KUALA LUMPUR: Kumpulan pertama pembantu rumah warga Indonesia mula dibawa masuk ke negara ini selepas kerajaan republik itu menarik balik secara rasmi pembekuan kemasukan pembantu ke negara ini pada 1 Disember, tahun lalu.
Kumpulan seramai 29 orang yang kebanyakannya dari Jawa Timur itu tiba di Malaysia Rabu lalu dan diserahkan kepada majikan masing-masing, semalam.
Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Jeffrey Foo berkata, pembantu rumah terbabit memperoleh sijil kompetensi daripada program latihan selama dua bulan dikendalikan di negara republik itu, iaitu antara syarat wajib melayakkan mereka bekerja di Malaysia seperti termeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara.
Kerajaan Malaysia dan Indonesia menandatangani MoU berkenaan pada Sidang Kemuncak Asean di Bali pada November tahun lalu selepas kerajaan Indonesia bersetuju menghantar semula pembantu rumah ke negara ini yang dibekukan sejak September 2009.
"Mereka diberi latihan membabitkan kerja rumah dan bersedia untuk bekerja di rumah majikan masing-masing. Ada antara mereka juga berpengalaman bekerja di Malaysia sebelum ini," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis penyerahan pembantu rumah kepada majikan di Rumah Perlindungan Pusat Latihan 1 Papa, di sini, semalam.
Jeffrey berkata, kumpulan kedua pembantu rumah itu dijangka tiba di negara ini dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Dalam MoU berkenaan, kedua-dua negara bersetuju menetapkan gaji pembantu rumah sebanyak RM700 sebulan, cuti sehari seminggu, gaji dibayar menerusi akaun bank pembantu rumah dan pasport disimpan sendiri.
MoU itu juga menetapkan setiap majikan perlu membayar sebanyak RM4,511 untuk mengambil seorang pembantu rumah warga Indonesia.
"Mereka berhak diberi cuti sehari seminggu dan ia bergantung kepada majikan untuk memilih hari cuti itu. Jika mereka diminta bekerja pada hari cuti, majikan perlu membayar sebanyak RM27 sehari untuk kerja lebih masa. Jika mereka tidak diberi cuti langsung, majikan perlu membayar gaji sebanyak RM808 sebulan," katanya.
Jeffrey berkata, pembantu rumah juga boleh menyimpan sendiri pasport mereka tetapi majikan turut dibolehkan menyimpan pasport pembantu rumah masing-masing atas faktor keselamatan.
Ditanya mengenai gaji minimum RM700 sebulan dengan hanya melakukan satu tugas khusus, Jeffrey berkata, ia hanya digembar-gemburkan dan banyak pihak salah faham.
"Perlu diingatkan, mereka hanya menjalani latihan untuk melakukan kerja rumah saja seperti memasak, membasuh dan mengemas, tetapi tidak sebagai pengasuh bayi atau penjagaan orang sakit.
"Majikan masih boleh meminta mereka menjadi pengasuh atau menjaga ibu bapa yang sakit, tetapi jangan salahkan mereka jika tidak boleh melakukan kerja itu dengan betul kerana mereka tidak dilatih untuk melakukan kerja sedemikian," katanya.
Sementara itu, pembantu rumah, Susianti Ngali, 42, ketika ditemui berkata, walaupun ada mendengar kes penderaan membabitkan pembantu rumah Indonesia di sini, dia percaya kebanyakan majikan di Malaysia ikhlas mengambil mereka bekerja.
"Memang takut bila mendengar cerita sebegitu, tetapi dengan adanya MoU di antara Malaysia dengan Indonesia, saya lebih yakin dan berani.
"Lagipun saya pernah bekerja di Malaysia pada 2002 hingga 2006 dan saya gembira di sini," katanya yang berasal dari Tulungagung, Jawa Timur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan