Isnin, 26 Mac 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Zambry tempelak pembangkang

Posted:

Zambry tempelak pembangkang

Zambry tempelak pembangkang

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my


Dr. Zambry Abd. Kadir menyampaikan cek bayaran khas untuk anggota polis yang berkhidmat pada zaman darurat kepada Zawiah Ismail ketika Majlis Sambutan Hari Polis Ke- 205 Peringkat Negeri Perak di Ipoh, semalam. - Utusan/Roy Aziz


IPOH 25 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menempelak pemimpin pembangkang yang mempolitikkan usaha murni kerajaan negeri menyediakan 7,000 lot kediaman dengan bayaran premium tanah sebanyak RM500 kepada pesara polis dan tentera tahun ini.

Menurutnya, pihak berkenaan tidak pula melakukan perkara yang sama semasa mereka berkuasa selama 11 bulan, tetapi mempertikaikan inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu bekas anggota pasukan keselamatan terlibat.

"Saya menyeru mereka jangan terus bermain dengan sentimen begitu dan memanipulasikan usaha kerajaan negeri sebab kita beri lot tanah itu untuk mengenang jasa bekas polis dan tentera," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Polis Ke-205 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Semasa pembentangan Bajet 2012 Perak tahun lalu, Zambry mengumumkan kerajaan negeri menyediakan 7,000 lot kediaman menerusi Projek Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) untuk bekas tentera dan polis dengan bayaran premium sebanyak RM500 sahaja.

Langkah tersebut menjadikan Perak negeri pertama berbuat demikian bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan dalam menjaga keamanan negara.

Menurut Zambry, memang diakui lot rumah yang disediakan itu tidak mencukupi jika hendak diberikan kepada semua bekas polis dan tentera di negeri ini.

Namun, katanya, usaha tersebut perlu dilihat dari sudut yang positif kerana Perak negeri pertama yang berbuat demikian.

"Kita sumbang apa yang mampu kita berikan kepada mereka. Kalau hendak berikan kepada semua, tentu ada ratusan ribu bekas polis dan tentera dari zaman dulu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap sambutan Hari Polis yang diadakan setiap tahun dapat memberikan suntikan semangat kepada masyarakat untuk menghargai jasa anggota pasukan keselamatan tersebut dalam menjaga keamanan negara.

Galakkan anak membaca jawi

Posted:

Galakkan anak membaca jawi

Galakkan anak membaca jawi


Mohd. Khalid Ahmad (dua dari kiri) melihat buku tulisan jawi keluaran Nukilan Unggul Publication Sdn. Bhd., pada Majlis Perasmian Karnival Sastera Budaya Negeri Perlis di Arau, semalam.


ARAU 25 Mac - Usaha perlu digerakkan bagi memperbanyakkan bahan bacaan dalam tulisan jawi supaya ia menjadi tarikan kepada generasi muda seterusnya memelihara warisan orang Melayu itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, usaha itu penting supaya pembacaan kanak-kanak tidak terhad di sekolah sahaja, malah boleh diperoleh dalam bentuk bacaan ringan.

''Ibu bapa pula perlu memberikan galakan dengan membelikan anak-anak buku dalam tulisan jawi bagi membiasakan tulisan ini sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka," katanya.

Teks ucapannya dibacakan oleh Senator Mohd. Khalid Ahmad ketika merasmikan Karnival Sastera Budaya Negeri Perlis anjuran kerajaan negeri dan Persatuan Penulis Perlis (3P) di Kompleks C-Mart di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mohd. Khalid turut melancarkan lima buku dalam tulisan jawi terbitan Nukilan Unggul Publication Sdn. Bhd. (Nukilan Unggul).

Dalam pada itu, Md. Isa turut memuji usaha 3P dan Nukilan Unggul yang berusaha memperbanyakkan penerbitan buku dalam tulisan jawi.

Katanya, sekurang-kurangnya ia dapat menyelamatkan tulisan jawi daripada terus terkubur.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nukilan Unggul, Khairul Hazamy Abdul Ghani berkata, pihaknya melihat tulisan jawi sebagai satu warisan pusaka Melayu yang perlu dipertahankan supaya dapat terus dipelajari oleh generasi muda.

Sehubungan itu, katanya, Nukilan Unggul telah menetapkan buku-buku dalam tulisan jawi sebagai satu agenda penting dalam penerbitan buku-buku syarikat itu dengan menyasarkan sekitar 20 hingga 30 akan diterbitkan setiap tahun.

BN janji selesai masalah jalan kampung di Alor Mengkudu

Posted:

BN janji selesai masalah jalan kampung di Alor Mengkudu

BN janji selesai masalah jalan kampung di Alor Mengkudu

ALOR SETAR 25 Mac - Masalah jalan kampung rosak termasuk tidak berturap di Alor Mengkudu di sini yang menghantui penduduk sejak beberapa tahun lepas mendapat perhatian Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Alor Setar, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, beliau sering menerima pelbagai aduan penduduk berhubung perkara tersebut yang antaranya memohon agar jalan kampung di kawasan mereka diturap sepenuhnya.

Katanya, beliau yang berjanji untuk menyelesaikan masalah itu telah mengemukakan permasalahan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Perkara ini sudah saya bincangkan dengan Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu kerana jika saya ingin menggunakan peruntukan daripada Parlimen Alor Setar tentu tidak mencukupi dan mengambil masa yang panjang.

"Perdana Menteri sangat prihatin dan bersetuju untuk melihat isu ini secara serius termasuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah jalan kampung yang rosak dan tidak berturap," katanya yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau berkata demikian selepas majlis perjumpaan bersama pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di sini semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan surat kuasa serta bantuan kecemasan penduduk bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu.

Kata Chee Heung, sehingga kini beliau telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi memperbaiki kerosakan jalan di kawasan Parlimennya termasuk di DUN Alor Mengkudu yang di bawah wakil rakyat Pas.

"Banyak jalan di kawasan bandar dan kampung seperti di Alor Mengkudu terpaksa dibaiki kerana rosak teruk dan saya telah menggunakan peruntukan daripada Parlimen Alor Setar.

Semua ini dilakukan agar penduduk dapat menikmati kemudahan jalan yang sempurna bagi memudahkan urusan masing-masing," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan