Berita Harian: Nasional |
Pertumbuhan ekonomi masih pada tahap selesa Posted: 25 Mar 2012 03:03 PM PDT Nasional KADAR pertumbuhan ekonomi negara masih kukuh dan berada pada tahap selesa berbanding pertumbuhan ekonomi dunia ketika ini, kataMenteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Beliau berkata, ketika ini, ada beberapa negara maju di dunia yang tidak menunjukkan sebarang pertumbuhan ekonomi atau berada pada kadar yang kurang memberangsangkan. "Setiap tahun memang kita perlu membuat satu unjuran. Kadar yang ditentukan ini masih berada pada tahap yang baik berbanding beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas unjuran pertumbuhan ekonomi lebih rendah antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2012 ini yang dibuat Bank Negara Malaysia dalam Laporan Tahunan 2011 bank pusat itu yang dikeluarkannya minggu lalu. Mengikut laporan itu, pertumbuhan itu bakal dipacu permintaan domestik serta pelaburan persendirian, disokong oleh industri berorientasikan domestik dan projek yang sedang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP). Nor Mohamed berkata, penilaian semula unjuran pertumbuhan itu juga bukan penghalang untuk Malaysia mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju dengan pendapatan tinggi.
Beliau berkata, pelbagai pelan dan strategi yang telah dirancang oleh kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, juga adalah usaha berterusan untuk merealisasikan hasrat menjadi negara maju itu. "Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan juga disasarkan untuk menjadi pemangkin kepada penjanaan ekonomi domestik. Orang ramai akan berbelanja dan ia secara langsung akan menggerakkan ekonomi yang seimbang," katanya. |
PM mahu rakyat tolak kerajaan pembangkang Posted: 25 Mar 2012 02:54 PM PDT Nasional NAJIB bertanyakan sesuatu kepada mangsa banjir, Mohamed Nasarudin Maana sambil diperhatikan Ismail (kanan) selepas meletakkan batu binaan ketika melawat mangsa banjir di Batu 11 Sungai Serai, Hulu Langat, semalam. - Foto Syarafiq Abd Samad Perdana Menteri berkata, sudah cukup rakyat ditipu dengan pelbagai janji manis palsu kerajaan pimpinan pembangkang dan mereka tidak sepatutnya membiarkan perkara itu berulang semula pada PRU kali ini. Antara janji tidak ditunaikan, katanya, termasuk usaha untuk menurunkan cukai pintu sebanyak 20 peratus dan cukai premis perniagaan 20 peratus, perkhidmatan kesihatan percuma untuk warga emas, bantuan ibu tunggal RM600, pelajar melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi RM1,000 dan bantuan prasekolah RM50. "Semua itu belum (ditunaikan) lagi. Sebab itu, hari ini rakyat lebih yakin kepada Barisan Nasional (BN), kita dah kena tipu sekali cukup, kita tak mahu ditipu sekali lagi."Kita tolak mereka, pilihan kita adalah BN untuk perintah negara dan Selangor, tidak lama lagi ada peluang (PRU)," kata pada majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir Parlimen Hulu Langat dan Ampang di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua di sini, semalam. Lebih 5,000 rakyat termasuk penerima bantuan membanjiri padang IKBN sejak awal pagi bagi menerima sumbangan daripada kerajaan dan agensi korporat. Turut hadir Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Penyelaras BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed dan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DUN Dusun Tua, Ismail Sani.
Keyakinan rakyat pada peringkat akar umbi terhadap parti itu juga, katanya, semakin bertambah kerana mereka sedar parti diterajui Kerajaan Pusat mampu menunaikan janji berbanding pembangkang. Beliau berkata, ia boleh dilihat menerusi perhimpunan program dihadirinya yang menyaksikan kehadiran rakyat yang begitu ramai. "Angin kini sudah bertiup kencang kepada BN kerana keyakinan rakyat terhadap BN sudah bertambah dan kian memuncak... kita tunai janji," katanya. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan wang tunai bernilai hampir RM6 juta kepada 3,578 mangsa banjir di Parlimen Hulu Langat dan Ampang. Setiap penerima menerima wang tunai RM1,000 masing-masing sumbangan daripada Majlis Keselamatan Negara dan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Penerima juga menerima dua tilam dan dapur gas sumbangan Kelab Putra 1Malaysia. Turut diumumkan, peruntukan RM7.5 juta untuk melaksanakan kerja tebatan banjir di kawasan Hulu Langat bagi tempoh jangka pendek. Najib berkata, peruntukan itu membabitkan pembinaan sebuah jambatan laluan utama dengan kos RM3.5 juta, dua unit pembetung (RM1 juta) dan pengalihan utiliti (RM3 juta). "Pembinaan projek jangka pendek ini akan dibuat tahun ini juga, sebelum pilihan raya umum manakala projek jangka panjang, termasuk membina kolam takungan yang membabitkan soal pengambilan tanah akan dilakukan selepas kita mengalih alih kerajaan negeri," katanya. Pada 7 Mac lalu, lebih 3,000 keluarga terpaksa dipindahkan apabila banjir besar melanda daerah Hulu Langat yang menyebabkan kerugian harga benda dan kemusnahan kemudahan awam bernilai jutaan ringgit. Antara kawasan terbabit Dusun Tua, Taman Sri Nanding, Kampung Sungai Serai dan Lembah Jaya Utara.
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan