Sabtu, 2 April 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Import telur burung Indonesia

Posted:

Import telur burung Indonesia

Import telur burung Indonesia

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com



DARI jauh, bangunan seperti kotak setinggi tiga tingkat itu begitu menarik perhatian sementelah ia dicat warna putih dan tersergam di kawasan lapang di Kulim, Kedah. Sesekali terdengar suara kicauan burung memecah kesunyian di sekitarnya.

Sebaik sahaja memasuki bangunan seluas 1,200 meter persegi itu, mata tertancap pada banyak pasangan burung walit berwarna hitam pekat yang sedang mengerjakan sesuatu.

Pasangan burung itu duduk rapat-rapat sehingga bahu berlaga bahu manakala dada mereka tersandar pada tiang kayu.

Kepala mereka yang kecil pula digerakkan ke kiri dan ke kanan seperti orang sedang bertahlil.

"Burung walit jantan dan betina itu sepakat membuat sarang sebagai persediaan untuk bertelur dan menetaskan anak.

"Bahu mereka tersandar pada kayu kerana burung walit tidak memiliki kaki yang kuat untuk menampung berat badan mereka.

Air liur

"Burung ini membuat sarang dengan mengeluarkan air liur sambil mengerakkan kepala ke kiri dan ke kanan sehingga membentuk sarang yang seakan-akan sampan," cerita Pengarah Urusan Syarikat Kumpulan Aeroswift, Hazellina Ismail, 43.

Difahamkan, pasangan burung walit akan mengambil masa selama 40 hingga 42 hari untuk menyiapkan sarang mereka.

Aeroswift menurut Hazellina merupakan sebuah syarikat bumiputera yang terlibat dalam penternakan dan pengeluaran produk burung walit secara intensif di negara ini sejak tahun 2005.


SARANG burung walit dipercayai memiliki banyak kebaikan untuk kesihatan manusia.


Wanita itu juga memberitahu, fasiliti yang perlu diadakan untuk teknologi terbaru pembiakan burung walit termasuklah penggunaan sistem inkubator untuk penetasan telur, penyediaan makanan iaitu serangga kepada burung walit dan sistem bersangkar.

Ditanya kenapa beliau memilih bidang tersebut sementelah ia sering dimonopoli kaum lelaki, graduan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, beliau sememangnya wanita yang sukakan cabaran.

"Saya suka mencuba sesuatu yang baru terutama pekerjaan yang tidak ramai wanita terlibat. Lebih-lebih lagi bidang ini sering dimonopoli oleh kaum Cina.

"Disebabkan itu, saya ingin membuktikan kaum bumiputera juga mampu berjaya dalam bidang ini," katanya yang berpengalaman selama 19 tahun dalam bidang burung walit.

Hazellina juga terlibat dalam bidang ini atas faktor suaminya, Khairil Sani Wong Abdullah.

"Keluarga suami memang mengusahakan perniagaan sarang burung walit sejak tiga generasi yang lalu.

"Selepas berkahwin, secara tidak langsung saya turut terlibat apatah lagi pulangannya lumayan.

"Ia merupakan perniagaan yang istimewa," katanya yang telah berkahwin selama 19 tahun dengan Khairil yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aeroswift.

Menurut Hazellina, sebelum ini perniagaan burung walit milik keluarga suaminya hanya dibuat secara kecil-kecilan.

Lama-kelamaan, perniagaan tersebut semakin maju sehinggakan hasil sarang burung itu dieksport ke negara seperti China.

Pada tahun 2005, Hazellina dan Khairil merancang untuk menubuhkan Aeroswift iaitu syarikat yang memfokuskan hasil jualan sarang burung walit.

Anak walit

Walaupun enggan mendedahkan kos sebenar projek sarang burung tersebut, Hazellina memberitahu projek burung walit itu mempunyai fasiliti yang serba lengkap.


LEBIH 1,000 biji telur sedang menunggu giliran untuk ditetaskan.


Menyentuh keistimewaan burung walit, Hazellina memberitahu, air liur burung tersebut sangat istimewa kerana ia akan mengeras sebaik sahaja terdedah kepada udara.

"Malah, sarang yang terhasil melalui air liurnya mampu memberi pelbagai khasiat kepada manusia," katanya.

Dalam setahun, seekor burung walit betina boleh bertelur sebanyak tiga kali dengan menghasilkan dua atau tiga biji telur pada setiap kali bertelur.

"Anak burung walit yang baru menetas masih buta pada 20 hari pertama namun mereka sudah boleh makan serangga pada umur tujuh hingga sembilan hari.

"Anak burung walit hanya berukuran lebih kurang dua sentimeter dan mempunyai kulit yang begitu nipis.

"Sehinggakan kalau kita lihat mereka makan, gumpalan serangga tersebut akan kelihatan di kerongkong anak burung walit tersebut," cerita Hazellina.

Hazellina berkata, pada hari kesepuluh tompok-tompok kehitaman mula tumbuh pada kulit anak walit.

"Penjagaan anak walit sama seperti menjaga seorang bayi. Pekerja rumah burung Aeroswift di Kulim misalnya perlu mensteril terlebih dahulu makanan anak burung selain menggunakan sarung tangan semasa member makan," kata Hazellina sambil memberitahu, sehingga hujung minggu ini terdapat lebih 300 ekor anak burung walit di Aeroswift dan lebih kurang 1,000 biji telur walit sedang dalam proses pengeraman.

Ujarnya, proses pengeraman itu adalah satu proses yang berterusan dan beliau menyasarkan sebanyak 3,000 ekor burung walit akan berada di Aeroswift.

Mempunyai sarang berwarna kuning keemasan, Hazellina berkata, sarang burung daripada keluarga Aerodramus itu dipercayai mempunyai khasiat kesihatan yang tinggi.

Mengupas lebih lanjut, Hazellina berkata, burung yang berukuran 15 sm itu bersifat pembersih dan tidak akan membuang najis di dalam sarang.

Sarang

Sarang burung dikatakan lebih banyak khasiatnya jika burung tersebut sihat dan memakan serangga yang tidak tercemar. Sarang burung walit mengandungi enzim yang tinggi dan boleh meningkatkan daya tahan terhadap penyakit.


PUSAT pemeliharaan burung walit di Kulim Kedah ini menjadi peneraju konsep penternakan burung walit secara intensif di Malaysia.


"Sarang burung ini juga sangat kaya dengan asid sialik yang banyak membantu perkembangan neurologi dan daya intelek bayi.

"Zat kolagennya juga dapat melancarkan pembuluh darah, meningkatkan selera makan serta memperbaiki saluran pencernaan.

"Selain itu, pengambilan sarang burung walit oleh wanita hamil mampu mengurangkan rasa sakit ketika bersalin, memperkuat paru-paru bayi yang dikandung serta mempercepatkan proses penyembuhan selepas bersalin," ujarnya.

Sebelum ini, sarang burung walit sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Cina.

Sarang burung itu mula ditemui di Gua Niah, Sarawak pada tahun 1878 sebelum diusahakan secara besar-besaran dengan memberi keuntungan yang tinggi.

Tidak keterlaluan jika digelarkan sebagai ratu burung walit, Hazellina memberitahu, habitat sarang burung walit hanya terdapat di Asia Tenggara. Ia paling banyak ditemui di Indonesia iaitu sebanyak 60 peratus, diikuti Thailand (20 peratus) dan Malaysia hanya tujuh peratus sahaja.

"Indonesia terlebih dahulu telah memasuki industri ini sejak sekian lama dan memang kami mempunyai jaringan di sana untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman.

"Memang pihak pengurusan pernah menghantar wakil kami ke sana untuk meninjau perkembangan industri ini di sana," kata Hazellina lagi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tengok keris seperti perempuan

Posted:

Tengok keris seperti perempuan

Tengok keris seperti perempuan

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
afzan.kasiman@kosmo.com.my


KOLEKSI senjata besi milik Nazari dijaga dengan baik.


KEGHAIRAHAN Mohd. Nazari Md. Said, 53, terhadap senjata besi mungkin boleh dianggap pelik.

"Saya boleh tak tidur malam bila tengok besi yang ditempa cantik, terutamanya apabila ia dijadikan senjata.

"Sekali tengok, boleh termimpi-mimpi, mengalahkan tengok perempuan dibuatnya," jelas peminat nombor satu senjata besi ini.

Bermula dengan minat yang mendalam, Nazari nekad untuk mendalami ilmu besi.

Malah, sehingga kini, selepas lebih 20 tahun mendampingi besi, dia telah mempunyai ratusan murid yang berguru silat kebatinan iaitu silat yang boleh menguasai 'zat' daripada logam keras itu.

"Saya mempelajari ilmu besi ini daripada seorang guru silat di Kampung Sura Hujung, Dungun, Terengganu yang dipanggil Pok Su Wei.

"Beliau boleh menaikkan keris yang diletakkan di celah rusuknya. Saya lihat sendiri keris tersebut bergerak turun naik di celah rusuknya," ujarnya sambil menunjukkan kepada Jurnal kebolehan serupa.

Besi tujuh par

Jelas Nazari, Pok Su Wei pernah memberitahunya, kalau hendak diuji sebilah keris, cara yang boleh dilakukan ialah dengan menyuruh keris tersebut turun dan naik tetapi andai kata terjadi pergaduhan, senjata tersebut boleh terbang melayang menikam musuh.

"Katanya lagi, sekiranya ada orang yang menyerang kita dengan senjata besi, senjata tersebut akan tersasar satu inci dari kulit tubuh badan kita," katanya.

Tidak hanya minat dan membeli besi yang berkenaan, Nazari juga pernah mengharungi perjalanan panjang hanya untuk mendapatkan besi tujuh par.

"Pada tahun 1986, saya mengupah seorang tukang besi di Kampung Chendering, Kuala Terengganu untuk membuat senjata adunan besi tujuh par daripada tujuh jenis besi yang diambil dari tujuh buah negeri dan disepuh dengan tujuh air sungai dan ditempa oleh tukang besi itu pada tiap-tiap tujuh kali hari Selasa.

"Semasa tukang besi menempa senjata besi tersebut saya lihat dia memegang besi panas berwarna merah seperti memegang pisang goreng yang diangkat dari kuali," cerita bapa kepada dua anak ini.

Hasil daripada adunan besi tujuh par yang ditempah itu, sebanyak 20 bilah kerambit berjaya dihasilkan namun kini hanya tinggal satu yang ada dalam simpanannya.

"Saya ambil masa dua tahun untuk kumpul besi dan ambil air sungai dari tujuh negeri," katanya yang pernah mengalami bisa akibat terkena senjata yang ditempa daripada besi tujuh par tadi.

Sebagai pengumpul senjata besi, Nazari nyaris ditipu oleh seorang dukun yang mendakwa boleh menegakkan sebilah keris yang dikatakan bernilai RM1.5juta.

"Tetapi sebenarnya dia cakap kosong. Daripada nilai jutaan ringgit, dia akhirnya tawarkan kepada saya RM2,000 saja, tetapi saya tidak berminat," katanya.

Nazari yang tidak lokek pengalaman turut menitipkan beberapa petua memilih senjata yang hendak dibeli.

"Bukan sebarang ukuran boleh digunakan kerana ada jenis ukuran yang sesuai dengan diri kita, ada juga yang tidak.

Daun kelapa

"Bagi saya, biasanya senjata diukur dengan menggunakan daun kelapa atau ibu jari," katanya

Selain itu, jelas Nazari, ada juga ukuran mengikut ukuran orang Hulu yang sebutannya seperti bunyi syair iaitu 'besi betat besi miang anak endong keciciran petang-petang baginda datang emas sekupang jatuh ke riba'.

Selain senjata yang ditempah dengan tukang besi, Nazari juga pernah berjumpa dengan orang yang memperoleh senjata daripada alam ghaib.


DENGAN bacaan beberapa kalimah al-Quran, Nazari boleh mengarahkan keris untuk turun dan naik dari tulang rusuknya.


"Senjata seperti itu biasanya mempunyai beberapa kelebihan. Pernah juga saya melihat sendiri senjata begitu.

"Menurut tuan empunya senjata itu, ada ketika senjata berkenaan hanya tinggal sarung dan hulu.

"Mata besinya didakwa telah kembali ke tempat asal. Dakwa pemiliknya lagi, ia akan kembali semula ke sarungnya beberapa ketika selepas itu," katanya.

Menurut pendapat sesetengah pihak yang memiliki senjata Melayu seperti keris, banyak kelebihan yang diperoleh oleh pemakai dan pemiliknya. Contohnya, seseorang itu boleh kebal dan ghaib.

Bagi Nazari, itu dakwaan sesetengah pemilik atau kepercayaan penyimpan keris.

"Sebagai orang Islam, kita tidak boleh bergantung kepada barang seperti itu dan menganggapnya seperti tangkal yang memiliki kuasa, dikhuatiri boleh menyebabkan syirik.

"Suatu ketika dahulu, saya pernah memiliki keris yang bercampur dengan besi kuning pemberian seorang guru.

"Senjata tersebut mempunyai beberapa kelebihan. Selalunya kalau saya hendak keluar berburu, saya akan membawanya. Saya juga telah menguji senjata yang mempunyai besi kuning tersebut.

"Antara pengalaman yang boleh dikongsi bersama, saya pernah mengikat senjata besi kuning tersebut di kaki ayam dan menembaknya dengan senapang. Ayam tersebut tidak mati," ceritanya.

Ditebak persoalan bagaimana sesuatu keris itu berkuasa, Nazari menjelaskan, ada keris yang mempunyai khadam atau dipanggil penjaga.

Katanya, cara penjagaan keris itu bersyarat dan orang dahulu menyebutnya 'keris dijaga'.

Pemiliknya perlu mengikut syarat yang telah ditetapkan seperti diperasap dan dilangirkan dengan limau dan dibaca dengan sesuatu ayat ataupun cara 'bangkitan' mahupun 'seruan' terhadap keris yang dipuja.

"Perbuatan itu yang mendatangkan 'kuasa'. Namun, perbuatan itu perlu dikaji kerana ritual tersebut boleh memesongkan akidah.

"Penjagaan keris bergantung kepada niat tuan empunya keris tersebut, sama ada sebagai koleksi ataupun mahukan kehebatan daripadanya seperti keris Taming Sari dalam cerita Hang Tuah," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Terbuai dibelai pengkid

Posted:

Terbuai dibelai pengkid

Terbuai dibelai pengkid

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my



GADIS manis itu lagaknya seperti insan biasa, tiada yang istimewa atau aneh pada dirinya.

Namun, Anis, 27, pernah melalui gelora pahit dalam hidupnya setelah dikecewakan insan bernama lelaki.

Tidak terlepas daripada menjalinkan hubungan normal seperti kebanyakan pasangan lain sejak usia belasan tahun, Anis bagaimanapun mencalit garisan hitam dalam lembaran hayatnya setelah bertemu Asrul, 28, tatkala menuntut di sebuah kolej di ibu kota.

Cinta membuatkan hatinya buta. Dia hanya menurut kemahuan nafsu yang merajai diri sehingga sanggup menyerahkan segala yang dimiliki termasuk maruah dan wang ringgit.

Kata-kata manis Asrul selama ini rupa-rupanya cuma ingin mengambil kesempatan ke atas Anis yang mulus dan ada rupa.

"Asrul memang mengubah radius kehidupan saya sepenuhnya sehingga saya sanggup menyerahkan segala-galanya kepadanya," ujar Anis kepada Jurnal.

Mengimbas kenangan bersama Asrul, Anis mengandaikan cinta mereka adalah yang teragung dan sukar dicari. Anis tidak sanggup berpisah dengan Asrul walaupun sekejap.

"Ke mana saja pergi kami mesti bersama sedangkan kami belajar di fakulti yang berlainan.

"Namun, Asrul masih sempat mencari perempuan selain saya," bicaranya dalam nada sebak.

Malah, Asrul sendiri mengaku kepada Anis yang dia memang ada perempuan lain sehingga membawa ke ranjang.

Bagai halilintar membelah bumi, pada masa itu juga Anis menamatkan hubungan cinta mereka.

Songsang

"Saya bukan jenis wanita yang sanggup berkongsi kasih dengan orang lain apatah lagi jika sudah melibatkan hubungan intim.

"Kepercayaan kepada lelaki luntur sama sekali. Biarlah golongan lelaki sekadar menjadi kawan, bukan insan yang perlu saya curahkan kasih sayang," tambah Anis yang sentiasa dikelilingi lelaki termasuk lima abangnya yang telah berumah tangga.

Tanpa diduga, tatkala Anis memerlukan sokongan, Erry muncul mengutip serpihan hatinya yang retak lalu memupuk dan membelainya dengan sepenuh perasaan cinta.

Erry bukan insan biasa bagi Anis. Walaupun lagaknya seakan-akan lelaki selain pemakaiannya bak lelaki sejati, hanya Erry yang memahami jiwa Anis.

"Selepas bersama Asrul selama dua tahun akhirnya kami putus begitu sahaja.

"Pada masa yang sama, Erry muncul memberikan cintanya walaupun kami sesama jantina," getus Anis yang semakin menemui sinar hidupnya.

Bercahaya. Itu tafsiran yang diberikan kepada kehadiran Erry yang bukan bersifat mengambil kesempatan ke atas dirinya.

Selain cinta dan kasih sayang, Erry sanggup berkorban demi melihat Anis bahagia dan sentiasa ceria.

"Erry menjual motosikal kesayangannya demi membayar ansuran bulanan kereta baru saya.

"Katanya, dia tidak sanggup melihat saya meredah panas terik matahari menaiki motosikal untuk ke kolej.

"Dia juga sering menemani dan menunggu saya di luar dewan kuliah," katanya yang kini menetap di sebuah negeri di utara Semenanjung.

Percaya pada prinsip hanya wanita tahu apa yang wanita lain inginkan menjadikan Anis terus hanyut bersama Erry dalam bahtera yang mereka cipta sendiri.

"Mungkin satu hari nanti cinta saya akan beralih arah apabila bertemu lelaki yang dapat menerima diri saya seadanya," singkapnya bersulam nada kekesalan.


RAMAI gadis beralih arah kepada cinta wanita pengkid kerana golongan itu dikatakan lebih romantis dan mengambil berat. - Gambar hiasan


Kisah Ain, 25 pula berbeza plot penceritaannya. Akibat tidak tahan menanggung rindu terlalu lama berpisah dengan tunangnya, Dani, yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, cinta Ain pula berubah.

"Siapa yang tidak perlukan cinta di dunia ini. Saya akui saya mahukan cinta dan perlindungan daripada seseorang yang diyakini dan selesa," bicaranya.

Selain tidak percaya pada kejujuran cinta yang berada jauh beribu kilometer, ujar Ain yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, dia sentiasa memerlukan kehangatan kasih sayang.

Jauh

"Saya putuskan hubungan dengan Dani sebab berasa terlalu lama menunggu.

"Saya serik malah yakin dia semakin melupakan saya kerana kami kian jarang berhubung selepas hampir dua tahun dia tinggal di luar negara," jelasnya.

Setelah hubungannya bersama lelaki berkecai sebelum sempat ke jenjang pelamin, Ain disunting pula oleh seorang pengkid selepas mereka berkenalan dalam sebuah laman sosial.

Nat atau Natalie, 24, yang beragama Kristian sekali pandang saling tak tumpah seperti seorang lelaki, bahkan bulu roma halus pada wajahnya sudah cukup menggetarkan sanubari Ain.

Berkalung kata-kata dan pujukan manis Nat, Ain akhirnya memutuskan untuk memilih jalan hidup yang berbeza.

"Saya bahagia bersama Nat. Dia sentiasa bersama saya dan menghargai diri saya lebih daripada Dani yang hanya gemar menabur janji kosong," luahnya yang selesa dengan kehidupan barunya bersama Nat.

Tatkala ditebak tentang penerimaan keluarga terhadap cinta barunya, Ain menyerahkan pada takdir dan waktu yang mungkin bakal membisikkan bayu keinsafan pada dirinya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan