Jumaat, 30 Mac 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bawa anak pergi ‘dangdut jamban’

Posted: 29 Mar 2012 12:43 PM PDT

PELABUHAN KLANG: Bagi mengaburi mata isteri yang dalam pantang mengenai aktiviti malamnya, seorang lelaki membawa anak perempuannya berusia enam tahun beberapa kali untuk berhibur di sebuah premis dangdut yang dikenali sebagai 'dangdut jamban' di Lorong Kem, di sini.

Malah, lelaki berusia 40-an terbabit turut meneguk minuman keras di hadapan anaknya.

Lelaki terbabit mengakui menjadikan premis berkenaan sebagai rumah kedua kerana mengunjunginya empat hingga lima kali dalam seminggu.

Premis berkenaan dipanggil 'dangdut jamban' berikutan keadaan premis yang usang, berbau busuk selain persekitaran yang kotor kerana dipenuhi botol minuman keras, bekas makanan dan puntung rokok.


Premis itu digemari pelanggan 'senja' turut dijadikan 'port' berhibur sambil berkaraoke selain menikmati minuman keras yang dihidangkan pelayan gebu warga asing yang turut melakukan aksi ghairah.


Bagaimanapun, keseronokan semua pelanggan tidak berpanjangan apabila diserbu Jabatan Penguatkuasaan, Majlis Perbandaran Klang (MPK) jam 10.30 malam, kelmarin.

Difahamkan, pemilik premis yang juga penjawat awam menjalankan perniagaan itu tanpa lesen sah sejak setahun lalu walaupun diserbu pihak berkuasa awal tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguat Kuasa MPK, Shahrul Hazri Abd Majid berkata, premis berkenaan menjadi tumpuan kerana memiliki tarikannya tersendiri dengan menyediakan rangkaian lagu karaoke dangdut terkini.

"Premis ini beroperasi dari jam 8 malam hingga 3 pagi setiap hari dan semakin rancak dipenuhi pelanggan setiap kali terutama pada hujung minggu.

"Ketika serbuan, terdapat lima pelanggan dan tiga pelayan wanita warga Indonesia sibuk menyediakan minuman keras kepada pelanggan," katanya.

Semua pelanggan diambil keterangan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1995 Pindaan 1998, 2001 kerana menjalankan aktiviti perniagaan hiburan tanpa lesen daripada pihak berkuasa.




1,593 premis jual Menu Rakyat 1Malaysia

Posted: 29 Mar 2012 12:39 PM PDT

PUTRAJAYA: "Sebanyak 1,593 premis menjual makanan menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) sejak ia dilancarkan 7 Julai lalu," kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, ia termasuk 127 kafe di 48 institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.


Menurutnya, kerajaan menyasarkan 3,000 premis menyertai program itu tahun ini.

Katanya, program MR1M satu daripada inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup yang menjadi antara sasaran di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).


"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan selaras gagasan 1Malaysia, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif jangka pendek dan panjang bagi menangani kesan kenaikan harga pelbagai barangan dan makanan demi kesejahteraan rakyat," katanya ketika melancarkan Program MR1M Carrefour di ruang jualan makanan pasar raya besar itu di sini, semalam. — Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan