Jumaat, 1 April 2011

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


RM100j dana inovatif

Posted: 31 Mar 2011 12:05 PM PDT

MukaDepan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM2.7 juta daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri), kepada Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UITM), Datuk Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar (kanan), pada Majlis Perjanjian Usahama Pusat Technopreneur UiTM-MTDC dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) serta pelancaran Business Start Up Fund di Dewan Sri Budiman UiTM, di Shah Alam, semalam. - Foto Sairien Nafis

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM2.7 juta daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri), kepada Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UITM), Datuk Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar (kanan), pada Majlis Perjanjian Usahama Pusat Technopreneur UiTM-MTDC dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) serta pelancaran Business Start Up Fund di Dewan Sri Budiman UiTM, di Shah Alam, semalam. - Foto Sairien Nafis

Pembiayaan lahir usahawan teknologi teroka bidang baru, jana kekayaan: PM

SHAH ALAM: Kerajaan meluluskan peruntukan RM100 juta untuk Dana Permulaan Perniagaan (BSF) sebagai inisiatif terbaru untuk membantu usahawan menghasilkan produk inovatif dan berpotensi di pasaran.

Sasaran BSF ialah syarikat peringkat permulaan yang berasaskan teknologi, termasuk syarikat pemilikan universiti dan memiliki produk berpotensi tinggi ke pasaran. Bagaimanapun, syarikat terbabit mesti dimiliki 70 peratus oleh usahawan atau kumpulan usahawan sepenuh masa rakyat Malaysia. Ketika mengumumkannya semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata pembiayaan BSF bersifat anjal tanpa cagaran dengan tempoh pembayaran balik selama lapan tahun dengan tiga tahun pertama bebas daripada sebarang pembayaran.

"Ini pembiayaan yang amat baik dan bukti keprihatinan kerajaan untuk melahirkan generasi usahawan teknologi yang berpeluang menerokai bidang terbaru. Usaha ini selaras Model Baru Ekonomi (MBE) di mana kejayaan kita mesti berasaskan kemampuan menjana kekayaan.

"Ini kerana jika dapat menjana kekayaan melalui teknologi, kita berpotensi menjadi sebuah negara maju. Sekiranya kita menjana kekayaan tanpa menggunakan teknologi, kita akan tewas dalam medan persaingan global yang semakin hebat," katanya pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama Pusat Technopreneur' Universiti Teknologi Mara (UiTM)-MTDC dan Perasmian BSF di UiTM, di sini semalam.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pro Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub dan Tan Sri Sallehudin Mohamed; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin; Pengerusi MTDC, Datuk Siti Hajar Mohd Ismail; Ketua Eksekutif MTDC, Abdul Halim Yunus; dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar.
Najib turut menyaksikan penyampaian replika cek RM2.7 juta daripada Kementerian Pengajian Tinggi yang disampaikan Mohamed Khaled kepada UiTM melalui Sahol Hamid, sebagai peruntukan bagi program `High End Graduate Enternship' yang diterajui universiti itu.

Sambil menjelaskan kos permulaan ialah salah satu cabaran yang perlu diatasi, Najib berkata, syarikat atau bakal usahawan teknologi yang memiliki idea baik tetapi tidak diterima oleh bank komersial untuk mendapatkan pinjaman perlu dibantu.

"Anak muda kita mungkin tidak ada rekod pencapaian dan mempunyai baki bank yang kecil, tetapi mereka ada daya semangat yang kuat. Mungkin idea mereka boleh mendatangkan pulangan besar suatu hari nanti. Inilah yang memerlukan kepada penilaian bukan seperti yang biasa dibuat bank komersial.

"BSF adalah inisiatif amat baik yang dapat memberi dorongan kuat kepada usahawan baru yang mempunyai idea dan memerlukan pertolongan seperti modal permulaan," katanya.

Sementara itu di Petaling Jaya, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah melawat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Nur Jannah yang menghidap kanser tulang, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atas permintaan Nur Jannah yang berhasrat bertemu Perdana Menteri. Beliau turut memberi kata-kata semangat kepada remaja berkenaan serta menghadiahkan sebuah I-pod kepada remaja itu sebagai penghibur hatinya.

Dalam pada itu, Najib berkata, tahun lalu, UiTM menerima geran penyelidikan RM21 juta daripada kementerian untuk Skim Geran Penyelidikan Fundamental, iaitu yang tertinggi di kalangan universiti tempatan.

Pada tahun sama, UiTM berjaya mendapatkan 21 peratus atau lebih RM35 juta daripada geran penyelidikan Sektor Perindustrian dan Antarabangsa, juga tertinggi di negara ini.

"Saya juga difahamkan UiTM sudah berjaya mendapatkan paten untuk empat produknya dan 129 lagi dalam proses mendapatkan paten," katanya.
Sementara itu, Sahol Hamid berkata, universiti berkenaan akan meningkatkan pengambilan pelajar kepada 200,000 Jun depan, lebih awal daripada sasaran pada 2015.

Beliau berkata, sebagai universiti awam terbesar, menjadi tanggungjawab UiTM melahirkan graduan berwibawa dan memenuhi keperluan negara dalam pelbagai bidang teknologi tinggi.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

ROSLAN BIN MUSTAFA

Salam, saya sangat teruja dengan keprihatinan YAB PM terhadap ushawan baru yang bertungkus-lumus membangunkan syarikat berteknologi berasaskan idea yang inovatif. dana 100J itu disalurkan ke mana? dan bagaimana usahawan seperti saya perlu merujuk untuk mendapatkan panduan permohonan? sekali lagi jutaan terima kasih kepada YAB PM Dato' Seri Najib atas keperihatinan ini.

budiman Bin Abpa

BH sangat baik banyak makluman diperolehi dalam dan luar Negara tq BH.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan