Jumaat, 23 Disember 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Kod amalan terbaik di Iskandar Malaysia

Posted: 22 Dec 2011 02:52 PM PST

Wilayah

IRDA, SIRIM kerjasama jadikan metropolis hijau 2014

JOHOR BAHRU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan SIRIM Berhad memeterai memorandum persefahaman (MOU) bagi membolehkan dua organisasi itu bekerjasama menerapkan kod amalan terbaik ke arah menjadikan Iskandar Malaysia sebagai metropolis hijau yang mapan mulai 2014.

Menerusi MOU itu, IRDA dengan sokongan SIRIM akan berusaha menggalakkan kehidupan sihat dan membina tanggungjawab terhadap alam sekitar ke arah amalan pengurusan perbandaran yang mapan di sekitar Iskandar Malaysia. Pada masa sama, ia turut mengiktiraf langkah yang dilakukan secara sukarela untuk memenuhi matlamat dikehendaki dan akan berdialog secara terbuka mengikut inisiatif perundangan serta peraturan dengan amalan terbaik dalam pembangunan hijau dan operasi yang berprestasi tinggi.

Ketua Eksekutif IRDA, Ismail Ibrahim, berkata pihaknya komited menerima pakai amalan operasi bangunan mapan untuk memastikan bahawa wawasan Iskandar Malaysia sebagai satu metropolis kukuh dan mapan bertaraf antarabangsa.

Katanya, ini adalah antara usaha IRDA ke arah menjaga kesejahteraan alam sekitar agar Iskandar Malaysia mempunyai semua elemen melabur, bekerja, bermastautin dan beriadah.

"Kerjasama dengan SIRIM untuk menggalakkan amalan yang mapan mengukuhkan lagi komitmen itu. Ia juga menjana potensi untuk penjimatan tenaga dan hasil positif lain yang akhirnya akan meningkatkan keberhasilan negara.
"Kami menjangkakan Iskandar Malaysia akan mempunyai kawasan pelbagai jenis bangunan pencakar langit, bangunan tinggi tetapi masa sama komunitinya mengamalkan cara hidup rendah karbon," katanya.

MOU itu dimeterai oleh Ismail yang mewakili IRDA dengan Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Dr Zainal Abidin Mohd Yusof, pada majlis ringkas sempena lawatan kerja delegasi SIRIM ke Iskandar Malaysia, semalam.

Ismail berkata, sejajar dengan matlamat itu, IRDA akan mempromosikan lebih banyak persekitaran hijau, yang akan mewujudkan persekitaran yang selesa dan kesedaran penjagaan aset hak bersama.

Zainal Abidin pula menyifatkan MOU itu membolehkan dua organisasi terbabit bekerjasama dalam menerapkan amalan terbaik industri.

Katanya, MOU itu bertujuan menggalakkan pelaksanaan MS 1525:2007 Kod Amalan Kecekapan Tenaga bagi Bangunan bukan kediaman dan inisiatif pengurusan tenaga dan boleh diperbaharui ke arah pembangunan dan penubuhan Inisiatif Bangunan Hijau (GBI) di Iskandar Malaysia dan ISO 50001 Tenaga Pensijilan Sistem Pengurusan.

Full content generated by Get Full RSS.

Empat lelaki ditahan dalangi kes curi minyak sawit

Posted: 22 Dec 2011 02:51 PM PST

Wilayah

SAHUL Hameed menunjukkan lori tangki yang terbabit dalam kegiatan curi minyak sawit mentah di kawasan perindustrian Kota Puteri, Masai.

SAHUL Hameed menunjukkan lori tangki yang terbabit dalam kegiatan curi minyak sawit mentah di kawasan perindustrian Kota Puteri, Masai.

JOHOR BAHRU: Empat lelaki ditahan kerana mendalangi kegiatan mencuri minyak sawit mentah daripada lori tangki setiap kali komoditi itu diangkut ke kilang penapisan.

Berdasarkan modus operandi, kumpulan terbabit yang turut disertai pemandu lori, mencuri minyak sawit mentah berkenaan dalam kuantiti yang kecil daripada setiap lori tangki yang menjadi sasaran mereka.

Kumpulan terbabit dikesan menjadikan kawasan perindustrian Kota Puteri dekat Masai di sini sebagai lokasi persinggahan lori tangki yang hendak dicuri minyak sawit itu, sebelum pemandunya meneruskan perjalanan ke kilang. Pemandu lori yang bersubahat dengan kecurian itu kemudian memberi alasan yang bahan mentah dibawanya berkurangan akibat tumpahan daripada tangki yang berlaku sepanjang perjalanan.

Susulan serbuan terhadap kawasan perindustrian Kota Puteri kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin, Polis Seri Alam merampas 20 tong berisi minyak sawit mentah yang dianggar bernilai kira-kira RM17,000.

Serbuan itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin, berkata hasil serbuan itu, empat lelaki berusia 33 hingga 37 tahun yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau ditahan.
Katanya, polis turut merampas beberapa peralatan seperti sebuah tangki tanpa muatan, pam motor beroda, empat unit hos getah, sembilan corong minyak dan seunit penyambung hos.

"Semua suspek kini dalam siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Peraturan 15(1)(d) Lembaga Minyak Sawit Malaysia, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda," katanya di sini, semalam.

Roslan berkata, hasil tangkapan empat suspek terbabit dan pembongkaran mencuri minyak sawit mentah yang didalangi mereka, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes kecurian komoditi itu yang dilaporkan di sekitar kawasan Seri Alam.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Polis Seri Alam menyelesaikan lapan kes curi kabel susulan tangkapan tiga pemuda berusia 16 hingga 24 tahun dalam satu serbuan di Batu 16, Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, dekat sini, awal pagi semalam.

Roslan berkata, dalam serbuan kira-kira jam 4.45 pagi itu, polis merampas sebuah kereta Perodua Kembara, beberapa peralatan pecah rumah serta satu guni kabel tembaga, dipercayai hasil curi.

Katanya, semua suspek kini ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28(1) Undang-Undang Kesalahan Kecil.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan