Rabu, 28 Mac 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


BN Selangor cadang hantar memorandum kepada Sultan, dakwa Speaker berat sebelah

Posted: 28 Mar 2012 02:50 AM PDT

Mutakhir

SHAH ALAM: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan mengambil langkah tertentu bagi membantah tindakan Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) pada persidangan DUN itu, semalam.

Mereka menyifatkan tindakan Teng yang menggesa anggota EXCO kerajaan negeri supaya membahaskan kejayaan empat tahun pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor sebagai berat sebelah dan tidak profesional.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus, berkata antara tindakan yang difikirkan ialah menghantar memorandum kepada Sultan Selangor bagi membantah tindakan itu. BN adalah pembangkang dalam DUN Selangor.

Semalam, enam anggota DUN dari BN bertindak keluar dewan kerana membantah SMS itu dengan menyifatkannya sebagai berat sebelah oleh Speaker berkenaan.

Teng ketika mengulas perkara itu semalam menjelaskan bahawa beliau secara tidak sengaja menghantar SMS itu kepada anggota DUN Bebas, Datuk Dr Hasan Ali kerana nama beliau masih diletakkan sebagai EXCO dalam telefon Teng.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Program Rapat 1Malaysia bersama Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara (KKUUiTM) di sini, hari ini, Abdul Shukor, ADUN Kuang berkata, sebagai Speaker Teng harus bebas, adil dan bertanggungjawab dalam mengendalikan sidang DUN. - BERNAMA

Wartawan mahkamah berdepan saat cemas bila kereta dilanggar penjenayah

Posted: 28 Mar 2012 02:33 AM PDT

Mutakhir

KLANG: Kalau selama ini Rita Jong, wartawan mahkamah sebuah akhbar berbahasa Inggeris sering membuat liputan mengenai penjenayah yang dihadapkan ke mahkamah, namun semalam beliau berdepan saat mencemaskan apabila keretanya dilanggar seorang penjenayah yang mempunyai 20 rekod jenayah lampau.

Rita, 36, yang kini hamil lima bulan, dan suaminya, Kenny Teo, 35, seorang petugas di stesen televisyen swasta bagaimanapun bernasib baik kerana mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Semasa kejadian, saya dan suami dalam perjalanan pulang ke rumah. Syukur, kami selamat tetapi kereta mengalami kerosakan pada bahagian tepi pemandu," katanya. Ketua Polis Daerah Klang Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, suspek yang ditahan dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah serta mempunyai 20 rekod jenayah lampau di sekitar Shah Alam dan Ampang.

Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang semalam, suspek yang menaiki kereta jenis Proton Waja warna kelabu, terserempak dengan sebuah kereta peronda MPV polis di Jalan Istana.

"Ketika bertembung dengan polis, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan dan ketika cuba ditahan, suspek bertindak memecut kenderaannya ke arah Jalan Tengku Kelana sebelum terbabas di Jalan Dato Hamzah.

"Kenderaan yang dipandu suspek terbabas dan melanggar kenderaan yang dinaiki pemberita berkenaan yang dipandu suaminya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad berkata, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan suspek menjumpai sebatang besi tajam yang hujungnya dibengkokkan, dipercayai peralatan pecah rumah dan beberapa kunci induk.

Beliau berkata, kenderaan yang dinaiki suspek juga dilaporkan sebagai kereta curi berdasarkan rekod di Bukit Jelutong, dan pemeriksaan air kencing mendapati dia positif dadah. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan