Ahad, 3 April 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


SPRM tahan 62 pegawai kastam

Posted: 02 Apr 2011 08:07 AM PDT

PUTRAJAYA: Seramai 62 pegawai kastam pelbagai pangkat berusia antara 24 hingga 56 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak operasi besar- besaran bersepadu dikenali Ops 3b di lima pelabuhan seluruh negara, Isnin lalu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, daripada jumlah itu 53 adalah lelaki manakala sembilan lagi wanita.


Beliau berkata, sehingga semalam, 17 masih direman manakala yang lain dibebaskan dengan jaminan. Pegawai kastam dari Pelabuhan Klang, Selangor paling ramai ditahan iaitu 48 orang.

"Hasil siasatan mendapati, ada pegawai mengaku menerima suapan antara RM100 hingga RM500 untuk setiap borang K1 iaitu borang pengisytiharan kastam sejak lima bulan lalu, malah ada yang mengaku pihak tertentu memasukkan RM10,000 setiap bulan ke dalam akaun dan kita mengesan tujuh transaksi dijalankan.


"Malah, kami turut menemui wang yang banyak dalam akaun pegawai, pelaburan amanah saham bernilai RM200,000 termasuk jam tangan emas," katanya pada sidang media di sini, semalam.


Mustafar berkata, kelmarin SPRM turut menahan beberapa lagi pegawai dan menemui tiga beg wang tunai berjumlah RM625,250, selain lima jongkong emas bernilai kira-kira RM50,000 serta dua pistol tiruan dan 241 peluru.

Katanya, di rumah pengarah kastam yang masih ditahan reman, pihaknya menemui wang tunai bernilai RM65,000, mercun dan bunga api serta rokok kretek.


"Kita masih menyiasat harta dimiliki pengarah berkenaan kerana dalam beberapa akaun miliknya mempunyai ribuan malahan jutaan ringgi, ada yang berjumlah sehingga RM2.1 juta manakala satu akaun lagi RM500,000, semua itu masih dalam siasatan," katanya.

Mustafar berkata, hasil operasi itu juga, SPRM mengesan lebih RM10 bilion diseludup dan dihantar ke luar negara secara haram.


Beliau berkata, fokus utama pelaksanaan operasi itu bagi mendapatkan kembali hasil pendapatan kerajaan serta membersihkan amalan rasuah di kalangan pegawai dan kakitangan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).


Ia berikutan ada maklumat menyatakan pegawai kastam di pelabuhan seluruh negara meminta dan menerima rasuah daripada ejen penghantaran untuk mengurangkan duti kastam serta mempercepatkan proses Borang K1.


Operasi dilaksanakan di Pelabuhan Klang, Selangor; Pelabuhan Kuantan, Pahang; Pelabuhan Pulau Pinang; Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang, Johor.


"Usaha kita adalah mendapatkan kembali pendapatan kerajaan yang boleh diberikan semula kepada masyarakat. Kerajaan kehilangan berbilion ringgit disebabkan amalan 'tangan kotor' yang dilakukan pihak tertentu," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Nota akhir Fadil sebelum hilang

Posted: 02 Apr 2011 07:35 AM PDT

TANJUNG MALIM: "Mak, Fadil lari bukan nak susahkan mak tapi Fadil nak cari kehidupan baru, Fadil tak nak sekolah, mak jangan risau, Fadil selamat nanti," itu nota terakhir ditinggalkan Muhammad Fadil Darumin, 15, kepada ibunya, Fauziah Yusof, 48, sebelum menghilangkan diri sejak sembilan hari lalu.

Muhammad Fadil yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Methodist dipercayai melarikan diri dari rumahnya di Kampung Berop, di sini.


Fauziah berkata, kali terakhir dia berbual dengan anaknya pada malam Jumaat (25 Mac) lalu dan menasihatkannya supaya belajar bersungguh-sungguh.

Beliau berkata, dia dan suami, Darumin Mohd Salleh, 46, juga mencadangkan kepada Muhammad Fadil supaya menyambung belajar di sekolah agama selepas menerima aduan anaknya sering ponteng sekolah.


"Saya dan suami menegur sikapnya demi masa depannya, namun kami terkejut selepas mendapati dia tiada di dalam bilik pada pagi esoknya.


"Saya sempat menemui nota berkenaan dan hati saya luluh selepas membacanya kerana tidak menyangka Muhammad Fadil terguris dengan nasihat yang kami berikan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, dia cuba menghubungi saudara mara terdekat namun tetap gagal menemui Muhammad Fadil.


Fauziah berkata, menurut rakan anaknya, Muhammad Fadil sempat menyuruh seorang rakan sekolahnya menghantarnya ke stesen kereta api Tanjung Malim, dipercayai mahu menuju ke Kuala Lumpur.

"Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, saya membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Malim pada 27 Mac lalu selepas usaha menjejakinya menemui jalan buntu.


"Saya merayu kepadanya supaya pulang segera kerana kami sekeluarga bimbang keselamatannya," katanya.


Sementara itu, Darumin berkata, Muhammad Fadil adalah anak bongsu empat beradik dan mempunyai bentuk badan gempal, berkulit cerah dan ketinggian 150 sentimeter.


"Saya berharap Muhammad Fadil pulang segera ke pangkuan kami keluarga. Isteri saya sering sakit sejak seminggu lalu kerana teringatkan Muhammad Fadil," katanya.


Sesiapa yang ada maklumat mengenai remaja lelaki berkenaan boleh menghubungi Darumin di talian 0178473011, 0172294185 atau 0172373753 atau menghubungi balai polis berdekatan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan