Selasa, 10 April 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


RM15 juta urus tadbir KUISAS

Posted:

RM15 juta urus tadbir KUISAS

RM15 juta urus tadbir KUISAS

IPOH 9 April - Kerajaan negeri memperuntukkan RM15 juta sebagai modal berbayar bagi penubuhan sebuah syarikat yang bertanggungjawab mengurus tadbir Kolej Islam Kuala Kangsar (Kisdar) yang dinaiktaraf sebagai Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS)

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat dan Sumber Manusia, Datuk Mohamad Zahir Mohamad Khalid (gambar) berkata, Kisdar telah menerima surat pelawaan Kementerian Pengajian Tinggi pada 13 Februari lalu untuk dinaiktaraf sebagai kolej universiti.

Menurut beliau, syarikat yang dilantik menguruskan kolej universiti itu merupakan hak milik penuh kerajaan negeri.

"Bagi memastikan KUISAS dapat menjana pendapatan bagi menampung operasinya, kerajaan negeri telah meluluskan dua bidang tanah di Mukim Sungai Siput dan Sungai Kendiri.

"Tanah tersebut telah dikenal pasti bagi projek pembangunan dan akan diusahakan secara kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak (PKNP)," katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Menjawab isu yang dibangkitkan Khalil Idham Lim (Pas-Titi Serong), Mohamad Zahir menjelaskan, kerajaan negeri komited dalam menjadikan Kisdar sebagai institusi pendidikan tersohor tanpa ada campur tangan politik seperti didakwa pembangkang.

Malah, tegasnya, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa pelantikan rektor dan pentadbiran baru kolej universiti itu akan dibuat berdasarkan merit.

Kisdar sebelum ini, tambah beliau, menjalin kerjasama dengan beberapa universiti ternama negara seperti Universiti Utara Malaysia dan Universiti Malaya bagi menawarkan krusus-krusus berkualiti kepada pelajar.

"Bagi memastikannya menjadi pilihan pelajar untuk melanjutkan pelajaran terutama di kalangan anak tempatan, aktiviti promosi akan dilaksanakan di sekolah-sekolah secara berjadual," katanya.

Kolej universiti itu juga, jelas beliau, bekerjasama dengan agensi-agensi yang menawarkan biasiswa seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Majlis Agama Islam Negeri Perak dan Yayasan Perak bagi memudahkan pelajar mendapat pembiayaan pendidikan.

Banteras aedes, cegah denggi

Posted:

Banteras aedes, cegah denggi

Banteras aedes, cegah denggi

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my


MD. Isa Sabu (tengah) menyiram bunga kertas yang ditanam sebagai simbolik pada perasmian Kompleks Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Kangar, semalam.


KANGAR 9 April - Rakyat Perlis diingatkan supaya tidak memandang remeh terhadap punca yang membawa kepada demam denggi sekalipun ia masih terkawal di negeri ini.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu mahukan setiap rakyat supaya sentiasa menjaga kebersihan di kawasan rumah supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Nyamuk ini kecil tetapi amat bahaya kerana boleh membawa maut kepada sesiapa sahaja," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kompleks Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan Program Hari Bersama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Jalan Raja Syed Alwi di sini, hari ini.

Kompleks Jabatan Kesihatan Negeri Perlis bernilai RM19 juta ini telah mula beroperasi sejak September tahun lalu.

Turut hadir Timbalan Pengarah Perubatan Kesihatan Negeri, Dr. Sakinah Alwi.

Md. Isa berkata, Jabatan Kesihatan juga perlu lebih aktif menjalankan kempen pemakanan yang sihat supaya difahami oleh setiap rakyat.

Katanya, ini akan dapat membantu rakyat supaya dapat memilih jenis pemakanan yang sesuai dengan keperluan seharian.

"Kerajaan Barisan Nasional berusaha mengawal harga barang makanan supaya rakyat tidak dibebankan dengan perbelanjaan yang tinggi.

"Bagaimanapun harga barang yang rendah (subsidi) bukan untuk disalah guna oleh rakyat sehingga menikmatinya secara berlebihan sehingga mengundang pelbagai penyakit pula," katanya.

Keruntuhan moral akibat dadah kian membimbangkan

Posted:

Keruntuhan moral akibat dadah kian membimbangkan

Keruntuhan moral akibat dadah kian membimbangkan


TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) melihat contoh dadah ketika Program Hijrah Minda Kempen Menjauhi Dadah Peringkat Masjid Seluruh Perlis di Masjid Jamek Kampung Binjai, Utan Aji, Kangar, kelmarin.


KANGAR 9 April - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail amat sedih dengan keruntuhan moral, akhlak serta peribadi sesetengah masyarakat hari ini, khususnya generasi muda kerana dadah.

Paling menyedihkan titah baginda, pembabitan pelajar dengan pelbagai perlakuan jenayah, seperti pecah rumah dan samun yang berpunca daripada gejala dadah.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, jenayah dan keruntuhan moral itu kian berleluasa kerana pelakunya gagal mengawal emosi serta tidak memiliki nilai mulia dalam diri sendiri.

Pada masa yang sama, titah baginda, pelaku jenayah itu pula langsung tidak berdisiplin, kerana membenarkan nafsu menguasai diri dan mereka secara terbuka mengabaikan agama yang dianuti.

"Penyalahgunaan dadah menjadi ancaman besar kepada masyarakat. Penagihan dadah kini bukan hanya melibatkan golongan berpendapatan rendah, malah kumpulan kaya dan berpendidikan tinggi juga turut terjebak," keluh baginda lagi.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika melancarkan Program Hijrah Minda Kempen Menjauhi Dadah Peringkat Masjid Seluruh Perlis anjuran MAIPs dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan di Masjid Jamek Kampung Binjai, Utan Aji di sini, semalam.

Raja Muda Perlis bertitah, ada beberapa penyebab utama yang merangsang seseorang itu terjebak dengan dadah iaitu kurangnya didikan atau penghayatan terhadap agamanya sendiri.

"Faktor-faktor lain pula ialah didorong oleh sikap ingin mencuba, masalah tekanan hidup, cetek pengetahuan berkaitan dadah, pengaruh rakan sebaya dan disebabkan runtuhnya institusi kekeluargaan mereka sendiri," titah baginda.

Sehubungan itu, baginda mengajak masyarakat untuk melihat secara serius terhadap statistik yang dikeluarkan oleh Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan atau BIONADI iaitu 10,383 orang dikesan menagih dadah sejak Januari hingga November 2011.

Baginda turut bimbang kerana etnik Melayu merupakan penagih teramai iaitu 78.19 peratus.

"Pihak kerajaan wajar lebih giat mengadakan kempen dan penguatkuasaan undang-undang yang cukup tegas bagi menanganinya. Semua pihak pula perlu berganding bahu mengatasi masalah ini.

"Marilah kita sama-sama bertindak lebih awal. Bak kata pepatah, 'mencegah adalah lebih baik daripada merawat'," titah Raja Muda Perlis lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan