Khamis, 1 Mac 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Wanita cedera bom dalam bungkusan meletup di Melaka

Posted: 01 Mar 2012 05:41 AM PST

ALOR GAJAH: Seorang wanita cedera parah apabila sebutir bom buatan sendiri yang dihantar melalui satu bungkusan meletup di hadapan rumahnya di Kampung Ramuan China Besar, Lubok China di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 8.40 pagi itu menyebabkan Norasyikin Md Esa, 27, cedera di kaki dan perut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kotak yang tertulis dengan nama abang wanita itu meletup ketika dipegang oleh Norasyikin yang sedang membuka pagar untuk ke tempat kerja.

Beliau berkata polis akan menyiasat kejadian itu dari pelbagai sudut serta dari mana dan bila kotak yang tertera nama Saiful Eszwan, 35, diletakkan di hadapan rumah itu.


"Kami percaya ia mungkin ada kaitan dengan abang mangsa yang bekerja sebagai kontraktor kebersihan.


"Kami dengan bantuan unit pemusnah bom dan forensik juga akan menyiasat bagi mengenal pasti bahan yang diguna dalam pembuatan bom itu dan motif sebenar kejadian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata wanita itu yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pusat beli belah di Masjid Tanah kini dirawat di Hospital Melaka dan keadaannya dilapor stabil. -- BERNAMA



Gangguan bekalan air di Kuala Krai Ahad ini

Posted: 01 Mar 2012 05:38 AM PST

KOTA BHARU: Penduduk di daerah Kuala Krai dinasihat menyimpan bekalan air mencukupi pada Ahad ini, kerana berlaku gangguan bekalan berikutan kerja penukaran paip air mentah di Loji Tualang, di sini.

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Hazwan Hassan dalam satu kenyataan berkata, kerja pembaikan itu akan bermula 9 pagi hari tersebut dan akan berakhir pada 5 petang, yang menyebabkan tekanan air rendah berlaku dalam tempoh berkenaan.

Antara kawasan yang terlibat adalah Guchil 7, Taman Krai, Aur Duri, Batu Lada serta kawasan berhampiran bandar Kuala Krai.

Pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan atau masalah berkaitan gangguan tersebut boleh menghubungi 1300-88-2572. -- BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan