Khamis, 29 Mac 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Pembangunan holistik di Sungai Lui

Posted:

Pembangunan holistik di Sungai Lui

Pembangunan holistik di Sungai Lui

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABID dan SAJIDA ASARULLAH KHAN


ZAINAL Abidin Ahmad beramah mesra dengan anak-anak masyarakat Orang Asli dan sentiasa memberikan perhatian kepada masyarakat ini di Kampung Sungai Cherbang, baru-baru ini.


JEMPOL 28 Mac - Bagi penduduk di daerah ini, nama Sungai Lui bukanlah asing bagi mereka kerana selain menjalani kehidupan yang tenang, ia merupakan penghubung jalan utama ke daerah Temerloh, Pahang serta kawasan pantai timur.

Sungai Lui mempunyai keunikannya tersendiri kerana walaupun ditadbir urus oleh Majlis Daerah Jempol (MDJ), namun sebenarnya lokasi ini terletak di bawah Parlimen Jelebu.

Biarpun kawasan yang dikuasai Barisan Nasional (BN) melalui kemenangan Datuk Zainal Abidin Ahmad pada pilihan raya umum lalu ini dianggap selamat, itu bukan tiket untuk beliau leka dalam memastikan pembangunan holistik dapat dilakukan.

Justeru itu, sejak dahulu lagi, banyak usaha, pembangunan dan gerak kerja dilakukan Zainal Abidin untuk memastikan Sungai Lui terus menerima limpahan nikmat kerajaan yang dipilih.

Jika dilihat kepada kemudahan daripada aspek pendidikan, kawasan ini sahaja mempunyai 10 buah sekolah rendah dan dua sekolah menengah, malah ia juga menempatkan dua buah sekolah rendah agama bagi keperluan anak-anak mendapatkan pendidikan berkualiti.

Bagi kanak-kanak pula, golongan ini tidak disisihkan untuk mendapatkan pendedahan awal persekolahan menerusi kewujudan 11 buah tadika selain dua buah taska oleh kerajaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui.

Aspek kesihatan turut diberi penumpuan khusus oleh kerajaan termasuk mewujudkan lapan buah klinik desa selain sebuah klinik kesihatan bagi memenuhi keperluan orang ramai untuk mendapatkan rawatan.

Melihat keperluan orang ramai yang ingin melakukan aktiviti seharian pula, pelbagai kemudahan dan infrastruktur telah dibangunkan. Antaranya termasuklah 12 buah dewan orang ramai di sekitar kawasan Sungai Lui ini.

Tidak ketinggalan juga pembinaan 12 buah balai raya di sekitar kawasan ini yang mana mengizinkan masyarakat menjalankan aktiviti berpersatuan selain program kemasyarakatan.

Malah, aspek kemudahan sukan juga diberikan perhatian oleh kerajaan apabila 12 gelanggang futsal telah dibina selain menyediakan 12 buah padang awam bagi tujuan riadah.

Mengenai pelancongan pula, kawasan Sungai Lui suatu ketika dahulu pernah menyimpan satu sejarah pahit yang cukup menarik untuk diketahui.

Di sini terbina sebuah tugu peringatan mangsa yang terkorban pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan menurut cerita yang diturunkan dari generasi ke generasi, terdapat lebih kurang 400 mangsa yang terbunuh, namun catatan sejarah hanya menyatakan 382 nama sahaja.

Dalam hal membangunkan daya pemikiran penduduk serta keterbukaan minda serta kemampuan akses kepada maklumat luar, usaha telah dilakukan oleh kerajaan BN dengan menyediakan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) yang boleh dinikmati penduduk dalam kawasan terpilih di Sungai Lui ini.

Untuk menarik lebih ramai masyarakat mendekati teknologi maklumat, kerajaan juga menyediakan perpustakaan jalur lebar (PJL) di Lui Selatan di mana membolehkan pengunjung membaca di perpustakaan desa selain menerokai alam maya menerusi Internet.

Zainal Abidin berkata, kemudahan yang diberikan oleh kerajaan BN itu dilihat sebagai satu iltizam dalam memastikan setiap lapisan masyarakat memperoleh keuntungan secara bersama.

''Pelbagai rancangan dan pembangunan di kawasan Sungai Lui ini dibuat untuk rakyat dan sebahagiannya telah pun dirasai mereka," katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat sembilan gelanggang futsal yang baru dibina di kawasan Lui dan kos membina gelanggang futsal di Felda Pasoh Dua sahaja bernilai RM1.8 juta.

''Ia siap sepenuhnya pada akhir tahun lalu dan ditempatkan di dalam dewan. Gelanggang itu merupakan gelanggang yang paling besar di DUN Sungai Lui," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pembinaan Balai Polis Ayer Hitam, Zainal Abidin juga menjelaskan ia adalah usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan penduduk terjaga setiap masa.

''Balai Polis Ayer Hitam ini telah siap dibina dengan kos sebanyak RM20 juta. Ini adalah balai polis moden dan terbaik di negeri ini," tegasnya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin menjelaskan, pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan BN untuk membantu golongan peneroka Felda di kawasan berdekatan seperti Felda Lui Timur, Felda Lui Barat, Pasoh 1 dan Pasoh 3 dengan program keusahawanan, penerangan, tanam semula dan sebagainya.

''Penempatan Orang Asli juga telah diberi perhatian dengan menyediakan tempat tinggal lebih selesa dan kemudahan asas seperti air dan elektrik di Sungai Sampo, Sungai Lui dan Kampung Sungai Cherbang," jelasnya.

Zainal Abidin optimis, sokongan rakyat terhadap BN di kawasan itu semakin bertambah selepas melihat kerja dan tindakan yang dilakukan.

''Kerajaan BN tidak bercakap kosong kerana apa yang dikata telah pun dikota, malahan yang tidak dikata sekalipun, kita akan kotakan untuk kepentingan rakyat," ujarnya.

9 rumah rosak dilanda ribut

Posted:

9 rumah rosak dilanda ribut

9 rumah rosak dilanda ribut

Oleh MAZLINDA MURTADZA
utusanN9@utusan.com.my

KUALA PILAH 28 Mac - Sebanyak tujuh buah kedai dan dua rumah mengalami kerosakan teruk setelah sebahagian bumbung bangunan tersebut diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut di pekan Dangi, dekat sini lewat petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, penduduk yang sebahagian besarnya berada dalam rumah terbabit terkejut selepas hujan lebat disusuli angin kencang menerbangkan pelbagai objek.

Menurut seorang mangsa, Ng Siew Yin, 62, dia mendengar bunyi seperti 'rentapan' pada bumbung rumah dan terus menyelamatkan diri.

''Semasa kejadian saya berada dalam rumah bersama isteri dan seorang cucu berusia tujuh bulan.

''Bahagian belakang rumah rosak dan bumbung diterbangkan angin kencang. Saya cemas dan bimbang jika keadaan lebih buruk berlaku dan segera menyuruh isteri melindungi cucu yang masih kecil," katanya di sini, semalam.

Kata Siew Yin ini merupakan kejadian pertama berlaku di kawasan Dangi ini dan ia pasti meninggalkan kenangan hitam dalam hidupnya.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, Datuk Ismail Lasim yang meninjau mangsa kejadian ribut itu berkata, bantuan segera telah pun dihulurkan kepada mereka melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

''Kita berikan wang ehsan, keperluan kecemasan seperti tikar, alas tidur dan makanan sementara menanti kerajaan menilai kerosakan akibat kejadian ini," katanya.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri memberitahu, kerajaan akan membantu membaik pulih semula bumbung yang rosak akibat kejadian ribut itu.

''Kita bersyukur kerana tiada yang cedera dalam kejadian ini," jelasnya.

Ali Rustam yakin pengurusan baru monorel

Posted:

Ali Rustam yakin pengurusan baru monorel

Ali Rustam yakin pengurusan baru monorel

MELAKA 28 Mac - Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yakin Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) mampu menguruskan perkhidmatan monorel Melaka dengan lebih berkesan sejak mengambil alihnya 5 Mac lalu.

Menurutnya, penukaran pengurusan itu adalah usaha kerajaan negeri bagi memantapkan lagi operasi serta menambah baik sistem sedia ada.

"Kita sudah minta PPSPM mengambil alih pengurusan monorel supaya ia boleh digabungkan dengan Sungai Melaka.

"Salah satu sebab penukaran pengurusan itu adalah kerana perkhidmatan tersebut dekat dengan sungai dan akan memudahkan lagi pengunjung melihat pemandangan sekitar Sungai Melaka menerusi monorel," katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan tertinggi dan lawatan ke Kolej Perubatan Manipal Melaka (MMMC) di sini semalam, katanya, beliau yakin dengan pengurusan baru itu kerana mereka telah melakukan yang terbaik untuk Sungai Melaka.

Turut hadir ialah Canselor Universiti Manipal, India, Datuk Dr. Ramdas M. Pai; Ketua Eksekutif MMMC, Prof. Datuk Dr. Abdul Razzak dan Dekan Fakulti Perubatan MMMC, Prof. Jaspal Singh Sahota.

Menurut Ketua Menteri, pelbagai perubahan dan aktiviti yang dilakukan oleh PPSPM terhadap Sungai Melaka telah berjaya menarik lebih sejuta pengunjung untuk menaiki bot Melaka River Cruise tahun lalu.

Dalam pada itu, kata Mohd. Ali, negeri ini bakal mempunyai sebuah lagi hospital pakar yang bakal dibina di atas tapak seluas 6.48 hektar bertentangan dengan kolej perubatan itu.

Pembinaan hospital yang menelan belanja sebanyak RM100 juta itu selain menawarkan perubatan biasa turut menawarkan perubatan pakar termasuk kanser, genetik dan kardiologi.

Pensyarah Fakulti Pergigian, Prof. Dr. Noorliza Mastura Ismail yang mengetuai lawatan itu berkata, hospital yang bakal memuatkan 120 katil pesakit itu bakal memulakan pembinaan dalam beberapa bulan lagi dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan