Khamis, 29 Mac 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Malaysia tawar kepakaran

Posted:

Malaysia tawar kepakaran

Malaysia tawar kepakaran

Oleh Rozaman Ismail


Najib Tun Razak dan U Thein Sein menyertai mesyuarat delegasi sempena lawatan rasmi dua hari ke Myanmar di Pejabat Union's President di Naypyidaw, semalam. – BERNAMA


NAYPYIDAW 28 Mac – Malaysia hari ini bersetuju menawarkan kepakaran dan pengalaman dalam beberapa sektor bagi membantu Myanmar memajukan ekonomi negaranya.

Antara sektor berpotensi yang dikenal pasti ialah peladangan, pertanian, sumber tenaga, pembinaan, pekilangan, telekomunikasi, pelancongan serta hospitaliti.

Perkara itu dicapai semasa pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Myanmar, U Thein Sein di Pejabat Presiden di sini, sempena lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri ke Myanmar bermula hari ini.

Dalam pernyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin tersebut turut melahirkan rasa puas hati dengan kerjasama erat yang terjalin antara Malaysia dan Myanmar dalam bidang-bidang berkaitan sumber manusia dan tenaga kerja.

''Kedua-dua negara memperakui sumbangan tenaga kerja Myanmar dalam pembangunan ekonomi Malaysia," kata pernyataan itu.

Selain daripada itu juga, kedua-dua pemimpin turut memperakui kepentingan sektor pelancongan sebagai penyumbang kepada persahabatan dan persefahaman antara rakyat Malaysia dan Myanmar.

Kedua-dua negara tersebut juga bersedia memperbaharui kerjasama dalam bidang pelancongan dengan sasaran meningkatkan lagi hubungan sesama rakyat sekali gus membantu pembangunan ekonomi Malaysia-Myanmar.

Pada pertemuan itu juga, Malaysia bersetuju membantu Myanmar mengenal pasti latihan-latihan yang menjadi keperluan segera negara itu di bawah Program Kerjasama Teknikal (MTCP).

Sejak diperkenalkan pada tahun 1983, lebih 1,000 pegawai Myanmar telah mendapat faedah daripada program tersebut. Malah, Myanmar merupakan negara kedua di kalangan negara ASEAN yang paling ramai menyertai MTCP.

Mengenai persediaan Myanmar untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2014, Najib dan Thein Sein sama-sama berikrar untuk mempereratkan kerjasama demi memastikan proses itu berjalan lancar.

Selepas Myanmar, Malaysia pula akan diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi pertubuhan serantau itu pada tahun 2015.

''Kedua-dua pemimpin berkenaan turut mengalu-alukan kerjasama dalam bidang latihan diplomat muda untuk meningkatkan kemahiran para pegawai terlibat sebagai sebahagian persediaan untuk menjadi Pengerusi ASEAN," kata pernyataan itu.

Sebagai persediaan untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA Ke-27 pada tahun hadapan pula, kedua-dua pihak akan meningkatkan kerjasama dalam bidang sukan menerusi amalan perkongsian pengalaman.

Sebelum itu, ketibaan Najib dan rombongan seramai kira-kira 160 orang diberi sambutan rasmi di Pejabat Presiden di sini.

Selain Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, beberapa menteri lain turut serta.

Antaranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. S. Subramaniam dan dua timbalan menteri iaitu Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Chua Tee Yong.

Esok, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan masyarakat Malaysia di negara ini serta beberapa ahli perniagaan terkemuka Myanmar.

Kerajaan akan wujudkan Majlis Pekerja Sosial

Posted:

Kerajaan akan wujudkan Majlis Pekerja Sosial

Kerajaan akan wujudkan Majlis Pekerja Sosial

PUTRAJAYA 28 Mac - Kerajaan akan mewujudkan Majlis Pekerja Sosial Malaysia sebagai usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan sosial kepada masyarakat terutama golongan yang memerlukan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, di bawah majlis tersebut semua pekerja sosial akan didaftarkan bagi mengawal selia kelayakan mereka dan memantapkan lagi profesion kerja sosial serta penyampaian perkhidmatan sosial di negara ini.

Menurutnya, ia sejajar dengan intervensi dan penyelesaian masalah sosial yang semakin kompleks, keperluan menyediakan tenaga kerja profesional berpengetahuan dan kompeten penting dalam bidang kerja sosial.

''Pekerja sosial adalah bidang profesional yang memerlukan kepakaran kerana mereka berdepan dengan golongan memerlukan.

''Justeru, majlis ini akan melaksanakan piawaian kompetensi kerja sosial selain menentukan akreditasi supaya kualiti penyampaian dalam perkhidmatan sosial di negara ini dapat dipertingkatkan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Bicara Penggubalan Akta Pekerja Sosial di kementeriannya, di sini hari ini.

Majlis tersebut akan diwujudkan di bawah Akta Pekerja Sosial selepas rang undang-undang mengenainya dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang.

Pada 2010, Kabinet bersetuju menggubal Akta Pekerja Sosial untuk mengawal selia tugas berkenaan kerana sebelum ini pekerja sosial boleh terdiri daripada sesiapa saja. Bagaimanapun menerusi akta berkenaan, tugas itu hanya boleh dijalankan pekerja berlesen dan berdaftar.

Dalam hal ini, Shahrizat berharap masyarakat umum tidak menganggap kewujudan akta itu menghalang mereka melakukan kerja-kerja amal seperti sebelum ini.

''Bagi mereka yang gemar melakukan kerja-kerja amal, teruskan tugas itu dan akta ini tidak menghalang kerja-kerja mereka kerana ia diwujudkan bagi mengawal selia mereka yang terlibat sebagai pekerja sosial," katanya.

Selain mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan bagi menambah baik draf undang-undang itu, beliau berkata, kementeriannya juga akan memberikan penerangan kepada kerajaan negeri berhubung perkara itu.

''Akta ini bukan hanya membabitkan kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan tetapi juga banyak pihak termasuk tanggungjawab bersama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri," katanya.

Mara sasar taja 128,800 pelajar

Posted:

Mara sasar taja 128,800 pelajar

Mara sasar taja 128,800 pelajar

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
pengarang@utusan.com.my

KOTA BHARU 28 Mac - Sebanyak 128,800 pelajar disasar mendapat tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi sepanjang Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ahli Majlis Mara, Mohamad Saufi Deraman berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 124,130 pelajar akan ditaja untuk menyambung pelajaran di dalam negara manakala 4,760 orang pula di luar negara.

"Jumlah berkenaan mengatasi jumlah tajaan Mara sepanjang RMK-9 iaitu seramai 118,308 pelajar iaitu 110,760 di dalam negara dan 7,548 di luar negara," katanya ketika merasmikan Karnival Pendidikan Mara 2012 peringkat negeri di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari.

Menurutnya, tajaan yang diberikan itu adalah untuk memastikan setiap pelajar yang layak, mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Kita telah menggerakkan usaha ini sejak dahulu lagi dengan matlamat untuk melahirkan generasi bumiputera yang mempunyai pengetahuan dan kelayakan sewajarnya," kata beliau.

Turut hadir, Pengarah Mara Kelantan, Mohd. Yunus Razali.

Saufi menambah, Mara turut memberi fokus untuk menaja pelajar berkelayakan bagi meneruskan pengajian ke peringkat ijazah lanjutan seperti sarjana, doktor falsafah dan kelayakan profesional di institusi pengajian tinggi terkemuka di luar negara.

Sementara itu, Mohd. Yunus ketika ditemui berkata, karnival yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini akan membuka ruang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Katanya, adalah diharapkan karnival tersebut akan menjadi landasan terbaik kepada pelajar untuk memilih bidang yang mereka minati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan