Kosmo Online |
- Kapten Manchester City lawat Malaysia 6 Jun
- Warga Pakistan terlibat 51 kes tipu ditahan
- Warga emas ditemui lemas dalam kolam ikan
Kapten Manchester City lawat Malaysia 6 Jun Posted: Kapten Manchester City lawat Malaysia 6 Jun01/06/2012 8:01pm KUALA LUMPUR — Ketua pasukan Manchester City, Vincent Kompany akan membuat kunjungan pertama ke Malaysia Rabu ini untuk melancarkan jualan tiket perlawanan juara Liga Premier Inggeris itu menentang pasukan pilihan Malaysia. Pemain pertahanan Manchester City itu yang memimpin pasukannya buat pertama kalinya sejak 44 tahun lalu menjuarai liga premier, akan menjadi pemain tumpuan dalam perlawanan berkenaan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 Julai depan. Penganjur perlawanan, ProEvents, dalam satu kenyataannya hari ini berkata Kompany akan melancarkan jualan tiket perlawanan itu di Wisma FAM di Kelana Jaya pada 6 Jun ini. Pemain berasal dari Belgium itu berharap dapat menemui para peminatnya semasa kunjungannya ke Malaysia nanti. "Saya telah mendengar banyak cerita menarik tentang negara ini daripada rakan-rakan sepasukan yang pernah datang ke negara ini. "Mereka sentiasa bercerita tentang sambutan hangat yang diberikan oleh rakyat Malaysia dan saya memandang ke hadapan untuk berjumpa dengan para peminat semasa berada di sini nanti," kata Kompany menerusi kenyataan tersebut. Pemain yang berusia 26 tahun itu merupakan salah seorang pemain pertahanan yang terkemuka di dunia sejak beliau menyertai pasukan Manchester City yang berjersi biru itu empat tahun lalu. Sejak dari itu, beliau telah bermain sebanyak 127 kali untuk kelab berkenaan. — BERNAMA |
Warga Pakistan terlibat 51 kes tipu ditahan Posted: Warga Pakistan terlibat 51 kes tipu ditahan01/06/2012 7:39pm GEORGE TOWN — Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 36 tahun, dipercayai dalang sindiket yang terlibat dalam 51 kes penipuan melibatkan kerugian hampir RM500,000 di beberapa negeri di Semenanjung, sejak pertengahan tahun lepas. Sebanyak 12 kes dilaporkan di negeri ini manakala 11 kes di Perak, Kuala Lumpur (14 kes) dan selebihnya di Selangor, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu. Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abd. Rahim Jaafar berkata, hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri dan JSJK Daerah Seberang Perai Utara, polis berjaya menjejaki lelaki terbabit dan menahannya di sebuah bank di Butterworth pada Rabu lepas. "Ketika ditahan, suspek sedang mengeluarkan wang melalui mesin pengeluar wang automatik (ATM) dan wang berkenaan dipercayai baru dimasukkan oleh mangsa terbarunya," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Polis telah menahan lima anggota sindiket tersebut terdiri daripada warga tempatan dalam tangkapan berasingan awal bulan lepas. Modus operandi sindiket itu ialah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mail dengan memperkenalkan diri sebagai pembekal yang menjalankan promosi pelbagai barangan sukan, songket, pakaian, cenderamata dan sebagainya kepada peniaga barangan. Sindiket itu kemudiannya akan menyamar sebagai guru sekolah atau sesiapa sahaja dan menghubungi peniaga berkenaan bagi membuat tempahan palsu dengan kuantiti banyak. "Mangsa yang terpedaya dengan tawaran promosi itu akan menghubungi pembekal palsu terbabit bagi mendapatkan barang dalam kuantiti banyak dengan harga rendah. "Suspek kemudian akan meminta mangsa membayar secara atas talian ke dalam akaun miliknya dan berjanji akan menghantar pesanan dalam tempoh singkat," kata Abd. Rahim. — BERNAMA |
Warga emas ditemui lemas dalam kolam ikan Posted: Warga emas ditemui lemas dalam kolam ikan01/06/2012 7:35pm IPOH — Seorang lelaki warga emas ditemui lemas di dalam kolam ikan berhampiran Taman Wing Onn di sini hari ini. Mayat lelaki berusia dalam lingkungan 80-an itu ditemui oleh pemilik kolam berkenaan pada pukul 8 pagi ketika pemilik itu ingin melihat ikan peliharaannya. Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata, warga emas berkenaan adalah pekerja kolam ikan itu dan dia dipercayai tergelincir ke dalam kolam. Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.— BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan