Sabtu, 3 Disember 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Ramai muka baru orang muda

Posted: 03 Dec 2011 01:25 PM PST

Nasional

Perubahan langkah pembaharuan memperkukuh barisan parti: Najib

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan meletakkan lebih ramai calon muka baru di kalangan orang muda yang memenuhi kriteria calon boleh menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kata Datuk Seri Najib Razak.

Presiden UMNO mengakui langkah itu adalah keperluan bagi mengukuhkan barisan parti dan meletakkan UMNO sebagai parti dinamik serta sedia membawa perubahan. "Akan ada perubahan (calon) pada pilihan raya dan bagi sesetengah tempat memang perlu ada pembaharuan. Mungkin kali ini bilangan muka baru lebih ramai berbanding dulu sebab nak memperlihatkan UMNO ada muka baru dan orang muda.

"Kita sedang semak dan calon sedia ada, kita akan lihat prestasi sebagai wakil rakyat. Jika baik diberi peluang sebab bila kita anjurkan konsep winnable candidate, kita tidak letakkan tempoh penggal perkhidmatan," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO Ke-62, semalam.

Perdana Menteri juga mengesahkan ada wakil rakyat sudah menemuinya untuk menyatakan hasrat berundur dan sanggup memberi laluan kepada muka baru.

"Saya harap calon lama akan menyokong calon baru seperti ketika mereka naik ada orang sokong dia... dia naik sebab ada orang beri laluan padanya. Jadi, bila tiba masanya dia berundur atas kepentingan parti dia akan sokong parti dan perlu terima hakikat dulu dia terima sokongan orang lain," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan mengumumkan calon lebih awal, Najib berkata: "Pengumuman calon tidak boleh terlalu awal atau lewat, kita sedang mencari masa yang sesuai kerana jika terlalu awal ada masalah lain," katanya.

Sambil mengakui sudah mendapatkan sedikit bayangan mengenai bila pembubaran Parlimen dan DUN, Pengerusi BN itu berkata, persiapannya juga sudah dilaksanakan, malah beliau dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah beberapa kali turun padang.

"Kita mahu membentuk kerajaan yang kuat kerana majoriti dua pertiga adalah ideal, tetapi yang penting majoriti selesa atau kerajaan yang kuat," katanya.

Mengenai keyakinan tidak akan berlaku sabotaj terhadap parti, beliau berkata, ikrar dan baiah oleh perwakilan menggambarkan kesediaan berkhidmat kepada parti.

Mengulas kebimbangan perwakilan mengenai kesukaran jentera membantu calon memenangi pilihan raya, Najib berkata, BN akan cuba membantu meleraikan kesangsian dan menjelaskan kepada pengundi mengenai isu semasa.

"Untuk itu, kita perlu masa untuk mengkaji lebih mendalam dan mengambil langkah terbaik bagi meyakinkan pengundi," katanya.

Berhubung peluang BN menawan semula empat negeri, Najib berkata, parti yakin merampas semula negeri berkenaan, tetapi BN tidak pernah memandang mudah kekuatan pembangkang.

"Bila kita hendak mengambil alih sesebuah negeri, ia memerlukan strategi yang lebih hebat daripada biasa," katanya.

Ditanya mengenai perjalanan perhimpunan agung kali ini, beliau melihat persidangan ini sebagai tanda pemulihan sepenuhnya dan kebangkitan semangat baru UMNO selepas Pilihan Raya Umum 2008.

"Sudah ada satu kesedaran bahawa kita berhadapan cabaran besar, tetapi berkat perjuangan kita barisan yang ampuh dengan komitmen tinggi, insya-Allah kita mampu hadapi sebarang ujian," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

'Dekati agamawan, ilmuwan'

Posted: 03 Dec 2011 01:17 PM PST

Nasional

Kepetahan wakil Perlis bahas usul agama, pendidikan, sosial jadi perhatian

KEPETAHAN berucap dengan kandungan penuh fakta dan diselitkan dalil agama menyebabkan perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka, PWTC memberi tumpuan penuh kepada wakil Perlis, Fathul Bari Mat Jahya yang membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial, semalam.

Dengan gabungan gaya penceramah hebat dan pendakwah, anak bekas Mufti Perlis, Datuk Mat Jahaya Hussin ini lancar berhujah mengemukakan pelbagai saranan kepada parti serta kerajaan dalam usaha membela bangsa, agama dan negara. Beliau antara lain mencadangkan supaya kepemimpinan parti mendekati golongan agamawan dan ilmuwan bagi menepis tohmahan dilemparkan pembangkang yang menuduh UMNO anti-Islam dan enggan melaksanakan hukum Allah.

Katanya, alasan paling popular diberikan golongan agamawan ketika diajak menyertai UMNO adalah mereka tidak mempunyai ruang untuk menyampaikan pandangan.

"Kita perlukan mereka. Dalam perlembagaan UMNO juga ada disebut perjuangan kita adalah untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara tapi bila bercakap mengenai agama, di mana orang agama?" katanya.

Sambil menegaskan beliau bersyukur kerana sejak menyertai UMNO, diberi ruang secukupnya untuk bercakap sebebasnya mengenai Islam, Fathul Bari berkata, parti itu tidak pernah sesekali menyekat perbincangan mengenai Islam.
"Tidak pernah ada sekatan untuk saya bercakap tentang Islam, tentang hudud, tentang akidah, tentang hukum Allah... bercakaplah. Jadi kita minta (UMNO) bahagian, ada ruang dibuka untuk mereka (agamawan).

"Jangan kita jadi seperti pihak lain yang mengamuk di masjid, di mimbar khutbah dan dalam ceramah. Jika kamu ikhlas hendak menasihati pemimpin kamu, inilah tempatnya," katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Mengakui UMNO belum mampu mendekati pelajar agama dari Malaysia di Asia Barat, beliau menyarankan kementerian berkaitan merangka program tarbiah buat bakal pelajar yang akan ke sana untuk menerangkan dasar kerajaan yang tidak pernah menganaktirikan pelajar agama.

Fathul Bari turut menekankan konsep 2T yang perlu diamalkan ahli UMNO bagi menghadapi pilihan raya akan datang, iaitu Tazkiyah bermaksud penyucian yang perlu dimulakan dari dalam parti dan Tarbiah yang membawa makna pengisian melalui program bersifat ilmu.

Untuk berita serta laporan Perhimpunan Agung UMNO 2011, dapatkan akhbar Berita Minggu hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan