Jumaat, 1 April 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bunga RM20 pancing GR0

Posted: 31 Mar 2011 01:15 PM PDT

PETALING JAYA: Hanya dengan membeli kalungan bunga berharga RM20, pelanggan sebuah kelab malam di Sunway Mentari, di sini, layak memilih seorang pelayan pelanggan (GRO) disukai yang akan melayan mereka, malah boleh melakukan seks jika menerima bayaran tambahan.

Wanita terbabit pula beratur dan menunggu giliran untuk beraksi ghairah menari di atas pentas.


Jika ada GRO yang menepati cita rasa pelanggan, mereka perlu pergi kepada wanita terbabit dan menyerahkan kalungan bunga.

Sekiranya wanita itu menerima bunga berkenaan dan bersetuju mengikut pelanggan terbabit, terpulang kepada pelanggan itu sama ada untuk mendapatkan khidmat tambahan termasuk mengadakan hubungan seks dengan syarat memberi bayaran tambahan.


Kelab terbabit juga dipercayai menjadi sarang popular sindiket pelacuran wanita warga asing dari China, Vietnam, Myanmar dan Thailand, malah turut memperdagangkan gadis bawah umur.


Kebanyakan wanita warga asing itu yang masuk ke negara ini menggunakan pasport dan visa lawatan sementara dipercayai turut bekerja sambilan sebagai GRO di kelab karaoke itu. Bagaimanapun, kegiatan itu dihidu pihak berkuasa, apabila Unit Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman melakukan serbuan mengejut ke premis terbabit malam kelmarin.

Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 12.10 tengah malam itu menahan 18 wanita warga asing terdiri daripada lapan rakyat China, Vietnam (lapan) dan masing-masing Myanmar dan Thailand.


Ketua Unit D7 Bukit Aman, Asisten Superintendan, Shahrul Nizam Jaafar, berkata serbuan dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat kelab malam itu mengambil khidmat pekerja warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Menurutnya, seramai 10 anggota D7 Bukit Aman dibantu 10 anggota narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menyerbu kelab terbabit dan hasil pemeriksaan menahan 18 wanita GRO warga asing.


"Kami juga menahan seorang gadis bawah umur dari Vietnam yang akan disiasat mengikut Akta Anti Pemedagangan Orang 2007.


"Kelab malam terbabit turut menjual kalungan bunga berharga RM20 bertujuan untuk memilih GRO yang diingini pelanggan," katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.


Shahrul Nizam berkata, wanita terbabit menerima bayaran mengikut tip dan jika pandai melayan lebih banyak wang akan diterima mereka.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ditipu kekasih siber sengkek

Posted: 31 Mar 2011 01:13 PM PDT

KUALA LUMPUR: Demi cinta dan sayang kepada kekasih hati yang baru dikenali melalui laman sembang, seorang wanita berusia 37 tahun berputih mata selepas kerugian lebih RM30,000 apabila diperdaya lelaki terbabit kononnya mengalami kesempitan wang.

Tanpa menyedari ia helah teman lelakinya yang dipercayai warga Afrika, mangsa mempercayainya lalu memberinya wang.


Menurut sumber, mangsa yang bekerja sebagai pembantu tadbir itu mengenali lelaki terbabit melalui laman sembang tidak sampai sebulan, namun dia terpedaya dengan rayuan dan rintihan lelaki terbabit kononnya kesusahan.

"Mangsa mendakwa ketika bersembang dengan teman lelakinya yang dikenali sebagai Dennis di Internet, lelaki itu menyatakan hasrat untuk meminjam wang.


"Pada mulanya, mangsa pelik dengan permintaan teman lelakinya itu, namun selepas lelaki terbabit menyatakan berada dalam kesusahan, mangsa akur dengan permintaan itu," katanya.


Menurutnya, mangsa tidak mengesyaki sesuatu kerana teman lelakinya masih berhubung dengannya selepas menerima RM1,000 yang dimasukkan ke dalam akaunnya.

"Mangsa kemudian menerima panggilan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Dr Frank kononnya rakan perniagaan teman lelakinya itu dan mengucapkan terima kasih.


"Dalam perbualan itu, lelaki terbabit mendakwa teman lelakinya mahu mengirimkan wang AS$ 2.5 juta (RM7.5 juta) dan beberapa botol kimia untuk mencuci wang," katanya.

Namun, kegembiraan wanita itu bertahan sementara waktu apabila teman lelakinya gagal dihubungi, malah wang yang dijanjikan itu tidak kunjung tiba.


Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis Isnin lalu.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.


Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan