Berita Harian: Wilayah |
Posted: 21 Dec 2011 03:47 PM PST Wilayah MENTERI Besar, Datuk Abdul Ghani Othman diiringi Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Profesor Datin Paduka Dr Jamilah Ariffin bergambar bersama penerima anugerah dan penerima bantuan nelayan Orang Asli selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Johor di Perdana Johor. JOHOR BAHRU: Kegigihan 10 nelayan wanita Orang Asli negeri ini menarik perhatian kerajaan negeri untuk menyumbangkan bot gentian kaca sebagai menggantikan sampan usang masing-masing untuk memudahkan mereka mencari rezeki di laut bagi menyara kehidupan keluarga masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai, berkata 10 bot bernilai kira-kira RM30,000 itu dibina oleh pelajar Pusat Giat MARA Mersing. Katanya, pemberian bot gentian terbabit kepada 10 nelayan wanita itu dibuat selepas mendapati ada kalangan mereka yang mengalami masalah dengan bot serta sampan usang yang bocor hingga sukar keluar menangkap ikan."Walaupun kebanyakan nelayan di kalangan Orang Asli adalah lelaki, masih ada wanita yang mengikut suami ke laut mencari hasil tangkapan untuk menyara kehidupan seharian mereka. "Justeru, kita mengambil langkah prihatin apabila ada nelayan wanita ini yang mengadu sampan kayu digunakan mereka selama ini tidak lagi praktikal kerana sering mengalami kebocoran," katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Hari Wanita peringkat negeri Johor, di sini, kelmarin. Nelayan Orang Asli, Bama Tok, 70, dari Perkampungan Orang Asli Sungai Papan, Kota Tinggi, dekat sini, berkata dia terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri dalam usaha membantu nelayan wanita seperti mereka.
Ibu tunggal kepada sembilan anak, Tee Achai, 49, berkata bantuan bot yang diterima itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebannya meneruskan usaha sebagai nelayan bagi mencari rezeki untuk menyara hidup keluarga. "Saya bersyukur kerana pihak kerajaan nyata tidak menyisihkan kami, malah dengan kemudahan ini secara tidak langsung memberikan kami lebih semangat untuk mencari hasil tangkapan di laut," katanya. |
Teroka hutan tak terkawal ancam spesies enggang Posted: 21 Dec 2011 03:46 PM PST Wilayah MIRI: Kepelbagaian flora dan fauna termasuk burung enggang yang menjadi lambang kemegahan Sarawak, kini berdepan ancaman kepupusan serius akibat penerokaan hutan.Penerokaan yang tidak terkawal turut mengancam tumbuhan saintifik yang mempunyai nilai komersial tinggi dalam industri farmaseutikal, kecantikan dan perubatan. Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata usaha serius perlu dilalukan bagi memulihara khazanah belantara supaya tidak mengalami kepupusan. "Kita harus melindungi dan memelihara biodiversiti yang menjadi lambang negeri Sarawak seperti burung enggang serta tumbuhan yang dapat menyembuhkan penyakit seperti Aids dan kanser," katanya di majlis pelantikan 57 Renjer Hidupan Liar, di sini, semalam.Beliau berkata, pemuliharaan biodiversiti daripada kepupusan akibat eksploitasi berlebihan menjadi tanggungjawab semua pihak dan bukannya menjadi tanggungjawab kerajaan saja. Awang Tengah yakin pelantikan renjer itu mampu membantu kerajaan dalam usaha pemuliharaan dan semangat kesedaran yang disemai di kalangan masyarakat. Setiap ranjer, katanya, berperanan sebagai 'mata dan telinga' kerajaan dalam usaha pemuliharaan serta menyemai semangat memulihara flora dan fauna tanpa terlalu mengharapkan penguatkuasaan Sarawak Forestry Corporation (SFC).
Beliau berkata, kerajaan negeri akan mempergiatkan program pengurusan hutan yang menyeluruh menerusi penggunaan tanah melalui perundangan dan Ordinan yang digubal. Katanya, ia termasuk dasar menetapkan sasaran untuk mencapai enam juta hektar kawasan hutan sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal dan sejuta hektar lagi sebagai kawasan Hutan Terlindung Sepenuhnya (TPA) di Sarawak menjelang 2020. "Kerajaan negeri akan merealisasikan hasrat ini dan berharap dapat mencapai sasaran sejuta hektar sebagai kawasan TPA yang diwartakan selain kawasan tadahan air seluas empat juta hektar," katanya. Awang Tengah berkata, kerajaan menyedari pola cuaca yang tidak menentu dalam perubahan iklim global memberi kesan kepada bencana banjir seperti yang berlaku di negara jiran Thailand dan situasi ini harus dijadikan sebagai pengajaran yang berguna kepada Sarawak serta negeri lain di Malaysia. Mengenai program pengawalan biodiversiti di Lawas seperti pengawasan terhadap dugong, katanya, ia perlu dilakukan secara serius supaya hidupan laut itu terus kekal. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan