Jumaat, 30 Mac 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Harga saham ditutup tinggi

Posted: 30 Mar 2012 02:50 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi, selari dengan peningkatan di pasaran serantau hasil daripada rangsangan limpahan mudah tunai susulan suntikan daripada bank pusat di dunia, selain dasar monetari yang akomodatif.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.89 mata kepada 1,596.33.

Indeks Kewangan menokok 101.811 mata kepada 14,321.65 manakala Indeks Perusahaan meningkat 11.08 mata kepada 2,883.96. Indeks Perladangan melonjak 73.93 mata kepada 8,741.42.

Indeks FBM Emas meningkat 67.81 mata kepada 10,939.63, Indeks FBM70 menambah 60.35 mata kepada 12,026.04, namun Indeks FBM ACE susut 29.75 mata kepada 4,583.84.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 402 berbanding 360 manakala 334 kaunter tidak berubah, 417 tidak diniagakan manakala 37 kaunter lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 1.245 bilion saham bernilai RM2.083 bilion berbanding 1.496 bilion saham bernilai RM1.398 bilion.
Bagi saham aktif, Carotech susut 2.5 sen kepada 2.5 sen, Xidelang Hlds Ltd-Warr Rights menokok tiga sen kepada 3.5 sen, Berjaya Corp Loan Rights tidak berubah pada setengah sen manakala Focus Dynamics Technologies menambah setengah sen kepada 17.5 sen.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank meningkat tujuh sen kepada RM8.87, Sime Darby tidak berubah pada RM9.74, CIMB menokok sembilan sen kepada RM7.69 manakala Petronas Chemicals meningkat enam sen kepada RM6.74. - BERNAMA

PTPTN peruntuk RM5 bilion untuk pinjaman tahun ini

Posted: 30 Mar 2012 02:48 AM PDT

Mutakhir

TEMERLOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM5 bilion bagi tujuan pinjaman kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi untuk tahun ini.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM3.37 bilion diberikan kepada peminjam sedia ada manakala baki kepada peminjam baru.

"Sehingga 29 Februari lalu, jumlah keseluruhan pinjaman PTPTN adalah sebanyak RM43.60 bilion dan membabitkan 1.95 juta peminjam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa, Guru dan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau, hari ini. Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau meminta ibu bapa dan guru duduk semeja berbincang bagi mempertingkatkan pelajaran anak-anak.

"Penubuhan Majlis Permuafakatan adalah landasan terbaik dalam menyusun atur bagi meningkatkan lagi bidang pelajaran anak-anak terutamanya di peringkat sekolah rendah dan menengah," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan