Kosmo Online - Rencana Utama |
Refleksi kejayaan automotif Thailand Posted: Refleksi kejayaan automotif ThailandOleh AHMAD SYUKRAN, ZAINUDDIN PAMERAN pemotoran boleh memberi pelbagai refleksi. Bukan sekadar menjadi indikator kepada betapa meriahnya industri pemotoran sesebuah negara. Malah, ia boleh bertindak sebagai petunjuk kepada hala tuju industri, sama ada di peringkat serantau mahupun global. Tidak keterlaluan juga andai dikatakan pameran sebegini menjadi petanda mengenai iklim ekonomi dunia pada ketika itu. Bagi pemain industri, acara ini merupakan pentas untuk menunjukkan apa yang telah mereka usahakan selama bertahun-tahun di dalam makmal R&D masing-masing. Di rantau Asia Tenggara, Thailand dan Indonesia boleh dikatakan sebagai pempamer yang bagus. Antara sebabnya, dalam banyak-banyak kereta yang dipamerkan (terutama di Thailand) pasti ada model yang akan tiba ke bilik-bilik pameran di Malaysia. Justeru, pameran pemotoran di Bangkok atau Bangkok International Motor Show (BIMS) dilihat cukup signifikan. Ia sentiasa dipilih sebagai lokasi utama oleh jenama-jenama besar untuk melakukan debut model penting mereka untuk pasaran Asia. Justeru, tidak hairanlah jika kapasiti dari aspek penyertaan pempamer dan jumlah kedatangan pengunjungnya bertambah pada setiap tahun. Memasuki edisi ke-32, BIMS pernah mencatat kedatangan pengunjung lebih dua juta orang! Pengerusi jawatankuasa penganjuran BIMS, Dr. Prachin Eamlumnow mengakui bahawa acara ini merupakan kuasa utama di belakang industri automotif Thailand. "Jualan kenderaan di Thailand pada tahun ini dijangka mencecah 850,000 unit. Sementara jualan motosikal boleh mencapai 1.8 juta unit. Dengan pengenalan banyak model baru sepanjang BIMS, kami yakin dapat menarik minat lebih ramai pengunjung, sekali gus meningkatkan jumlah pembelian kereta sewaktu BIMS berlangsung berbanding tahun lalu," kata Eamlumnow. Sebagaimana yang kita tahu, Thailand tidak memerlukan kereta jenama sendiri. Cukup dengan polisi industri yang bijak, konsisten dan mesra pelabur. Ditambah dengan kos buruh rendah dan infrastruktur yang bagus. Ia pantas menarik perhatian pengeluar yang ingin membina hab jenama mereka untuk pasaran Asia. PRESIDEN Ford ASEAN, Peter Fleet (kanan) dan Presiden Ford untuk Asia Pasifik dan Afrika, Joe Hinrichs bangga memperkenalkan model terbaru Ranger. Dalam tempoh yang singkat, Thailand sudah boleh berbangga dengan statusnya sebagai Detroit Asia. Sebut apa sahaja jenama yang anda tahu, besar kemungkinan kilangnya ada kawasan perindustrian di Rayong. Ia juga harus dilihat sebagai contoh hab pengeluaran kenderaan yang berjaya. Buktinya, pada tahun lalu sahaja Thailand menghasilkan kira-kira 1.6 juta kenderaan dan 50 peratus daripadanya dieksport ke lebih 200 buah negara di seluruh dunia. Sedangkan Malaysia, cuma menghasilkan sekitar 650,000 unit kenderaan pada tempoh sama dengan kadar ekportnya hanya satu peratus. Di mana silap dan kelemahannya? Adakah Dasar Automotif Negara (DAN) yang digubal itu sudah cukup bagus? Adakah Malaysia menawarkan polisi yang menarik untuk pengeluar kenderaan melabur di sini? Operasi besar Honda, Toyota, Mitsubishi dan Nissan mempunyai operasi yang besar di Thailand. Jenama-jenama itu nyata tertarik untuk turut serta dalam pasaran yang melibatkan lebih 600 juta penduduk di Asia Tenggara. Mereka tidak keberatan untuk melabur. Pada tahun 2010, pengeluar kenderaan melabur sebanyak 32.5 bilion baht (RM3.25 bilion). Biarpun Thailand berdepan dengan kekacauan politik, pengeluaran kenderaannya tidak terjejas. Lembaga Pelaburan Thailand (BOI) yakin Thailand kekal menjadi magnet buat firma-firma pemotoran luar negara. "Aliran FDI (pelaburan langsung asing) dijangka mencecah 400 bilion baht (RM40 bilion) pada tahun ini. Automotif dan alat ganti menjadi sektor penting dengan diterajui oleh syarikat-syarikat utama dari Jepun," kata Setiausaha Agung BOI, Atchaka Sibunruang. Naib Pengerusi jawatankuasa penganjuran BIMS, Jaturont Komolmis menyatakan bahawa BIMS adalah kebanggaan Thailand dan rakyatnya. "Saya yakin, acara ini di Muangthong akan menjadi automobile kingdom dengan semua produk berkaitan industri automotif dipamerkan di sini," jelas Komolmis. Baiklah. Apakah model-model penting yang membuat penampilan di BIMS? Ford tampil dengan model trak pikap serba barunya, Ranger. Bakal memulakan produksi pada pertengahan tahun ini di kilang AutoAllience Thailand miliknya di Rayong, Ranger merupakan trak pikap pertama yang bernaung di bawah strategi One Ford. Strategi One Ford ialah program yang merangkumkan semua kepakaran kejuruteraan Ford ke dalam produk yang akan dipasarkan ke peringkat global. PROTON tidak ketinggalan membawa model konsep Lekir yang diangkat daripada model Lotus Europa. "Kami ingin memanfaatkan BIMS sebagai platform debut untuk memperkenalkan Ranger kepada pengguna di Asia. Ia juga membuktikan komitmen Ford terhadap pasaran Thailand dan rantau Asean," jelas Presiden Ford Asean, Peter Fleet. Menembusi lebih 180 buah negara di seluruh dunia, pengeluaran Ranger juga akan dihasilkan di kilang Ford di Afrika Selatan dan Argentina. Ranger sarat dengan pelbagai teknologi terbaik Ford. Antaranya, ciri Bluetooth dengan kawalan suara (voice Control) dan sistem kamera belakang. Ciri maskulin Reka bentuk luarannya yang maskulin itu diserlahkan lagi dengan ciri Hill Descent Control dan Hill Launch Assit demi memastikannya berupaya mengharung apa jua permukaan jalan yang sukar. Ranger dipasang dengan tiga enjin baru yang menjimatkan minyak. Dua enjin diesel (Duratorq TDCi) dan satu enjin petrol (Durateq). Varian ini bagi memastikan ia mampu memenuhi apa jua keperluan yang dimahukan oleh pasaran dimasukinya nanti. Tidak mahu mengalah, GM turut memperkenalkan model pikap berkapasiti satu tan keluarannya. Chevrolet Colorado yang menampilkan ciri-ciri trak Colorado generasi akan datang itu bakal dijual di Thailand menjelang hujung tahun ini. Bersandarkan pengalaman menghasilkan trak selama 100 tahun, model Chevrolet ini kelihatan sangat 'macho' apabila dipasang dengan rim aloi bersaiz 20 inci. Kuasanya dijana daripada unit enjin diesel bersesaran 2.8 liter yang tidak hauskan bahan api. Honda mempersonakan para pengunjung dengan model Eco Car pertamanya, Brio. Brio menjadi model kedua selepas Nissan March yang dibina di bawah projek "Eco Car Thailand." Dijangka menjadi model paling laris pada BIMS, Brio dikuasakan dengan enjin 1.2 liter, empat silinder i-VTEC. Honda mendakwa enjin kompak berkod E20 itu mampu mencapai sejauh 20 kilometer untuk setiap liter petrolnya. Selain model kompak March, Nissan mendekatkan orang ramai dengan model elektrik plug-in kebanggaanya, Leaf. Leaf yang sudah dijual di banyak negara itu baru sahaja dinobatkan sebagai Car of the Year di Eropah. Mitsubishi pula dilihat cuba untuk menguji pasaran menerusi model yang dipanggil Concept Global Small. Ia merupakan eco car konsep yang dijangka dibangunkan di Thailand tidak lama lagi. Sementara itu, model elektrik sepenuhnya daripada rangkaian Concept Global Small turut dirancang dihasilkan menjelang tahun 2013. Penulis cuma berkesempatan meninjau BIMS dalam masa yang agak singkat. Namun, ia tetap satu pengalaman yang memuaskan. Mungkin sudah tiba masanya penganjur acara sama di Malaysia belajar dengan Thailand. Ini barulah betul-betul international! Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan