Jumaat, 1 April 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Najib dijangka umum projek baru ETP

Posted: 01 Apr 2011 03:02 PM PDT

Nasional

PM mahu program berterusan dilaksana beri kesan besar kepada kehidupan rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengumumkan projek utama dan menerujakan yang baru, yang bertali arus di dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sambil mengukuhkan pelaksanaan secara berkesan program transformasi ekonomi Malaysia (ETP).

Selepas mengumumkan sebanyak 60 program sehingga ini, Perdana Menteri berkata, beliau mahu pelan itu dilaksanakan dengan memberi tumpuan terhadap projek permulaan, termasuk projek besar dan projek yang memberi kesan besar dan yang tidak semata-mata projek infrastruktur. "Ia meliputi keseluruhan kerja raya, termasuk projek pelaburan besar yang akan mewujudkan nilai tinggi terhadap ekonomi dan pekerjaan," yang menjadi kunci bagi mengingati tempoh semasa kerajaan," katanya dalam satu temubual dengan rangkaian televisyen Bloomberg di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

Pada temubual panjang lebar mengenai pencapaiannya selepas dua tahun menjadi Perdana Menteri dengan wartawan Bloomberg, Robyn Meredith dan Barry Porter mengenai ekonomi, katanya matlamat jelas Malaysia ialah untuk menjadi satu negara maju sepenuhnya menjelang 2020.

Antara lain, temubual itu menyentuh mengenai inflasi, subsidi, impian nuklear Malaysia, kedudukannya sebagai peneraju di dalam kewangan Islam, pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum akan datang, dasar afirmatif Bumiputera, pembabitan Kuala Lumpur di dalam Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik (TPP) dan kesan China serta Yuan.

Ditanya sama ada Malaysia berupaya memenuhi sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Bank Negara Malaysia antara 5.0-6.0 peratus pada tahun ini, katanya: "Saya percaya kita masih berada pada landasan mencapai 6.0 peratus melalui campur tangan positif kerajaan di dalam bentuk projek permulaan dan sistem pengangkutan bandar massa bawah tanah yang besar bagi Greater Kuala Lumpur.
"Ini akan mewujudkan kesan pergandaan dan itulah juga bentuk pelaburan yang akan membantu kami mencapai pertumbuhan 6.0 peratus pada tahun ini," katanya.

Mengenai usaha membiayai projek Transit Aliran Massa (MRT), katanya: "Kami boleh membiayainya secara kreatif agar ia tidak membebankan dari segi perbelanjaan pembangunan.

"Jadi, dari satu segi, ia adalah satu projek berdaya maju kerana pulangannya adalah baik dan akan mewujudkan kesan pergandaan," katanya.

Najib berkata, kerajaan juga kemungkinan menjual bon bagi membiayai projek yang mampu dilaksanakan dengan menggunakan sumber dalam negara.

"Kami mempunyai simpanan yang besar di Malaysia, jadi ini adalah sumber pelaburan atau pinjaman yang kami boleh gunakan bagi membiayainya," katanya.

Perdana Menteri menolak tohmahan bahawa kerajaan akan mengelak langkah untuk menaikkan harga petrol, sambil menyatakan mengenai keperluan dilakukan langkah yang fleksibel ke arah pemberian subsidi.

"Kami tidak mahu peningkatan harga di Malaysia menjadi satu bebanan bagi rakyat," katanya, sambil menambah kerajaan akan terus melakukan pemantauan rapi terhadap inflasi yang meningkat sedikit tetapi masih berada di bawah paras 3.0 peratus.

Mengenai kemungkinan langkah untuk menghentikan sementara pemotongan subsidi dan membuat pemotongan subsidi yang besar pada masa depan kelak, Najib berkata: "Itulah yang sedang kami kaji pada masa ini secara keseluruhannya kerana kami perlu melihat berapa banyak lagi subsidi yang boleh ditanggung oleh kerajaan."

"Pada masa sama, kami komited untuk mengurangkan defisit. Defisit itu tidak boleh dibenarkan meningkat. Ia berada pada paras 5.6 peratus sekarang ini. Kami berharap untuk menurunkannya ke paras 5.4 peratus dan akhirnya ke sekitar 3.0 hingga 4.0 peratus."

"Tetapi, itu adalah matlamat jangka sederhana. Pada masa yang sama, kami perlu mengkaji sesetengah cabaran yang perlu dihadapi antara keperluan domestik dan keperluan memberikan keyakinan dari segi pengurusan makro kami," katanya.

Mengenai sama ada terdapat perubahan dari sasaran defisit awal kerajaan sebanyak 2.8 peratus menjelang 2015, katanya: "Parasnya dijangka kira-kira 3.0 hingga 4.0 peratus bagi tempoh kira-kira lima tahun akan datang." – BERNAMA

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

15,000 tetamu hadiri majlis sambut Perdana Menteri ke Balik Pulau

Posted: 01 Apr 2011 03:00 PM PDT

Nasional

MASYARAKAT Balik Pulau bergotong royong melapah lembu untuk dijadikan lauk sempena lawatan Perdana Menteri   ke Kampung Permatang Pasir, Balik Pulau hari ini.

MASYARAKAT Balik Pulau bergotong royong melapah lembu untuk dijadikan lauk sempena lawatan Perdana Menteri ke Kampung Permatang Pasir, Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU: Sepuluh ekor lembu dan dan 1,000 ayam bakal dihidangkan kepada lebih 15,000 tetamu yang dijangka menghadiri program Perjumpaan Rakyat Bersama Pemimpin Kawasan Parlimen Balik Pulau sempena lawatan kerja Datuk Seri Najib Razak di Kampung Permatang Pasir, di sini hari ini.

Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijadual tiba di kampung berkenaan jam 12 tengah hari sebelum beramah mesra dengan penduduk pada majlis makan tengah hari, bersolat Zuhur berjemaah serta menyampaikan amanat kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Muhamad Farid Saad, berkata hidangan pada jamuan itu akan disediakan secara gotong royong oleh penduduk Kampung Permatang Pasir, Sungai Pinang, Sungai Rusa, Jalan Bharu dan Sungai Burong yang memasak gulai kawah, manakala anggota polis, bomba dan kakitangan Hospital Balik Pulau memasak ayam. Najib mempunyai jadual padat sepanjang sehari di negeri ini, bermula dengan perjumpaan bersama pemandu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira jam 9 pagi sebelum melakukan tinjauan mesra termasuk di Pasar Taman Tun Sardon, Gelugor; Pasar Jelutong; Pasar Padang Tembak dan Flet Kampung Melayu, Air Itam.

Ia diikuti programnya di Kampung Permatang Pasir dan pada jam 3 petang dijadual berjumpa pemimpin Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang di Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas, disusuli Karnival kebudayaan India Pulau Pinang di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), Relau.

Perdana Menteri juga akan mengadakan perjumpaan dengan rakan Facebook beliau menerusi program 'Mari Berjumpa Mari Berhubung' (MBMB) di Hotel Equatorial jam 6 petang. MBMB adalah program terbaru diperkenalkan Perdana Menteri bagi membolehkan beliau bersemuka dan berinteraksi dengan rakan online.

Najib juga akan menghadiri majlis makan malam dan pengumuman pasukan Liga Premier Pulau Pinang 1Malaysia 2011 anjuran Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) di Hotel Equatorial, jam 8.30 malam sebelum berlepas pulang.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan