Sabtu, 31 Mac 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Dirasuk 40 kali sehari

Posted: 30 Mar 2012 01:00 PM PDT

KOTA BHARU: "Ketika dirasuk, saya pernah memanjat pokok ubi kayu di belakang rumah seperti kera dan anehnya batang pokok itu tidak patah," kata Suhaini Abdul Aziz, 30, yang menderita terkena sihir sejak Oktober tahun lalu.

Suri rumah itu juga mengakui pernah cuba mencekik anaknya sendiri, terjun tingkap dan berlari keluar meninggalkan rumah selain menyembah barangan berwarna kuning serta meracau dalam bahasa Siam, malah berperwatakan seperti orang tua.

Katanya, masalah misteri itu berlaku selepas 40 hari ibunya meninggal dunia pada Oktober tahun lalu dan selepas berkahwin dengan suami baru sebelum berlarutan sehingga kini.

"Sejak disihir, apabila ada 'benda' memasuki badan, saya hanya mampu bercakap di dalam hati kerana dikunci di dalam, seolah-olah dikawal seseorang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mani, Kuala Besar, di sini.


Menurutnya, sebelum dirasuk dia boleh merasa beberapa tanda awal sebelum mendakwa ada 'benda' misteri yang akan memasuki tubuhnya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.




Nyawa kalis peluru

Posted: 30 Mar 2012 01:00 PM PDT

TELUK INTAN: Seorang tauke ayam terselamat daripada maut buat kali kedua apabila tembakan dipercayai dilepaskan pembunuh upahan hanya mencederakan pipinya dalam kejadian berhampiran rumahnya di Hutan melintang di sini, awal pagi semalam.

K Sooria Theymudu, 40, sebelum ini pernah cedera di pergelangan tangan ditembak seorang lelaki di hadapan rumahnya di Jalan Feri, Simpang Empat, di sini, pada 20 Oktober tahun lalu. Semalam, dia sekali lagi bernasib baik apabila tembakan dalam serangan mendadak jam 6.30 pagi itu hanya melukakan pipinya walaupun ditembak bertalu-talu oleh penjenayah dari jarak dekat.


Bagaimanapun, serangan semalam meragut nyawa pekerjanya, warga Bangladesh, Md Masum Sheik Md Surat Ali, 30, apabila tembakan mengenai bahu dan perut lelaki itu menyebabkannya maut di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohd Zaki Harun berkata, kejadian berlaku ketika Sooria dan pekerjanya menaiki van dari rumah ke Taman Seri Bernam di sini, untuk mengambil seorang lagi pekerja yang tinggal di taman berkenaan.


Beliau berkata, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba keluar dari sebuah kereta dan melepaskan tiga das tembakan ketika van dipandu Sooria memasuki taman berkenaan.


"Satu daripada tembakan itu mengenai pipi Sooria manakala dua das lagi tembakan mengenai perut serta baru pekerja warga Bangladesh itu.

"Sebaik melepaskan tembakan suspek melarikan diri dengan kereta. Lelaki Bangladesh itu mati di tempat kejadian manakala Sooria cedera di pipi," katanya.


Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) untuk dibedah siasat manakala Sooria dirawat di hospital sama.

"Polis kini memburu penjenayah terbabit dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


"Mereka yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintanden Sanusi Salleh di talian 05-6299222 atau balai polis berhampiran," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan