Utusan Online - Pahang |
Posted: Pesta Tanglung 1MalaysiaOleh HARIS FADILAH AHMAD Peserta pertunjukan fesyen pakaian pelbagai kaum bersama pemimpin BN dan NGO mengibarkan Jalur Gemilang sempena Pesta Tanglung 1Malaysia di Bandar Baru Inderapura, Jerantut, baru-baru ini. JERANTUT 1 Dis. – Menurut kepercayaan, Pesta Tanglung dan perayaan kuih bulan disambut pada hari ke-15 bulan kelapan dalam kalendar Cina. Ia menandakan berakhirnya musim menuai pada zaman dahulu kala. Masyarakat Cina akan menyambutnya dengan berkumpul bersama ahli keluarga. Bagi kaum wanita, pada malam itu mereka akan sibuk membuat kuih bulan manakala kaum lelaki pula bersama-sama menghasilkan tanglung. Amalan memberi kuih bulan kepada rakan-rakan dan saudara-mara adalah bertujuan untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan kerana kuih bulan dianggap sebagai lambang penghormatan di dalam masyarakat Cina. Kini perspektif amalan menerusi kepercayaan berkenaan sudah diasimilasikan menerusi pesta yang lebih sesuai memenuhi aspirasi semangat perpaduan dan menjana keharmonian kaum di negara ini. MCA Bahagian Jerantut dengan kerjasama Pasar Raya TF Value-Mart menganjurkan Pesta Tanglung 1Malaysia di Bandar Baru Inderapura, di sini baru-baru ini. Apa yang menarik pihak penganjur bukan memfokuskan kepada pelbagai bentuk dan keunikan variasi warna-warni tanglung tradisi kaum Cina, tetapi lebih menonjolkan aspek tarian 1Malaysia, persembahan pertunjukan fesyen semua kaum dan nyanyian. Hadir sama, Ahli Parlimen Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar; Ahli Dewan Undangan Negeri Damak, Datuk Lau Lee dan Pengerusi MIC Jerantut, M. Velaitham. Pengurus Operasi TF Value-Mart, Yeoh Kay Seng berkata, pesta itu dapat memupuk perpaduan sebenar iaitu semua kaum dapat menyesuaikan diri serta menerima secara terbuka malah lebih baik lagi mengamalkan kebudayaan semua kaum. ''Barulah hasrat 1Malaysia akan tercapai apabila kita melihat semua lapisan penduduk bandar ini tanpa mengira warna kulit dan agama menghayati pesta itu dalam suasana gembira di samping masih menjaga adab ketimuran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini. Katanya, pesta itu secara tidak langsung dapat memperkenal secara tepat akan identiti dan jati diri sebenar seterusnya menarik lebih ramai pelancong Barat ke daerah ini. Bagi ADUN Damak Datuk Lau Lee, perancangan untuk menjayakan program tersebut diatur oleh pasar raya itu dan MCA di sini agar ia memenuhi objektif, iaitu merealisasikan perpaduan kaum. "Saya gembira dengan sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat. Saya harap semangat perpaduan sebegini akan diteruskan demi sebuah negara yang makmur. "Negara ini sudah 54 tahun merdeka, perasaan perkauman harus dikikis dan tidak perlu dibangkitkan kerana ia akan menjadikan masyarakat berpecah-belah serta perpaduan negara kita terancam," katanya. Katanya, semua kalangan masyarakat sinonim dengan Pesta Tanglung dan penganjur mempelbagaikan slot persembahan agar lebih meriah serta memberi pengetahuan kepada pelancong Barat. Full content generated by Get Full RSS. |
Polis Maran sedia hadapi banjir Posted: Polis Maran sedia hadapi banjirOleh SALEHUDDIN MAT RASAD MARAN 1 Dis. – Polis Maran kini bersiapsiaga menghadapi banjir yang dijangka berlaku di daerah ini berikutan hujan lebat tidak menentu sejak dua minggu lalu. Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabuddin berkata, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemindahan Mangsa Banjir daerah, pihaknya sentiasa memantau paras air Sungai Pahang di dua stesen penyukat di Chenor dan Kampung Lubuk Paku, dekat sini. Menurutnya, setakat ini air Sungai Pahang belum mencapai tahap bahaya, bagaimanapun pemantauan tetap dilakukan setiap masa bagi mengesan perubahan paras air. ''Polis Maran sentiasa bersiapsiaga dengan kelengkapan seperti bot dan anggota untuk membantu mangsa banjir,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, hari ini. Ahmad Johari memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Maran, wakil rakyat, penghulu, Jabatan Kesihatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi melicinkan proses bantuan kepada mangsa banjir. Tambahnya, Polis juga berperanan sebagai Pusat Kawalan Operasi Bencana yang ditempatkan di Bilik Gerakan kerana memiliki alat komunikasi canggih untuk berhubung di semua kawasan dan situasi. ''Senario banjir di daerah ini pada 2007 menyaksikan seramai 2,211 keluarga daripada 88 kampung telah dipindahkan ke 65 pusat pemindahan dalam tempoh selama 22 hari,'' katanya. Beliau turut mengingatkan penduduk yang tinggal di tepi Sungai Pahang supaya berwaspada dan segera berpindah jika diarahkan oleh pihak berkuasa. |
Pupuk perpaduan rakyat pelbagai kaum Posted: Pupuk perpaduan rakyat pelbagai kaumTENGKU Azlan Sultan Abu Bakar (tengah) menyampaikan sijil penghargaan dan hamper kepada seorang peserta Pesta Tanglung 1Malaysia. JERANTUT 1 Dis. - Pesta Tanglung berkonsepkan 1Malaysia berupaya menjadi alat memupuk perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Ahli Parlimen Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata, menerusi pesta berkenaan semua aspek kebudayaan dan kesenian dapat diasimilasikan ke arah mewujudkan perpaduan serta keharmonian semua kaum. ''Negara yang maju dalam bidang ekonomi, pendidikan dan teknologi tidak akan lengkap dan tersohor, jika sekiranya kebudayaan kaum masing-masing tidak dipulihara serta disuburkan menerusi acara tertentu. ''Oleh itu, pesta itu walaupun nampak santai, tetapi ia menzahirkan nilai perpaduan sebenar semua kaum dengan penuh semangat mempersembah kebudayaan tradisional masing-masing," katanya. Jelas beliau, peranan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditagih agar menganjurkan program tertentu yang boleh mendidik semua lapisan kaum memahami nilai kebudayaan termasuk pelancong Barat yang singgah di bandar ini. Dalam pada itu, seorang penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA), Ain Huda Amir Hamzah, 20, berkata, pesta itu membuktikan kepada pelancong asing khususnya dari negara Barat dapat menikmati keaslian budaya milik pelbagai kaum di negara ini. ''Saya memilih menyertai pesta ini untuk memperagakan baju kebaya kerana berminat dalam bidang peragawati di samping dapat menonjolkan pakaian tradisional Melayu Pahang dalam satu pesta yang besar," katanya. Seorang pelancong Jerman, Martin Schneider, 45, berkata, dia terhibur dengan persembahan pesta itu kerana dapat menghayati keunikan cara hidup pelbagai kaum di sini. ''Selama ini saya hanya memperoleh maklumat menerusi risalah, buku dan mengakses daripada laman web dan pesta itu melihat lebih jelas konsep perpaduan yang diamalkan oleh penduduk di sini," katanya. Dia juga menyokong bahawa kebudayaan semua kaum sewajarnya dipulihara dan dipelajari oleh generasi hari ini sekali gus mengangkat imej sesebuah negara. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan