Berita Harian: Mutakhir |
Senator pembangkang gagal sekat Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman Posted: 20 Dec 2011 04:41 AM PST Mutakhir KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara yang mewakili pihak pembangkang hari ini gagal menyekat Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 apabila ia diluluskan menerusi undi belah bahagian.Undian itu yang diminta sendiri oleh pihak pembangkang menyaksikan 39 ahli Dewan Negara menyokong manakala hanya lapan yang tidak bersetuju rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua. Undian belah bahagian dibuat selepas Senator Saiful Izham Ramli mengemukakan usul itu kepada Yang DiPertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang, yang kemudiannya membenarkan undian itu selepas berpuas hati usul itu memenuhi syarat Peraturan Mesyuarat yang memerlukan persetujuan lapan ahli Dewan Negara. Terdahulu, ketika membentangkan rang undang-undang itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata ia bertujuan membenarkan warganegara menganjurkan dan menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata dengan sekatan yang difikirkan perlu dan demi kepentingan, ketenteraman dan keselamatan awam."Sesungguhnya penggubalan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 adalah suatu langkah ke arah memperkukuhkan kedaulatan undang-undang dan memartabatkan kebebasan asasi di Malaysia khususnya hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata. "Ia dilihat akan dapat membantu mencapai matlamat untuk pelaksanaan dan pentadbiran sistem perundangan yang lebih adil di samping memelihara kebebasan asasi individu sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya. Pada 29 November lalu, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu dengan enam pindaan dibuat membabitkan Fasal 9(1) untuk meminda tempoh yang ditetapkan kepada penganjur untuk memberikan notis mengadakan perhimpunan kepada polis dari 30 kepada 10 hari.
Turut dipinda adalah membabitkan Fasal 12(2) bagi tempoh untuk pihak berkepentingan membuat bantahan kepada polis ke atas notis perhimpunan berkenaan pula dipendekkan dari lima hari kepada 24 jam. Tempoh untuk polis memberikan respons ke atas bantahan berkenaan juga dipendekkan dari 12 hari kepada lima hari seperti yang dinyatakan pada pindaan ke atas Fasal 14. Pindaan terhadap Fasal 15, membolehkan polis mengenakan sekatan ke atas pelbagai aspek perhimpunan termasuk masa dan tempat demi keselamatan atau ketenteraman awam bagi melindungi hak dan kebebasan orang lain. Pindaan ke atas Fasal 16 pula memendekkan tempoh rayuan yang dikenakan ke atas penganjur perhimpunan untuk membuat rayuan kepada menteri. Terdahulu, ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan, Liew menempelak Senator Syed Husin Ali yang mengatakan kononnya ada peniaga yang mengaut keuntungan perhimpunan BERSIH pada 7 Julai lalu. "Ini adalah tidak benar kerana saya sendiri telah menerima aduan daripada pekedai di Jalan TAR dan pihak Sogo di mana saya telah dimaklumkan bahawa itu adalah tempat jadi tumpuan perhimpunan atau tunjuk perasaan sejak tahun 1999. "Dan pihak Sogo serta pekedai-pekdai di situ telah pun rugi dengan jutaan ringgit dan kehilangan keuntungan. Jadi siapa yang bertanggungjawab di atas kerugian yang dialami mereka. Itulah persoalan yang selalu ditanya oleh peniaga yang terpaksa tutup kedai jika berlaku demonstrasi di sekitar Kuala Lumpur ini," katanya. Selain itu, Liew turut menegaskan bahawa rang undang-undang itu memberi nafas baru kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan elemen-elemen pelaksanaan berkaitan pelaksanaan perhimpunan secara aman. "Keselamatan negara atau persekutuan adalah pertimbangan utama dalam perkara ini dan kerajaan tidak ada kompromi dalam keselamatan negara dengan apa-apa saja kerana ini melibatkan keselamatan semua warga di negara ini," katanya. - BERNAMA |
SPRM tahan 5 pegawai penguatkuasa di Kedah Posted: 20 Dec 2011 03:25 AM PST Mutakhir ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya menahan lima pegawai penguatkuasa beberapa agensi kerajaan di Kedah bagi membantu siasatan kes penyelewengan minyak bersubsidi.Penolong Pesuruhjaya SPRM Putrajaya, Mustafa Kamal, berkata semua mereka yang berusia 32 hingga 54 tahun ditahan di lokasi berasingan dalam satu operasi khas di negeri ini hari ini. "Mereka ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan menerima rasuah iaitu tidak mengambil tindakan terhadap pemilik premis yang menjual minyak secara haram. "Operasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ini juga mengesan sebuah premis di Pulau Pinang yang menyimpan minyak tanpa lesen yang sah," katanya pada sidang media di pejabat SPRM Kedah di sini hari ini.Mustafa berkata, SPRM mendapati pemilik premis tidak menyediakan buku stok seperti yang disyaratkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mengesan 21,000 liter minyak diesel dan 80,000 liter diesel di premis berkenaan. "Dipercayai perkara ini berlaku kerana kurangnya kawalan daripada agensi-agensi terbabit dan operasi hari ini adalah hasil intipan kita selama empat bulan," katanya. Mustafa berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan