940 itu umpama apam balik dan dorayaki. Namun, ia berbentuk bulat dan intinya adalah campuran kacang tanah dan kacang merah.

Pada tahun 1960-an, harga sekeping apam jepun berharga 5 sen, namun hari ini, harganya mencecah 25 sen sekeping.

Cerita daripada mulut ke mulut tentang keenakan murtabak singapore turut mengheret kami ke restoran itu yang terletak di Jalan Kesang, Tanjung Agas.

Istimewanya tentang martabak itu ialah saiznya yang besar dan diadun bersama telur dan daging cincang.

Jika anda tidak kuat makan, memadailah memesan martabak berharga RM6. Kedai itu dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam.

Tidak lengkap hidangan makan malam anda jika tidak mencuba tauhu goreng Bentayan, kata salah seorang penduduk bandar ini kepada kami.

"Makanan ini hanya terdapat di Muar saja, saya wariskan daripada ibu mertua saya sejak 15 tahun lalu," kata pengusahanya, Adibah Shamsuri, 45.


SEPINGGAN tauhu goreng Bentayan cuma berharga RM2 saja.


Meskipun tauhu goreng itu dihidangkan bersama timun, taugeh dan dicicah dengan kicap cili padi, rasanya cukup enak. Kepedasannya mampu menitiskan air mata anda.

Air tangan Adibah pada rojak petisnya juga tidak kurang hebat. Berbeza daripada rojak biasa, rojak Muar dimakan bersama tempe.

Pada malam berikutnya, penulis ke Medan Ikan Bakar Sabok Awor. Barangkali, anda akan terkejut dengan harga makanan di Restoran Ikan Bakar Wak Jos.

Hidangan yang kami pilih termasuklah ikan siakap kukus, sotong goreng tepung, kupang berlada, udang sambal, ikan kembong goreng dan dua minuman jus hanya berharga RM40.

Justeru, tidak hairanlah, restoran milik Josri Alwee atau Wak Jos, 52, sentiasa sesak dengan pelanggan.

Minum cendol pada waktu tengah malam? Perkara itu tidak mustahil di Muar. Anda boleh mencuba cendol pulut atau kacang yang diusahakan oleh Abdul Nasir Meerasah, 54, di Uptown Muar, Jalan Sisi.

Di Uptown yang dibuka pada hari Sabtu dan Ahad di Jalan Sisi, anda berpeluang mencuba menu lain seperti tauhu bakar dan otak-otak Muar.

Selama empat hari berada di bandar Muar, terasa berat badan kami bertambah. Muar yang kaya dengan kepelbagaian makanan dan opera kehidupannya yang muhibah serta harmoni, ternyata memanggil penulis untuk ke sana sekali lagi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan