Khamis, 22 Disember 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Mayat ditemui terapung di Sungai Linggi

Posted: 22 Dec 2011 01:38 AM PST

SEREMBAN: Mayat seorang lelaki ditemui terapung di Sungai Linggi berdekatan kawasan mengorek pasir di Taman Angsa Mas, Mambau di sini hari ini.

Mayat yang tidak mempunyai sebarang identiti itu ditemui kira-kira jam 10 pagi tadi.

Menurut seorang pekerja di kawasan mengorek pasir itu Cho Hai, mayat itu disedari oleh rakannya yang sedang memberi ikan makan di kolam berdekatan.

"Pada mulanya kami ingat benda itu bangkai anjing kerana sebelum ini beberapa ekor anjing ditemui mati di sungai ini. Tapi kemudiannya kami lihat benda itu ada tangan dan kaki seperti manusia.


"Kami lalu menelefon pihak polis," katanya.


Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan penemuan mayat tersebut. - Bernama



Full content generated by Get Full RSS.

Malaysia perbaiki ranking FIFA, naik tujuh anak tangga

Posted: 22 Dec 2011 01:20 AM PST

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan mengakhiri tahun 2011 di kedudukan ke-148 ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), naik tujuh anak tangga berbanding bulan lalu.

Peningkatan ranking pasukan negara itu adalah hasil beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa yang diatur Persatuan Bolasepak Malaysia sepanjang tahun ini.

Menurut ranking terbaru FIFA yang dikeluarkan hari ini, Malaysia memungut tambahan tujuh mata selepas perlawanan persahabatan itu.

Bagaimanapun, kedudukan terbaik skuad negara tahun ini adalah pada Mac lalu iaitu di tangga ke-138, yang pada hakikatnya masih jauh berbanding kedudukan terbaik Malaysia di tangga ke-75 pada 1993.


Menerusi kedudukan terbaru itu, pasukan negara kini setanding dengan negara seperti Singapura (145), Turkmenistan (146), Lesotho (147), Samoa (149) dan Equatorial Guinea (150) dan lain-lain yang diketahui mempunyai kekurangan infrastruktur asas seperti padang, stadium dan peralatan sukan.


Pada kalangan negara Asia Tenggara pula, Malaysia berada di tempat kelima di belakang Vietnam (99), Thailand (122), Indonesia (142) dan Singapura (145).

Pada peringkat Asia, kedudukan Malaysia turut naik tiga anak tangga ke kedudukan ke-24 daripada 46 negara, berbanding tempat ke-27 bulan lalu.

Sementara itu kedudukan teratas ranking dunia masih dipegang Juara Piala Dunia 2010, Sepanyol, diikuti Belanda dan Jerman daripada keseluruhan 203 buah negara. - Bernama



Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan